Jika anda didiagnosis dengan kanser rahim tahap 1, pasti anda tertanya-tanya, apakah tanda awal kanser rahim yang boleh anda alami, kan?
Kanser rahim adalah sejenis kanser melibatkan sel endometrium yang membarisi permukaan rahim wanita.
Setiap bulan (atau kitaran haid), lapisan sel endometrium tersebut akan terhakis menyebabkan pendarahan haid sekiranya proses kehamilan tidak berlaku.
Secara umumnya, masalah kesihatan ini lebih lazim didiagnosis dalam kalangan wanita yang telah mencapai usia menopaus.
Mereka yang menghidapnya boleh menunjukkan simptom yang berkait dengan pendarahan faraj dan simptom umum kanser yang lain.
Teruskan membaca untuk mengetahui simptom awal bagi kanser rahim tahap 1.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.
Pendarahan, simptom yang lazim berlaku bagi penghidap kanser rahim tahap 1
Pendarahan mungkin normal bagi wanita yang masih belum menopaus, namun ia boleh menjadi tanda bahaya bagi wanita yang telah menopaus.
Adakah ini bermakna mereka yang masih mengalami haid tidak akan mendapat kanser rahim?
Tidak sama sekali! Mereka yang belum menopaus masih boleh didiagnosis dengan masalah ini.
Cuma ia lebih lazim didiagnosis dalam kalangan mereka yang telah mencapai usia menopaus terutamanya mereka yang membuat rawatan hormon.
Menurut Persatuan Kanser Amerika, kira-kira 90% wanita yang didiagnosis dengan kanser rahim mengalami pendarahan faraj tidak normal.
Paten pendarahan tersebut boleh dilihat dalam konteks sama ada wanita tersebut masih mengalami pendarahan haid atau telah mencapai usia menopaus.
Bagi mereka yang belum menopaus, pendarahan faraj tidak normal adalah:
- Pendarahan banyak dan lama ketika haid (lebih lama daripada 7 hari).
- Pendarahan yang berlaku di antara 2 waktu haid dalam kitaran normal haid.
- Haid yang berlaku pada setiap 21 hari atau lebih awal.
- Pendarahan faraj sebelum atau selepas melakukan hubungan seks.
Bagi mereka yang telah mencapai usia menopaus pula, pendarahan tidak normal dianggap sebagai pendarahan yang berlaku selepas setahun anda tidak mengalami pendarahan haid.
Keadaan ini perlu diperiksa oleh doktor.
Namun, anda perlu tahu bahawa kanser rahim tahap 1 bukanlah satu-satunya punca pendarahan tidak normal selepas menopaus.
Terdapat punca lain seperti fibroid, masalah tiroid dan terapi gantian hormon.
Tanda awal kanser rahim lain yang perlu diberi perhatian
Seperti masalah kanser lain, kanser rahim juga boleh menyebabkan simptom kanser umum yang mempengaruhi proses fisiologi di seluruh badan.
Pada peringkat awal, penghidap mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala ini.
Namun, apabila kanser rahim tahap 1 sudah semakin lanjut/ besar, ia boleh menyebabkan gejala seperti:
- Sakit pada kawasan pinggang.
- Pengeluaran cecair faraj dalam kuantiti yang banyak.
- Sakit abdomen.
- Rasa keras atau ketulan pada mana-mana permukaan kawasan pinggang.
- Hilang berat badan tanpa mengamalkan sebarang diet.
- Kelesuan.
- Kembung perut.
- Perubahan pada corak buang air kecil atau besar.
- Rasa cepat kenyang.
- Sakit ketika melakukan hubungan seks.
Jika komplikasi telah berlaku, pesakit boleh menunjukkan gejala berkait dengan komplikasi yang dialami.
Oleh sebab pendarahan merupakan manifestasi utama bagi kanser rahim, simptom anemia boleh berlaku kepada penghidap kanser tersebut.
Anemia adalah keadaan di mana jumlah sel darah merah di dalam aliran darah manusia lebih rendah daripada normal.
Keadaan ini boleh menyebabkan simptom seperti:
- Kelesuan.
- Lemah badan.
- Sejuk tangan dan/atau kaki.
- Degupan jantung tidak sekata.
- Sakit kepala.
- Sesak nafas.
- Kulit pucat atau kekuning-kuningan.
- Sakit dada.
- Pening kepala.
Keadaan ini boleh berlaku akibat badan kekurangan zat besi berikutan badan kehilangan darah pada kadar yang sangat laju.
Oleh sebab zat besi merupakan komponen penting dalam penghasilan sel darah merah, tanpanya, pembuatan sel darah merah baharu menjadi perlahan.
Situasi ini boleh menyebabkan keperluan badan tidak dapat dipenuhi oleh jumlah sel darah merah yang sangat terhad.
Konklusi
Jika anda mengalami sebarang simptom yang berkait dengan kanser rahim, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk membuat pengesahan diagnosis dan rawatan.
Komplikasi anemia yang dialami oleh penghidap boleh dirawat dengan pengambilan suplemen zat besi dan amalan pemakanan seimbang.
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan berkenaan kanser rahim tahap 1.