Diagnosis kanser paru-paru boleh membangkitkan pelbagai jenis tekanan emosi. Kebanyakan pesakit akan rasa sedih, marah dan tertekan setelah didiagnosis dengan kanser paru-paru.
Pesakit yang menerima berita mengenai kanser mungkin sukar untuk menerima hakikat. Namun, itu bukan bermaksud apa yang pesakit rasa adalah sesuatu yang tidak normal.
Semua rasa ini merupakan satu reaksi normal yang berlaku apabila seseorang itu didiagnosis dengan kanser. Untuk pengetahuan anda, perkara yang paling penting untuk bantu seseorang itu move on ialah berdamai dengan diagnosis yang diterima.
Rasa takut yang disebabkan oleh kanser paru-paru mungkin akan mengambil masa beberapa hari, berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk hilang.
Individu yang menghidap kanser akan menempuh perjalanan yang sukar.
Walau bagaimanapun, anda tidak perlu melaluinya seorang diri. Pastikan anda mempunyai teman rapat yang boleh berada disamping semasa menentang penyakit ini.
Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan beberapa perasaan dan tekanan emosi yang normal untuk pesakit kanser.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.
1. Rasa hidup bukan dalam kawalan
Ketika anda mula-mula didiagnosis dengan kanser paru-paru, anda mungkin akan rasa inilah pengakhiran hidup anda.
Dengan segala yang tidak pasti pada masa hadapan, sukar untuk anda rasa gembira atau lega apabila hanya memikirkan tentang apa yang menunggu di hujung jalan.
Selalunya, pesakit akan alami tekanan emosi dan:
- Memikirkan berapa lama lagi mereka boleh hidup
- Terganggu dengan rutin baru yang merangkumi lawatan ke hospital dan juga rawatan kanser
- Rasa keliru apabila doktor menggunakan terma yang tidak difahami
- Rasa berseorangan dan sunyi
Ada orang yang lebih mudah menjalani hidup jika mereka sentiasa sibuk. Oleh sebab itu, jika anda mempunyai tenaga, cuba lakukan aktiviti seperti melukis, bermain alat muzik dan membaca.
Namun, bukan semua orang boleh lakukan perkara yang sama. Setiap individu mungkin perlukan sesuatu yang berbeza.
Oleh sebab itu, perkara pertama yang anda perlu lakukan setelah mendapat diagnosis kanser ialah belajar mengenai kanser yang anda hidapi.
Pastikan anda sentiasa bertanya kepada doktor jika mempunyai sebarang kekeliruan.
2. Tekanan emosi – Cuba menafikan
Apabila pesakit baru didiagnosis dengan kanser, mereka mungkin sukar untuk menerima hakikat sebenar tentang penyakit yang mereka alami.
Namun, fasa denial atau penafian merupakan sesuatu yang normal. Pesakit mungkin memerlukan masa untuk mengurangkan gangguan emosi dan cuba menerima semuanya dengan hati yang terbuka.
Tetapi, penafian boleh bertukar menjadi sesuatu yang serius pada masa hadapan jika ia tidak dikawal dengan betul.
Jika ia berlangsung dalam satu jangka masa yang lama, pesakit mungkin akan kerap menangguh-nangguh rawatan yang mereka sepatutnya lakukan untuk menyembuhkan kanser.
Namun, lama-kelamaan, kebanyakan pesakit akan menerima diagnosis mereka dengan hati yang terbuka.
Pesakit juga akan menjadi bersemangat dan kembali berharap untuk keputusan yang terbaik setelah mereka melakukan rawatan untuk mengubati kanser yang dialami.
3. Kemarahan
Rasa marah juga merupakan sesuatu yang normal dalam kalangan pesakit kanser.
Mungkin anda akan rasa marah terhadap diri sendiri, ahli keluarga ataupun doktor di hospital apabila menerima diagnosis mengenai kanser yang anda alami.
Kemarahan merupakan satu perasaan yang sukar untuk dihilangkan. Kadangkala, kemarahan turut datang bersama perasaan lain seperti panik, kecewa, gelisah dan takut.
Anda tidak perlu berlakon seperti semuanya normal dan dalam kawalan jika anda rasa marah. Kemarahan merupakan sesuatu yang tidak sihat jika ia dipendam lama.
Salah satu cara yang anda boleh lakukan untuk kurangkan kemarahan ialah dengan berterus terang bersama ahli keluarga anda. Pastikan mereka faham tentang kemarahan yang anda rasai.
Selain itu, anda juga boleh meminta pertolongan daripada kaunselor. Untuk pengetahuan, kaunselor boleh bantu pesakit untuk mengawal rasa marah yang anda rasai. Malah, rasa marah itu juga boleh ditukar kepada sesuatu yang dapat memberi motivasi untuk melawan kanser!
4. Alami gangguan emosi seperti ketakutan dan kerisauan
Diagnosis kanser merupakan sesuatu yang amat menakutkan dan merisaukan.
Salah satu perkara yang boleh menyebabkan pesakit kanser rasa takut dan risau ialah kemungkinan untuk mereka merasakan kesakitan dalam satu jangka masa yang panjang.
Kadangkala, gangguan emosi ini terjadi setelah pesakit mendengar terlalu banyak cerita dan khabar angin yang tidak benar mengenai penyakit mereka.
Walau bagaimanapun, ramai pesakit akan mula rasa lega apabila mereka mendengar penjelasan sebenar daripada doktor ataupun jururawat.
Oleh sebab itu, pesakit perlulah belajar mengenai penyakit yang mereka alami. Jangan biarkan khabar angin buatkan anda rasa takut tanpa sebab!
Malah, ada kajian yang membuktikan bahawa mereka yang lebih berpengetahuan mengenai penyakit yang dialami mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk sembuh berbanding mereka yang tidak tahu apa-apa mengenai penyakit tersebut.
5. Harapan untuk sembuh daripada kanser paru-paru
Ketika pesakit menerima kenyataan tentang penyakit mereka, selalunya penerimaan ini akan disertai dengan satu pengharapan.
Ada banyak sebab mengapa pesakit boleh rasa berharap. Untuk pengetahuan anda, jutaan pesakit kanser di luar sana masih lagi hidup dan bernafas seperti biasa.
Mereka juga dapat jalani hidup yang normal selepas rawatan kanser bersama keluarga tersayang.
Oleh sebab itu, jangan pernah berhenti berharap. Malah, ada juga sebahagian doktor yang yakin bahawa pengharapan mempunyai kuasa penyembuhannya yang tersendiri!