‘Gateway drug’ merujuk kepada bahan yang, apabila diambil secara kronik, menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mencuba bahan yang lebih kuat ketagihannya. Contoh gateway drug adalah tembakau, alkohol dan juga marijuana (ganja). Berdasarkan teori gateway ini, pengambilan gateway drug yang awal dan kronik meningkatkan kemungkinan untuk orang itu mencuba dadah yang lebih berbahaya di masa akan datang. Melihat situasi semasa, timbul persoalan yang mengaitkan penggunaan vape sebagai gateway drug baru. Namun, adakah persoalan ini mempunyai asas yang kuat atau sekadar omong kosong?
Bagaimana teori gateway drug berfungsi?
Teori gateway drug ini popular sekitar tahun 70-an hingga 80-an. Ketika itu, ahli politik menggunakannya untuk menguatkan agenda ‘War on Drugs’ dan memerangi bahan tertentu seperti kokain dan ganja. Di sebalik legalisasi kanabis di beberapa negeri di Amerika Syarikat, terdapat sains yang kuat di sebalik teori ini dalam memahami ketagihan.
Pemahaman biologi yang menyokong teori ini datangnya daripada kajian yang dilakukan dalam kedua-dua manusia dan juga haiwan. Proses biologi yang terlibat adalah pengubahsuaian litar saraf dan laluan proses dalam otak pengguna gateway drugs di usia yang muda. Kajian ketagihan dalam binatang pula berjaya menunjukkan pengguna bahan tertentu di usia yang awal meningkatkan kemungkinan mendapat ketagihan untuk bahan-bahan lain. Penemuan bedah siasat menunjukkan laluan mesolimbik-dopamin (dikenali sebagai sistem ganjaran dan kegembiraan otak) dalam binatang kajian telah mengalami pengubahsuaian struktur. Ini menyokong hipotesis bahawa penggunaan awal bahan tertentu meningkatkan peluang seseorang untuk menggunakan dadah lain.
Jadi, adakah penggunaan vape itu sejenis gateway drug?
Mujurlah, terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi membantu menjawab soalan ini. Secara definisinya, untuk e-rokok/vape dikira sebagai gateway drug, kebanyakan belia yang kini ketagih merokok perlulah mempunyai sejarah penggunaan vape terlebih dahulu.
Berikut merupakan alasan yang menyokong vape sebagai gateway drug
1.Normalisasi nikotina – Sebilangan besar syarikat vape/e-rokok telah menghasilkan formulasi yang mampu untuk membekalkan nikotina pada kepekatan yang lebih tinggi berbanding tembakau tradisional. Menurut kajian kesihatan awam terhadap kesan kesihatan e-rokok, terdapat bukti bahawa kandungan nikotina yang lebih tinggi berupaya untuk meningkatkan kemungkinan seseorang itu untuk beralih kepada rokok tembakau. Ini cukup merisaukan kerana berdasarkan Laporan Pakar Bedah Awam A.S 2015, penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah menengah telah meningkat sebanyak 900%, dan 40% daripada mereka tidak pernah pun mencuba rokok tradisional sebelum ini.
2.Normalisasi semula rokok tembakau – Terdapat kerisauan bahawa penularan penggunaan vape berupaya untuk menormalisasikan semula budaya merokok dalam golongan muda. Ini akan merugikan segala usaha berdekad lamanya dalam melawan penggunaan rokok. Menurut kajian, 60% daripada pengguna vape di Amerika Syarikat mengaku bahawa mereka menggunakan vape di kawasan awam, di mana penggunaan rokok tembakau tidak dibenarkan.
3.Kaitan dengan penggunaan kanabis – Kaitan antara penggunaan tembakau dan juga peningkatan penggunaan kanabis adalah sesuatu yang cukup dikenal pasti. Berdasarkan kajian terkini, vape juga mampu menghasilkan risiko penggunaan yang sama. Penggunaan vape pada usia 14 tahun dikaitkan dengan risiko 4 kali ganda untuk terlibat dengan penggunaan kanabis dalam masa dua tahun kemudian. Pendedahan kepada nikotina paras tinggi ketika usia remaja dikatakan mampu untuk mengubahsuai sistem ganjaran otak untuk mendapatkan kenikmatan yang lebih daripada penggunaan kanabis. Ini sekali gus memudahkan lagi penghisap vape untuk terjerumus dalam penggunaan kanabis. Tambahan lagi, susulan insiden hospitalisasi ratusan penghisap vape muda di Amerika Syarikat, penyiasat menemui kompaun tetrahidrokanabinol (THC) dalam kebanyakan jus yang digunakan. Pengenalan kaedah tambahan untuk menggunakan kanabis (seperti melalui vape) atau bahan psikoaktif yang lain mengukuhkan lagi kedudukan vape selaku gateway drug.
Berikut pula merupakan alasan mengapa ia bukan gateway drug:
Hipotesis peralihan – Di sebalik pembuktian yang banyak, analisis masa-trend menunjukkan penurunan prevalens merokok yang signifikan dalam kalangan belia dan orang dewasa di Amerika Syarikat. Penurunan prevalens merokok ini juga selari dengan peningkatan penggunaan vape. Penemuan ini menyokong hipotesis peralihan di mana pengguna rokok kini telah beralih kepada penggunaan vape.
Terlalu awal untuk membuat rumusan – Penyokong hipotesis peralihan menganggap hipotesis gateway drug untuk vape adalah sesuatu yang pramatang. Ini kerana kebanyakan kajian hanya melihat penggunaan rokok sebagai keputusan akhir. Terdapat kemungkinan bahawa pengguna e-rokok hanya ingin mencuba rokok buat sementara waktu dan berkemungkinan besar tidak akan meneruskan amalan merokok. Tambahan lagi, e-rokok/vape belum berada pada kadar yang cukup lama untuk melihat keputusan kajian kohort sama ada ia mendorong kepada penggunaan rokok atau tidak.
Rumusan akhir
Hujah balas yang ditujukan terhadap hipotesis gateway gagal dalam menjawab kaitan vape dan juga kanabis dan bahan psikoaktif lain. Ditambah lagi dengan pembuktian biologi, pendapat vape sebagai gateway drug kekal sebagai pendapat yang kukuh. Tambahan lagi, kes kematian dan hospitalisasi baru-baru ini mengukuhkan lagi kesan buruk penggunaan vape. Jika anda sedang berhijrah daripada penggunaan rokok, pastikan anda mendapatkan nasihat dan bantuan daripada doktor. Rawatan yang ditawarkan di pusat kesihatan adalah selamat dan terbukti berkesan untuk berhenti merokok.
Jika anda bercadang untuk berhenti merokok, layari http://jomquit.moh.gov.my/.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
[embed-health-tool-bmi]