backup og meta

6 Tanda Anemia Pada Wanita, Gejala No. 4 Paling Ramai Tak Jangka!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/01/2024

    6 Tanda Anemia Pada Wanita, Gejala No. 4 Paling Ramai Tak Jangka!

    Masalah anemia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Pun begitu keadaan ini lebih cenderung berlaku kepada wanita. Jom kita lihat antara tanda-tanda anemia pada wanita paling biasa yang boleh dikenal pasti.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Gangguan Darah, sila dapatkannya di sini.

    Masalah anemia

    Terlebih dahulu, sebelum mengetahui mengenai tanda-tanda anemia dalam kalangan wanita, ayuh kita fahami secara ringkas mengenai keadaan ini.

    Anemia merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu itu tidak mempunyai sel darah merah mencukupi untuk membawa oksigen yang diperlukan ke tisu badan.

    Anemia tidak berdiri sendiri sebagai penyakit tertentu, sebaliknya ia berpunca daripada penyakit asas lain dan boleh berfungsi sebagai petanda bahawa terdapat masalah serius sedang berkembang.

    Apakah anemia berbahaya? Anemia boleh bertukar menjadi keadaan yang sangat serius.

    Ramai wanita tidak menyedari mereka berisiko atau tidak tahu bagaimana untuk mengenal pasti tanda-tanda anemia.

    Gejala anemia cenderung mirip seperti tekanan, jadi ia biasanya tidak disedari dan tidak dirawat dengan betul. 

    Untuk merawatnya, ia bergantung kepada tahap keterukan setiap keadaan dan boleh merangkumi kaedah seperti pengambilan makanan tambahan kepada prosedur perubatan.

    Selalunya tanda-tanda anemia boleh dicegah dan dikurangkan dengan melakukan beberapa perubahan dalam tabiat pemakanan.

    Tanda-tanda anemia pada wanita

    Jika anda mengesyaki diri mungkin mengalami gangguan anemia, semak tanda-tanda anemia berikut dan lakukan pemeriksaan dengan doktor bagi mendapatkan nasihat lanjut.

    Keletihan 

    Bagi individu yang mengalami tanda-tanda anemia, anda tidak mempunyai hemoglobin mencukupi dalam sel darah merah. Ini menyebabkan masalah apabila sel darah merah cuba mengedarkan oksigen ke seluruh badan. 

    Keletihan mula timbul apabila oksigen kurang sampai ke organ dan otot penting. Biasanya ia hanyalah keletihan ringan.

    Tetapi jika ia merupakan keletihan melampau, anda harus segera mendapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Tona kulit & kuku rapuh, antara simptom anemia teruk

    penyakit anemia pada wanita
    Simptom anemia pada wanita.

    Kulit pucat pada individu anemia berlaku kerana kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah dan kekurangan sel darah merah secara umumnya. 

    Apabila sel darah merah menjadi terhad, maka ia tidak cukup untuk sampai ke permukaan kulit. Ini kerana ia ‘dialihkan’ untuk membekalkan organ penting lain, kesannya kulit akan menjadi pucat.

    Mempunyai kuku rapuh adalah satu lagi simptom yang mungkin akan dialami pesakit anemia.

    Jika kedua-dua keadaan ini terjadi – kulit pucat dan kuku rapuh – anda disarankan untuk berjumpa doktor bagi menjalani beberapa ujian darah.

    Melalui ujian darah, ia akan dapat menentukan sama ada anda mengalami anemia dan membantu memberikan gambaran keseluruhan yang lebih baik.

    Tanda-tanda anemia pada wanita #Berdebar-debar 

    Jantung berdebar (palpitation) adalah degupan jantung yang tidak teratur. Ia berlaku apabila jantung terpaksa mengimbangi kekurangan oksigen dalam darah dan perlu ‘bekerja’ dua kali lebih kuat untuk mendapatkan oksigen beredar ke seluruh badan.

    Bersama degupan jantung pantas dan tidak teratur ini, kekurangan sel darah merah turut akan menjadikan pernafasan lebih sukar kerana tidak mendapat oksigen mencukupi daripada paru-paru ke jantung.

    punca anemia
    10 tanda anemia yang wanita tidak sedar.

    Tanda-tanda anemia pada wanita no. 4: Bunyi berdering

    Individu anemia mungkin akan mendengar bunyi pada bahagian telinga dalam yang dikenali sebagai tinnitus. Ia biasanya kedengaran seperti ‘deringan’ di dalam telinga, namun setiap individu dikatakan akan mendengar bunyi yang berbeza.

    Umumnya, terdapat peningkatan aliran darah dalam urat leher kerana jantung bekerja lebih keras untuk mengepam darah antara jantung dan otak

    Untuk melakukannya, darah perlu melalui telinga tengah, kesannya menyebabkan deringan atau bunyi lain.

    Lidah terbakar, salah satu simptom anemia teruk

    Lidah yang terbakar juga boleh menjadi petunjuk anemia untuk tempoh pertengahan atau jangka masa panjang.

    Rasa ‘berduri’ pada lidah adalah tanda lain yang mungkin menunjukkan tanda-tanda anemia pada wanita atau gangguan darah.

    Sakit kepala

    tanda-tanda anemia pada wanita
    Anemia menyebabkan sakit kepala.

    Sakit kepala yang kerap boleh menjadi satu lagi tanda anemia.

    Dalam konteks gangguan darah, sakit kepala biasanya petanda bahawa terdapat kekurangan oksigen yang sampai ke otak.

    Apabila ini berlaku, arteri di kepala akan mula membengkak dan mengakibatkan kesakitan. Jika tidak cukup darah mengalir melalui arteri, anda mungkin akan lebih cenderung mengalami sakit kepala yang kerap.

    Kesimpulan

    Tanda-tanda anemia pada wanita biasanya boleh diatasi dengan meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet.

    Majoriti individu boleh mendapatkan zat besi mencukupi melalui diet, namun ada juga memerlukan lebih daripada itu. 

    Walau bagaimanapun, terlalu banyak zat besi boleh menjadi toksik dan cuba merawat diri dengan meningkatkan pengambilan zat besi badan tanpa saranan doktor adalah berbahaya untuk dilakukan.

    Satu-satunya cara anda boleh tahu jika perlu menambah zat besi dalam diet adalah melalui nasihat dan pemeriksaan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan