backup og meta

Jangan Tunggu Dah Sakit, Ini 9 Jenis Ujian Kanser Orang Muda Kena Jalani!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/06/2022

    Jangan Tunggu Dah Sakit, Ini 9 Jenis Ujian Kanser Orang Muda Kena Jalani!

    Kanser adalah antara penyakit pembunuh senyap di negara kita selain obesiti, diabetes, strok dan lain-lain. Jadi, kita semua perlu lebih cepat buat pelbagai jenis ujian kanser.

    Pun begitu, mungkin masih ramai belia yang tidak mahu, tidak peduli atau rasa takut untuk buat ujian-ujian penyakit ini melainkan jika mereka sudah tahu ada yang tidak kena.

    Sebaiknya, jangan tunggu hingga penyakit kanser menjadi lebih teruk dan membunuh. Sila segera buat ujian!

    Kenapa ujian penyakit kanser itu penting?

    Ujian pemeriksaan kanser ini adalah sangat penting untuk semua individu meskipun mereka mungkin langsung tidak ada atau belum ada sebarang simptom atau gejala kondisi itu.

    Ia bertujuan mencegah serta merawat penyakit ini pada peringkat yang lebih awal lagi sekali gus memastikan sel-sel kanser ini tidak dapat membiak dan merebak dengan pesat.

    Menurut kajian daripada pakar, pemeriksaan kanser di usia muda mungkin dapat kawal jenis kanser berikut:

  • Kanser kulit
  • Kanser tiroid
  • Kanser paru-paru
  • Kanser kolorektal
  • Kanser payudara
  • Kanser serviks
  • Meskipun ia bukan satu kemestian, namun langkah ini masih lagi efektif bagi mengurangkan keresahan atau kebimbangan yang menghantui diri anda akibat ketidaktentuan kondisi ini.

    jenis ujian kanser

    Apa jenis ujian kanser anda harus buat?

    Sebagai golongan belia atau dewasa muda, ada beberapa jenis ujian kanser yang penting iaitu:

    #1. Ujian kolonoskopi dan sigmoidoskopi

    Kedua-dua jenis ujian ini adalah sangat penting bagi memeriksa sama ada wujud atau tidak tumor atau polip di dalam kolon. Jika ada, ia boleh dibuang dengan lebih cepat.

    Ujian ini akan dijalankan dengan memasukkan kamera kecil serta tiub fleksibel ke dalam lubang dubur yang kemudiannya akan dijolok terus ke sekitar kawasan kolon anda.

    Perbezaannya, kolonoskopi akan meliputi seluruh kolon manakala sigmoidoskopi pula meliputi bahagian bawah kolon sahaja. Dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

    #2. Alpha-Fetoprotein Blood Test (AFBT)

    Ujian AFBT ini akan dijalankan dengan cara memeriksa kandungan protein Alpha-Fetoprotein di dalam organ hati untuk lihat potensi kanser jika paras ia tinggi atau rendah.

    #3. Low-Dose Computed Tomography (LDCT)

    Ujian LDCT ini akan dijalankan dengan cara individu berbaring di atas meja CT Scan serta segala imej dan input tentang organ paru-paru anda akan diperiksa dan didiagnosis.

    jenis ujian kanser

    #4. Jenis ujian kanser kulit

    Majoriti kes kanser kulit adalah disebabkan oleh pendedahan berpanjangan dan berterusan pada kulit terhadap cahaya matahari yang lantas bawa perubahan pada kulit anda.

    Dengan variasi ujian kanser kulit, maka doktor mungkin boleh mengenal pasti sama ada kulit anda berisiko terkena kanser atau tidak sekali gus mampu merendahkan risiko.

    Pun begitu, rawatan selanjutnya juga hanya akan bergantung kepada perubahan gaya hidup individu serta pendedahan pada kulit terhadap cahaya matahari. Jadi, anda masih perlu berwaspada.

    #5. Prostate Specific Antigen (PSA) 

    Ujian PSA ini akan dijalankan dengan cara pengambilan darah daripada individu yang biasa digabungkan dengan pemeriksaan rektal digital bagi tujuan penilaian kanser prostat.

    #6. Pemeriksaan kadar protein CA-125

    CA-125 (antigen kanser 125) adalah sejenis protein berkaitan dengan sel kanser. Ia digunakan bersama dengan ujian darah dan ujian ultra bunyi untuk menilai risiko kanser wanita.

    jenis ujian kanser

    #7. Jenis ujian kanser mamogram

    Mamogram adalah sejenis ujian melibatkan pengunaan sinar-X untuk memeriksa sebarang ketulan atau benjolan tidak normal serta lain-lain petanda kanser payudara wanita.

    Meskipun ramai pakar yang kata ujian ini wajar dijalankan apabila anda sudah masuk usia 40 tahun, sebenarnya ia masih boleh dilakukan dengan lebih awal jika tinggi risiko.

    Oleh itu, wanita yang obesiti, akil baligh pada usia muda, kerap ambil alkohol serta punya payudara besar wajar untuk melakukan pemeriksaan ini ketika di usia belia lagi.

    #8. Jenis ujian kanser pap smear

    Bersama dengan ujian untuk penyakit HPV, pap smear boleh dijalankan secara serentak untuk menilai risiko penyakit kanser serviks melalui pemeriksaan pada sel serviks.

    Apabila sel-sel yang wujud pada serviks jadi tidak terkawal, maka wanita lama-kelamaan akan menghidap kanser serviks yang merupakan salah satu pembunuh senyap.

    Disebabkan itu, wanita disarankan untuk menjalani ujian kanser ini seawal umur 21 tahun dan dilakukan sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali untuk lebih ideal.

    #9. Ujian ultra bunyi transvaginal @ endovaginal

    Ya, mungkin benar bahawa ujian ini tidak mampu untuk mengurangkan kes kematian akibat penyakit kanser berkaitan wanita, namun ia masih penting wanita muda.

    Ujian ultra bunyi transvaginal atau endovaginal ini adalah sejenis pemeriksaan yang akan meliputi keseluruhan organ reproduktif wanita dengan risiko kanser.

    Antara jenis kanser yang mampu diperiksa melalui ujian ini adalah kanser ovari dan kanser endometrium, kedua-duanya sangat bahaya buat wanita tanpa kira usia mereka.

    #OpenYourMind #CelikKanser

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan