Ramai wanita yang mengalami sakit pada kawasan payudara sebelah kiri dari masa ke masa. Tetapi, kenapa payudara sakit?
Selalunya ia berlaku disebabkan hormon. Namun, dalam kes yang lebih jarang berlaku, sakit payudara boleh menandakan sesuatu yang lebih serius.
Jika anda mengalami sakit payudara, jangan risau, anda tidak berseorangan.
Malah, sakit payudara yang juga dikenali dengan nama mastalgia merupakan sesuatu yang lazim berlaku dan merangkumi 45-70% lawatan ke hospital yang berkaitan dengan masalah payudara.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari baca kupasan kami dalam artikel di bawah!
Kenapa payudara sakit? Mungkin ini sebabnya!
Berita baiknya ialah kebanyakan kenapa payudara sakit bukan bersifat kanser (benign). Selalunya, ia berkait rapat dengan perubahan hormon di dalam badan ataupun pemakaian bra yang tidak betul.
Tetapi, bilakah anda perlu risau dan berjumpa doktor? Di bawah kami senaraikan beberapa punca kenapa payudara sakit untuk semakan anda.
1. Kenapa payudara sakit disebabkan hormon
Perubahan hormon merupakan punca nombor 1 yang menyebabkan wanita mengalami sakit payudara.
Selalunya, payudara akan mula sakit 3 hingga 5 hari sebelum datang haid. Kesakitan tersebut akan berakhir apabila haid bermula.
Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada umur anda. Jika anda berusia 24 tahun, masalah ini mungkin berkait rapat dengan hormon.
Namun, wanita yang berusia 70 tahun tidak mengalami sebarang perubahan hormon. Oleh sebab itu, sakit pada bahagian payudara perlulah diperiksa oleh doktor secepat mungkin.
2. Ada luka pada kawasan payudara
Seperti kawasan lain pada tubuh badan anda, payudara juga boleh terluka ketika bersukan ataupun selepas mengalami kemalangan jalan raya.
Jika payudara anda mengalami bengkak yang teruk, berwarna merah dan terasa panas, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Ini merupakan tanda jangkitan dan perlu dirawat dengan segera.
3. Kenapa payudara sakit disebabkan baju dalam
Tanpa sokongan yang baik, ligamen yang memegang payudara boleh menjadi ‘penat’ dan sakit. Akibatnya, payudara akan mulai kendur dan sakit.
Pemakaian bra yang betul amat penting lebih-lebih lagi ketika bersenam. Pastikan anda memakai baju dalam yang boleh memberikan sokongan pada payudara anda.
Selain itu, pastikan saiznya juga betul!
4. Mungkin sakit dada
Kadangkala, kenapa payudara sakit yang anda alami sebenarnya berpunca daripada sakit otot atau inflamasi di kawasan tulang rusuk.
Selalunya, ia mungkin berlaku apabila terdapatnya retakan atau trauma pada kawasan dada disebabkan pukulan atau kemalangan.
5. Sakit payudara disebabkan sedang menyusu
Jika anda sedang menyusukan anak, ini mungkin punca sakit payudara yang anda alami. Sebagai contoh, anda mungkin rasa sakit di kawasan puting disebabkan posisi menyusu yang tidak betul.
Selain itu, rasa sakit payudara tersebut mungkin terjadi disebabkan kulit puting yang kering dan merekah atau mengalami jangkitan.
6. Anda mengalami jangkitan
Wanita yang menyusukan anak berisiko untuk mengalami jangkitan pada kawasan payudara mereka. Jangkitan yang dikenali dengan nama mastitis ini juga boleh berlaku kepada wanita biasa.
Jangkitan selalunya disusuli dengan simptom seperti demam, rasa sakit, serta kulit yang merah dan bengkak pada kawasan payudara.
7. Sakit payudara disebabkan kesan sampingan ubat
Ada beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkan sakit payudara sebagai kesan sampingan. Oleh sebab itu, cuba berbincang dengan doktor anda mengenai ubat-ubatan yang anda terima.
Antara ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan ini ialah:
- Oxymethone untuk merawat anemia.
- Chlorpromazine untuk merawat kondisi mental yang pelbagai.
- Diuretik untuk membantu meningkatkan urinasi.
- Terapi hormon seperti pil kontraseptif dan sebagainya.
- Digitalis untuk kegagalan jantung.
- Methyldopa untuk merawat tekanan darah tinggi.
8. Anda mempunyai sista payudara
Salah satu tanda sista ialah munculnya benjolan pada kawasan payudara. Walau bagaimanapun, bukan semua sista bersifat kanser. Namun, semua sista perlulah diperiksa oleh doktor.
Untuk melakukan diagnosis, doktor mungkin akan mencadangkan agar anda melakukan mamogram, ultrasound atau aspiration (mengeluarkan cecair daripada sista tersebut).
Jika sista tersebut tidak mendatangkan apa-apa masalah, anda mungkin tidak memerlukan apa-apa rawatan.
9. Sakit payudara kadangkala tanda kanser
Kanser payudara jarang menyebabkan kesakitan. Tetapi, kanser radang payudara selalunya akan menyebabkan rasa sakit, namun ia jarang berlaku.
Simptom untuk kanser radang payudara selalunya muncul secara tiba-tiba dan berlaku dengan pantas. Kanser ini juga akan menyebabkan payudara menjadi:
- Kemerah-merahan atau bertukar warna.
- Bengkak atau menjadi berat.
- Sakit.
Kulit di sekitar payudara juga akan mula berlubang-lubang seakan-akan kulit limau.
Kesimpulan
Semoga artikel ini dapat menjawab persoalan anda mengenai ‘kenapa payudara saya sering sakit?’.
Walaupun kebanyakan kes sakit pada kawasan payudara merupakan sesuatu yang tidak serius, anda masih perlu bercakap dengan doktor mengenai kerisauan anda.
Selain itu, sesiapa sahaja yang mengalami benjolan pada kawasan payudara perlu berjumpa doktor dengan kadar yang segera dan melakukan ujian untuk mengenal pasti sama ada ia bersifat kanser ataupun tidak.