Berat Badan Susah Hendak Turun Sebab Metabolisme Rendah? Ada Cara Ke Untuk Tingkatkannya?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 04/11/2020 . 3 minit bacaan
Share now

Anda rasa kurang bertenaga setiap hari? Ini mungkin tanda metabolisme rendah. Tahukah anda, kadar metabolisme badan boleh diubah? Ada banyak cara untuk anda meningkatkan metabolisme tubuh.

Tapi, sebelum kita sentuh lebih lanjut tentang kadar metabolisme badan, anda haruslah tahu apa itu basal metabolic rate (BMR).

Jom, ikuti artikel kami untuk info yang lebih lanjut!

Apa itu basal metabolic rate (BMR)?

Pasti ramai yang tahu tentang body mass index (BMI), tapi pernahkah anda dengar tentang basal metabolic rate (BMR)?

Tahukah anda, badan kita sentiasa membakar kalori walaupun semasa kita menonton televisyen, berbaring mahupun ketika tidur?

Itulah dia maksud BMR. BMR ialah jumlah kalori yang dibakar oleh badan dalam keadaan rehat.

Sebenarnya, badan kita aktif membakar kalori walaupun ketika kita tidak melakukan apa-apa aktiviti berat.

Jika anda ingin merangka strategi untuk menurunkan berat badan, pertama sekali anda haruslah kenal pasti BMR anda.

Kalau anda ingin turunkan berat badan, anda perlu makan kurang daripada apa yang BMR anda bakar setiap hari. Samalah juga jika anda ingin menambah berat badan, anda perlu makan lebih dari kadar BMR anda.

Diet dan juga senaman di luar sana kebanyakannya tidak disesuaikan mengikut keperluan individu. Oleh itu, jika anda faham tentang BMR anda, lebih berkesan lagilah pelan senaman dan diet anda!

Apa kaitan antara BMR dan kadar metabolisme rendah?

cara meningkatkan metabolisme tubuh

BMR yang rendah bermaksud anda mempunyai kadar metabolisme yang rendah.

Maksudnya, berbanding dengan individu yang mempunyai kadar metabolisme yang tinggi, kalori yang dibakar adalah lebih rendah dan lebih sedikit.

Selalunya, individu yang mempunyai BMR yang rendah mempunyai gaya hidup yang tidak aktif. Mereka mungkin jarang bersenam dan tidak bergerak dengan banyak.

Ada beberapa tanda anda mempunyai metabolisme yang rendah:

1. Senang naik berat badan

Individu yang mempunyai BMR yang rendah selalunya senang untuk naik berat badan jika tidak menjaga pemakanan.

2. Cepat rasa penat

Selain itu, individu yang mempunyai metabolisme rendah juga lebih mudah rasa penat dan lesu ketika berjalan ataupun bersenam.

Ini disebabkan oleh gaya hidup mereka yang tidak aktif. Orang yang mempunyai BMR yang rendah juga memerlukan rehat yang lebih lama daripada orang lain.

Jika anda bangun tidur dalam keadaan masih penat dan lesu, BMR anda yang rendah mungkin adalah puncanya!

3. Cepat jatuh sakit

Individu yang mempunyai BMR yang rendah juga cepat jatuh sakit. Selain itu, anda juga mudah untuk mengalami masalah rambut gugur dan kulit kering.

Tambah lagi, anda juga mungkin lebih mudah mengalami migraine dan pening kepala disebabkan kelenjar tiroid yang tidak aktif. Anda juga mungkin rasa cepat sejuk berbanding orang lain.

4. Anda mungkin alami tekanan perasaan

Disebabkan oleh fizikal anda, anda mungkin rasa tertekan dengan rupa paras diri anda. Selain itu, kurangnya senaman juga boleh membuatkan seseorang itu rasa tertekan.

Rasa tekanan perasaan ini mungkin datang seiring dengan pertambahan berat badan dan juga rasa penat dan lesu setiap hari.

Metabolisme badan saya rendah. Ada cara untuk naikkan tak?

metabolisme rendah

1. Cuba senaman aerobik

Senaman aerobik adalah cara yang paling berkesan untuk memperbaiki masalah metabolisme rendah.

Cuba lakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman aerobik seperti berjalan, berbasikal ataupun berenang seminggu sekali.

Anda tidak perlu lakukannya sekali gus. Sebaliknya, cuba pecahkan masanya kepada 5 sesi berdurasi 30 minit. Lebih mudah bukan!

2. Lakukan senaman otot

Cuba fokus pada senaman membina otot. Lebih-lebih lagi pada senaman angkat berat yang memfokuskan bahagian kaki, peha, belakang, perut, bahu dan lengan.

Senaman ini boleh bantu anda untuk meningkatkan kadar BMR dan menurunkan berat badan. Selain angkat berat, anda juga boleh lakukan aktiviti berat di sekeliling rumah seperti berkebun.

3. Jadi lebih aktif elak metabolisme rendah

Pendek kata, salah satu cara meningkatkan metabolisme tubuh anda adalah dengan jadi lebih aktif.

Anda juga boleh ambil pendekatan yang lebih mudah seperti cuba berbasikal ke tempat kerja. Selain itu, cuba naik tangga dan elakkan menunggu lif.

Pasti anda akan dapat lihat perbezaan pada diri anda dalam masa yang singkat!

Metabolisme rendah boleh diperbaiki

Ramai yang memberi alasan mempunyai metabolisme badan yang rendah sebagai punca sukar turun berat badan.

Metabolisme badan sebenarnya bergantung kepada sejauh mana aktifnya seseorang itu dalam kehidupan seharian.

Disebabkan kadar metabolisme yang rendah boleh diperbaiki, ia bukan alasan untuk anda terus malas untuk cuba turunkan berat badan.

Masalah berat badan boleh diatasi dengan cara pemakanan yang baik dan juga senaman yang sesuai. Jangan hanya bergantung kepada ubat-ubat kurus yang ada di pasaran pula ya!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Artikel lain untuk anda

Meningkatkan Kadar Metabolisme

Tip Meningkatkan Kadar Metabolisme

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Amy
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Diterbitkan pada 29/03/2019 . 3 minit bacaan