backup og meta

Jangan Ingat Vape Bagus Sangat, Remaja Ini Miliki Paru-Paru Seperti “Usia 70 Tahun” Kerana Vape!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

    Jangan Ingat Vape Bagus Sangat, Remaja Ini Miliki Paru-Paru Seperti “Usia 70 Tahun” Kerana Vape!

    Menghisap vape mungkin menampakkan seseorang individu itu kelihatan lebih ‘cool’ atau ‘trendy’. Ini kerana penggunaan vape dilihat lebih moden berbanding menghisap rokok secara konvensional.

    Kini, penggunaan vape bukan sahaja berada dalam ruang lingkup golongan lelaki, malah ia turut digunakan oleh golongan wanita tanpa mengira peringkat umur.

    Kedua-dua penggunaan vape dan rokok menjadikan seseorang individu itu kelihatan lebih dewasa atau matang berbanding individu lain yang sebaya dengan mereka. 

    Walau bagaimanapun, apa yang lebih membimbangkan, vape bukan sahaja ‘mematangkan’ penghisapnya secara luaran, malah turut bertindak ‘mematangkan’ organ dalaman individu yang menghisapnya.

    Anda masih tidak jelas dengan pernyataan tersebut? Ikuti laporan seperti di bawah.

    Paru-paru “berusia 70 tahun”

    Baru-baru ini, seorang remaja telah membuat pengakuan bahawa vaping telah menjadikan paru-parunya kelihatan seperti “telah berusia 70 tahun”.

    Remaja tersebut yang bernama Adam Hergenreder, berusia 18 tahun daripada Illionois, Amerika Syarikat mengakui telah menghisap vape sejak umurnya 16 tahun.

    Remaja itu telah dimasukkan ke hospital akibat loya dan kesukaran bernafas selepas menggunakan vape selama lebih daripada 18 bulan.

    Adam mengakui mula menghisap vape apabila melihat individu di sekelilingnya menghisap vape dan menganggap ia sebagai satu trend terbaharu.

    Selain itu, dia juga terpengaruh dengan pemasaran yang dilakukan oleh syarikat vape, Juul, yang membawa mesej tabiat vaping boleh meningkatkan status sosial penghisapnya. 

    Kesan buruk vaping

    Setelah menghisap vape dalam tempoh yang agak lama, Adam mula berasa menggigil seolah-olah mengalami serangan strok dan mula muntah-muntah setiap hari selama tiga hari berturutan.

    Setelah berjumpa pakar, doktor kemudiannya menemui kerosakan yang sangat serius pada bahagian paru-parunya melalui pemeriksaan X-ray.

    Dr. Stephen Amesbury, salah seorang doktor yang terlibat menyatakan, paru-paru Adam mempunyai kerosakan yang sangat teruk bagi seseorang yang masih muda sepertinya.

    Menurutnya, Adam akan mengalami kesan perubahan dari segi pernafasan selepas dia pulih daripada keadaan tersebut.

    Adam kini sedang berada dalam fasa pemulihan tetapi dalam masa yang sama, masih mengalami kesukaran bernafas dan bimbang sekiranya paru-parunya tidak kembali kepada keupayaan penuhnya.

    Doktor pula masih mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kepastian sekiranya terdapat hubungan secara langsung antara tabiat vaping Adam dan kerosakan paru-paru yang dialami olehnya.

    Walau bagaimanapun, pakar-pakar kajian yang terlibat telah menemui bukti yang menunjukkan bahawa alat vape telah memberikan kesan yang buruk kepada tubuh manusia.

    Selain itu, kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat mengalami masalah berkaitan pernafasan turut bersetuju bahawa vape telah menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan mereka. 

    Terkini, kerajaan persekutuan Amerika Syarikat berkemungkinan akan membuat larangan penggunaan e-rokok atau vape berperisa setelah enam individu dilaporkan maut disebabkan penyakit yang berkaitan dengan kesan penggunaan vape.

    Langkah ini dilihat sebagai langkah yang amat baik memandangkan ia boleh menyekat penggunaan vape terutamanya bagi golongan baharu penghisap vape dalam kalangan remaja.

    Ibu bapa perlu memantau perlakuan anak-anak agar mereka tidak terpengaruh untuk menghisap vape semata-mata kerana tidak mahu ketinggalan dengan trend yang boleh membahayakan nyawa. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan