Ketagihan Nikotin
Apabila tiba persoalan berkaitan berhenti merokok, hijrah sebenar adalah mengatasi ketagihan anda terhadap nikotin. Nikotin yang masuk ke dalam badan anda akan bergabung dengan reseptor nikotin pada sistem saraf tunjang anda dan mengakibatkan pelbagai perkara, termasuklah peningkatan rangsangan. Dengan masa, pendedahan berulang terhadap nikotin ini akan mengubah sensitiviti dan juga bilangan reseptor nikotin di sekitar otak anda, yang membawa kepada simptom-simptom ketagihan seperti tolerans (yang menyebabkan perokok perlu menghisap lebih banyak rokok demi mendapatkan kesan kepuasan yang sama), keinginan kepada rokok dan simptom putus ubat.
Salah satu daripada sebab untuk simptom-simptom tersebut adalah akibat penipisan tisu-tisu otak, dan proses penurunan keupayaan kognitif akibat penuaan juga dipercepatkan jika anda merokok. Kadar perubahan ini berlaku dengan lebih cepat dan lebih banyak jika anda merokok dalam tempoh yang lebih lama. Gangguan litar saraf yang mengawal tindakan dan keupayaan untuk membuat keputusan ini akan mengganggu keupayaan anda untuk mengawal diri. Ini menyebabkan berlakunya kebergantungan kepada nikotin dan penerusan ketagihan. Oleh itu, merokok bukan sahaja sesuatu yang menyebabkan ketagihan, malah ianya akan membawa anda ke satu kitaran yang menyebabkan anda akan menjadi makin lama makin ketagih terhadapnya. Atas sebab ini, tembakau mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi dalam menyebabkan kebergantungan berbanding perkara lain seperti alkohol dan opioid.
Keperluan Untuk Mendapatkan Bantuan
Berhenti merokok dengan sendirinya, menggunakan ketahanan diri semata-mata, dikenali sebagai kaedah ‘Cold Turkey’. Cold Turkey di sini merujuk kepada simptom putus ubat (keresahan, mudah tersinggung, pening kepala, gangguan tidur, penat dan lapar) yang berlaku akibat daripada pemberhentian merokok secara mengejut, tanpa mendapatkan sebarang rawatan atau bahan sokongan yang lain. Masalah dengan kaedah ini adalah ianya mempunyai kadar kejayaan yang rendah akibat daripada tindak balas dan kesan ketagihan kepada otak. Ketagihan mengubah struktur dalaman otak dan mempengaruhi pelbagai perkara, khususnya berkaitan dengan keupayaan untuk membuat keputusan, kawalan tingkah laku dan juga pembelajaran. Ia berlaku pada skala primitif dan pada tahap naluri, yang lazimnya mengatasi keupayaan aras tinggi otak kita. Kesannya, kebanyakan perokok yang mencuba kaedah ini akan kembali semula ke tabiat lama. Tambahan lagi, kegagalan yang berulang akan menyebabkan motivasi perokok untuk berhenti daripada merokok, menjadi semakin kurang khususnya untuk cubaan berhenti di masa akan datang.
Di sinilah di mana bantuan profesional diperlukan. Perang melawan ketagihan merokok tidak perlu menjadi perlawanan peribadi. Pakar kesihatan boleh membantu untuk menyediakan rawatan komprehensif untuk berhenti merokok dan meningkatkan kejayaan pemberhentian merokok buat jangka panjang. Komponen program berhenti merokok melibatkan nasihat daripada pakar, kaunseling dan bantuan sokongan, dan juga penggunaan ubat (farmakoterapi). Pendekatan holistik memastikan daya ketahanan diri dan motivasi anda tidak disia-siakan, dan simptom putus ubat dapat dikawal dengan berkesan. Selain itu, sokongan awal adalah penting bagi membantu anda untuk melalui fasa-fasa awal proses berhenti. Kajian menunjukkan bahawa kaedah ini adalah 5 kali ganda lebih berkesan berbanding bergantung pada ketahanan diri sahaja.
Servis mQuit
Servis mQuit ini diinspirasikan oleh dapatan daripada Bancian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2011 – menurut bancian ini, 48.6% perokok telah mencuba untuk berhenti merokok dalam tempoh 12 bulan yang lampau namun hanya 32.4% sahaja yang mendapatkan perhatian pakar kesihatan untuk berhenti merokok. Salah satu halangan yang menyebabkan perokok gagal untuk mendapatkan servis pakar kesihatan adalah disebabkan oleh terhadnya akses kepada servis ini di hospital mahupun klinik kerajaan. Dalam menangani halangan ini, dan juga memastikan negara sealiran dengan artikel 14 Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Mengenai Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC), Malaysia telah membangunkan program berhenti merokok yang holistik dan berstruktur, di bawah jenama servis mQuit.
Dilaksanakan bermula 27 November 2015, servis mQuit adalah usaha sama antara agensi kerajaan dan juga swasta, dengan matlamat menjadikan servis berhenti merokok mudah diakses di seluruh negara. Program mQuit ini membabitkan kerjasama Universiti Malaya, Universiti Sains Malayisa, Akedemi Farmasi Malaysia dan juga syarikat Johnson and Johnson. Kini, terdapat 160 pembekal servis swasta dan 764 klinik dan hospital kerajaan yang menawarkan servis mQuit. Sebelum sesebuah klinik tersebut layak untuk menawarkan servis ini, mereka terlebih dahulu perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan demi mendapatkan akreditasi.
Mengakses servis mQuit
Pendekatan dan pengurusan holistik yang termaktub dalam servis mQuit termasuklah:
- Membantu perokok menyusun pelan berhenti merokok peribadi.
- Membekalkan perokok dengan bahan yang betul dan nasihat yang bertepatan dalam usaha berhenti merokok.
- Pelan berhenti merokok yang komprehensif dan disertakan dengan janji temu susulan bersama pakar kesihatan yang berdedikasi.
- Membekalkan rawatan gantian nikotin demi membantu mengatasi simptom berhenti ubat.
Susulan daripada pelancarannya, servis mQuit telah melalui beberapa siri penambahbaikan termasuklah penubuhan talian kaunseling dan juga laman web sesawang (jomquit.moh.gov.my) demi mempromosi dan membantu pendaftaran perokok yang ingin berhenti dan menyertai program berhenti merokok. Selain membolehkan anda untuk mengakses pusat mQuit berdekatan anda dengan mudahnya, laman sesawang servis mQuit juga mempunyai bahan bacaan ilmiah berkaitan jenis-jenis alat bantuan berhenti merokok. Anda boleh juga membaca kisah-kisah mereka yang telah berjaya melakukannya di bahagian Kisah Berhenti Merokok dalam mencari inspirasi untuk berhenti merokok dengan jayanya.
Servis mQuit ini menggambarkan usaha kerajaan dalam membantu usaha perokok mencapai kebebasan daripada belenggu ketagihan. Servis mQuit ini telah dijadikan meluas dan mudah untuk diakses supaya anda tidak perlu berlawan dengan ketagihan anda secara bersendirian.
Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.
Anda juga mungkin berminat membaca artikel:
-
Mengatasi Halangan Untuk Berhenti Merokok
-
Berhenti Merokok dengan 5 Langkah Ini
-
Awas! Bahaya Asap Rokok Pasif Terhadap Anak Anda
[embed-health-tool-bmi]