backup og meta

Sakit Payudara Lepas Kemalangan, Adakah Petanda Kanser? Ini 3 Penjelasan Lain Selain Barah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/07/2021

    Sakit Payudara Lepas Kemalangan, Adakah Petanda Kanser? Ini 3 Penjelasan Lain Selain Barah

    Sakit payudara yang berpunca daripada masalah trauma boleh menyebabkan komplikasi jarang berlaku seperti pendarahan teruk. Namun, adakah ia boleh menyebabkan masalah kanser?

    Antara simptom awal yang boleh dialami secara serta-merta selepas episod trauma adalah sakit payudara. 

    Ia kebiasaannya diikuti oleh simptom lain seperti lebam, sengal-sengal dan rasa tidak selesa pada payudara yang terkesan.

    Pun begitu, dalam banyak-banyak potensi komplikasi jangka masa panjang yang ditakuti, kanser merupakan sumber ketakutan bagi setiap individu.

    Persoalannya di sini, adakah trauma pada payudara boleh menyebabkan masalah kanser?

    Baca artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.

    Sakit payudara, bukan perkara yang boleh dipandang ringan

    sakit payudara

    Lazimnya, keadaan kesihatan ini boleh dialami selepas seseorang itu terlibat dalam kemalangan kereta.

    Bukan sahaja kecederaan pada tisu payudara boleh berpunca daripada trauma secara langsung (hentaman), ia juga boleh berpunca daripada alat keselamatan yang dipakai oleh pemandu/penumpang.

    Perkara ini termasuklah kelengkapan kereta seperti tali pinggang keledar dan beg udara.

    Bagi kenderaan yang tidak mempunyai beg udara, trauma kebiasaannya melibatkan anggota badan dengan stereng kereta, dashboard dan kerusi hadapan (bagi penumpang belakang).

    Tahap kecederaan kebiasaannya jauh lebih teruk bagi mereka yang menaiki kereta tanpa kelengkapan keselamatan tersebut.

    Kecederaan pada payudara seseorang boleh menyebabkan kesan sampingan serius berikutan struktur penting yang terdapat di sekeliling anggota badan tersebut.

    Sebagai contoh, kecederaan pada salur darah arteri boleh menyebabkan aliran darah pada payudara terganggu.

    Ini boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan darah yang banyak serta kebengkakan pada payudara sehinggalah rawatan diberikan.

    Ada juga individu yang boleh mengalami kekoyakan pada kelenjar susu. Perkara ini boleh mengganggu aliran susu normal kelak.

    Walaupun ia jarang berlaku, namun keadaan ini boleh terjadi akibat daripada trauma payudara.

    Adakah kecederaan tersebut boleh menyebabkan kanser?

    Ramai yang beranggapan bahawa kecederaan pada tisu payudara merupakan punca berlakunya kanser. 

    Walau bagaimanapun, kajian tidak menemui kaitan di antara keduanya.

    Kepercayaan terhadap perkara yang tidak terbukti itu mungkin berpunca daripada pembentukan ketulan pada payudara selepas trauma.

    Apa yang mungkin ramai tidak tahu adalah ketulan tersebut boleh juga berlaku akibat daripada nekrosis lemak.

    Menurut Persatuan Kanser Amerika, nekrosis lemak tidak meningkatkan risiko kanser payudara dalam kalangan mereka yang mengalaminya.

    Ketulan juga boleh berlaku apabila seseorang itu mengalami lebam yang turut dikenali sebagai hematoma.

    Kebanyakan kecederaan payudara boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk. Keadaan ini sering dimanifestasikan sebagai:

  • Rasa pitam
  • Tekanan darah rendah
  • Degupan jantung laju
  • Kejutan berikutan kehilangan darah
  • Sekiranya anda mengalami mana-mana simptom di atas, anda perlu mendapatkan rawatan dengan kadar segera bagi memastikan kebocoran darah boleh dihentikan.

    Komplikasi trauma payudara

    sakit payudara

    Berikut merupakan komplikasi bagi kecederaan trauma payudara yang dialami:

    1. Nekrosis lemak: Ini merupakan komplikasi lazim yang berlaku berikutan kecederaan payudara. Ia terjadi apabila badan menggantikan tisu lemak pada payudara dengan tisu parut menyebabkan ia membentuk ketulan keras.
    2. Sista minyak: Apabila sel lemak payudara mati akibat kecederaan trauma, ruangan tersebut boleh digantikan dengan bahan minyak yang dirembeskan oleh sel payudara. Keadaan ini menyebabkan terbentuknya sista minyak.
    3. Hematoma: Keadaan ini terjadi apabila berlaku kecederaan pada salur darah yang mengelilingi tisu payudara. Selain ketulan, hematoma juga boleh menyebabkan lebam yang teruk pada permukaan kulit.

    Anda perlu ingat, bukan mudah untuk doktor membezakan ketumbuhan payudara dan ketulan yang berpunca daripada masalah trauma tanpa sebarang pemeriksaan makmal.

    Antara peralatan penting bagi mendiagnosis masalah tersebut adalah alat ultra bunyi, mamogram, imbasan MRI dan imbasan CT.

    Sekiranya imej yang dihasilkan tidak dapat membezakan keadaan kesihatan tersebut, biopsi tisu payudara akan dilakukan terhadap ketulan berkenaan.

    Ujian tersebut boleh melihat keadaan tisu payudara bagi memastikan selnya tidak menunjukkan ciri-ciri kanser.

    Komplikasi seperti nekrosis lemak dan sista minyak lazimnya tidak memerlukan sebarang rawatan.

    Masalah hematoma pula memerlukan prosedur untuk menyedut keluar darah yang berkumpul sekiranya ia disarankan oleh doktor.

    Konklusi

    Sakit payudara yang berpunca daripada trauma bukanlah petanda kanser. Namun, tidak salah jika anda ingin mendapatkan kepastian daripada doktor berkenaan dengan simptom tersebut.

    Kemalangan merupakan punca lazim berlakunya simptom tersebut.

    Oleh itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa memakai peralatan keselamatan dan memastikan kelengkapan kereta seperti beg udara berfungsi secara normal.

    Ia bagi meminimumkan tahap kecederaan yang boleh disebabkan oleh kemalangan tersebut.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan