backup og meta

Mengapa Syarikat Insuran Di Malaysia Perlu Mula Meliputi Kos Pembedahan Bariatrik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 24/06/2020

    Mengapa Syarikat Insuran Di Malaysia Perlu Mula Meliputi Kos Pembedahan Bariatrik

    Pembedahan bariatrik digunakan untuk merawat masalah obesiti yang tidak boleh dirawat menggunakan ubat atau perubahan gaya hidup. Sejak kebelakangan ini, pembedahan ini telah mendapat banyak perhatian oleh komuniti perubatan dan juga orang awam. Kejayaannya dalam merawat obesiti morbid dan masalah kardiometabolik menyebabkan ia digelar sebagai ‘pembedahan ajaib’. Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah pakar bedah bariatrik dan bilangan pesakit yang menjalani pembedahan ini, terdapat keterbatasan yang jelas berkaitan dengan siapa yang boleh mengakses rawatan ini.

    Berat sama dipikul tetapi tidak sama harganya

    Dalam senarai pesakit yang pernah menjalani pembedahan ini, selain mereka yang mendapat tajaan atau bantuan kewangan luar, cukup sukar sekali untuk anda temui pesakit daripada golongan B40. Alasan yang jelas untuk statistik ini adalah kerana faktor kos. Mana-mana jenis pembedahan bariatrik yang ditawarkan akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM 30,000! Dengan kos yang terlalu besar, hanya mereka yang berkemampuan sahaja dapat mengakses rawatan ini. Ini termasuklah golongan selebriti, figura terkenal, tokoh korporat dan mereka daripada keluarga yang kaya. Walaupun nilai yang tinggi ini mempunyai justifikasi yang utuh, ia sekali gus mengukuhkan lagi ketidaksamarataan antara golongan kaya dan golongan miskin dalam mengakses rawatan pembedahan untuk obesiti.

    Rasional untuk meliputi kos pembedahan bariatrik 

    Walaupun semakin ramai golongan B40 and M40 mendaftar untuk perlindungan insuran kesihatan, pakej-pakej sedia ada tidak meliputi kos untuk pembedahan bariatrik. Natijahnya, mereka hanya mampu mengakses rawatan berteraskan ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit mereka yang bersangkut-paut dengan obesiti. Dengan itu, berikut adalah 2 sebab utama mengapa pembekal insuran di Malaysia perlu mula berlumba untuk meliputi pembedahan ini dalam pakej mereka:

    1.Obesiti kini ditakrifkan sebagai penyakit dan kelazimannya tinggi di Malaysia

    Berbeza dengan fahaman ramai, pengumpulan lemak yang terlalu banyak dalam badan bukan lagi satu kondisi, tetapi ia adalah sejenis penyakit kronik. Definisi ini dipersetujui oleh pakar kesihatan seluruh dunia dan juga oleh pelbagai badan kesihatan lain seperti Persekutuan Obesiti Sedunia, Persatuan Perubatan Amerika (AMA) dan juga Persatuan Kajian Obesiti Eropah (EASO). Pentakrifan ini turut dipersetujui oleh komuniti perubatan di Malaysia dan juga oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Oleh yang demikian, pihak KKM dan juga organisasi-organisasi berkaitan sedang berusaha untuk menghasilkan Garis Panduan Klinikal dan Praktikal (CPG) Obesiti pertama di Malaysia. Dengan memasukkan pembedahan ini sebagai rawatan yang rasmi untuk obesiti, CPG ini akan membantu untuk mendorong syarikat insuran agar mula meliputi rawatan ini dalam pakej mereka. Tambahan lagi, kelaziman obesiti yang cukup tinggi di Malaysia adalah selari dengan polisi mereka yang mensasarkan penyakit-penyakit lazim. Menurut statistik, hampir satu per tiga (30.6%) daripada keseluruhan populasi di Malaysia adalah obes.

    2. Sangat berkesan untuk obesiti morbid 

    Penghidap obesiti lazimnya akan mempunyai sekurang-kurangnya dua lagi penyakit lain. Antara penyakit yang lazim untuk dihidapi seseorang yang obes adalah kencing manis, strok, hipertensi, osteoarthritis, polycystic ovarian syndrome and dan apnea. Untuk obesiti morbid, tidak ada rawatan lain yang lebih berkesan dan selamat berbanding pembedahan bariatrik. Bukan sahaja ia membantu menurunkan berat badan, ia juga membantu untuk mengurangkan keterukan simptom penyakit berkaitan yang lain. Dalam keadaan semasa, setiap penyakit yang dihidapi oleh seseorang yang obes dikawal menggunakan regim rawatan yang berbeza. Tambahan lagi, boleh juga terjadi di mana setiap penyakit itu memerlukan dua atau lebih ubat yang berbeza. Ini bukan sahaja akan menyebabkan pesakit terdedah kepada risiko kerosakan buah pinggang, keperluan untuk mengambil pelbagai jenis ubat untuk jangka masa yang panjang ini akan menyebabkan kos rawatan terkumpul yang perlu ditanggung menjadi tinggi. Kajian juga mendapati bahawa walaupun mahal, pembedahan adalah lebih berkesan jika dibandingkan dengan pengambilan ubat yang berterusan. 

    Walaupun terlalu awal untuk menduga bila anjakan paradigma akan berlaku, usaha ke arahnya sedang berjalan. Selain pihak kerajaan, pihak swasta seperti Johnson & Johnson juga turut memainkan peranan mereka dalam membantu untuk meningkatkan mutu rawatan untuk penyakit obesiti. Bersempena dengan Hari Obesiti Sedunia 2019, Ethicon, sebahagian daripada syarikat naungan Johnson & Johnson, telah menganjurkan sebuah kempen untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan semula kualiti kehidupan mereka melalui pembedahan bariatrik. Dengan tanda pagar #myliferenewed, Ethicon mengharapkan lebih ramai pihak akan mula sedar tentang beban obesiti dan juga kewujudan rawatan yang berkesan untuknya. 

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 24/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan