Ramai pesakit anemia risau, sama ada mereka boleh berpuasa di bulan Ramadan atau tidak. Ada yang terus membuat keputusan untuk tidak berpuasa dengan alasan sakit. Ada pula yang terus berpuasa tanpa mengambil kira risiko yang ada. Mana satu yang sepatutnya menjadi pilihan yang terbaik?
Ikuti perbincangan berikut.
Apa itu anemia?
Darah kita mengandungi beberapa jenis sel; sel darah merah, sel darah putih dan platelet. Dalam kes anemia, kiraan sel darah merah lebih rendah daripada normal. Sel darah merah berfungsi membawa oksigen ke seluruh sel di dalam badan dan mengambil karbon dioksida dari sel-sel tersebut untuk dibawa keluar.
Apabila sel darah merah berkurang, kuantiti oksigen yang dibawa ke sel-sel badan semakin berkurang. Hasilnya, tenaga yang dihasilkan turut berkurang. Sebab itu, antara tanda anemia adalah mudah letih disebabkan kurang oksigen.
Terdapat banyak jenis anemia. Antaranya ialah:
-
- Anemia kekurangan zat besi. Zat besi adalah komponen utama bagi sel darah merah. Jika berlaku kekurangan zat besi sama ada disebabkan kurang pengambilan di dalam diet atau kehilangannya disebabkan cirit-birit atau pendarahan. Ini adalah jenis yang paling kerap berbanding jenis yang lain.
- Anemia hemolitik. Dalam jenis ini, sel darah merah dihancurkan di dalam darah. Jenis ini sendiri terbahagi kepada banyak jenis seperti thalassemia, anemia sel sabit dan kekurangan G6PD. Banyak jenis anemia ini didapati sejak lahir daripada ibu dan bapa. Oleh itu, jika anda mempunyai sejarah penyakit anemia hemolitik di dalam keluarga, sebaiknya untuk anda mendapatkan pemeriksaan darah sebelum berkahwin.
- Anemia penyakit kronik. Jenis ini berlaku jika seseorang mengalami penyakit kronik seperti sistemik lupus eritomatosus (SLE), kanser, artritis reumatoid dan HIV/AIDS. Penyakit kronik menindas sumsum tulang, iaitu kilang bagi penghasilan darah menyebabkan kurang penghasilan sel darah merah.
- Anemia aplastik. Jenis ini jarang berlaku. Ia bukan sahaja melibatkan sel darah merah, tetapi juga sel darah putih dan platelet. Semua kiraan sel darah menjadi rendah.
Tanda-tanda anemia
Anemia adalah sejenis penyakit yang tersembunyi. Ia agak susah didiagnosis kerana simptom dan tandanya yang kurang jelas seperti penyakit lain. Satu-satunya cara yang mengesahkan diagnosis anemia adalah melalui ujian darah dengan melihat kepada kiraan sel darah merah yang lebih rendah berbanding normal.
Kadangkala, anemia itu sendiri mungkin menjadi petanda kepada penyakit lain. Contohnya, dalam kes sistemik lupus eritomatosus (SLE), anemia itu menjadi salah satu tanda kepadanya.
Apakah tanda-tanda anemia?
- Penat.
- Lemah.
- Kulit pucat.
- Degupan jantung tidak sekata.
- Sesak nafas.
- Kepala ringan.
- Sakit dada.
- Kaki dan tangan sejuk.
- Sakit kepala.
Pada awalnya, anemia mungkin tidak membahayakan. Semakin lama jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius seperti pitam dan sesak nafas yang teruk. Pastikan anda membuat pemeriksaan awal dengan doktor.
Bolehkah pesakit anemia berpuasa Ramadan?
Jawapannya adalah boleh dan tidak boleh. Ia sentiasa bergantung kepada tahap anemia anda. Secara umumnya, pesakit anemia boleh berpuasa asalkan mereka menjaga pemakanan dan mendapatkan rehat yang cukup.
Puasa boleh membuatkan simptom anemia semakin teruk serta menyebabkan dehidrasi dan penurunan kadar gula dalam darah. Semua ini boleh mengganggu fungsi badan. Masalah berpuasa bagi pesakit anemia adalah lebih kepada penyerapan zat besi berbanding kurang pengambilan di dalam diet.
Untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut, sila hubungi doktor anda bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya.
Tip berpuasa Ramadan bagi pesakit anemia
Perhatian lebih harus diberikan bagi pesakit anemia. Untuk kekal sihat sepanjang Ramadan, ikuti beberapa tip berikut:
- Pastikan sahur dan berbuka puasa di awal waktu setiap hari.
- Mulakan berbuka puasa dengan makanan atau minuman yang manis terlebih dahulu memandangkan kadar gula darah adalah rendah ketika berpuasa. Oleh itu, makanan atau minuman manis penting untuk mengambalikan gula darah ke tahap normal.
- Banyakkan mengambil makanan yang mengandungi zat besi. Seperti yang disebut di atas, zat besi adalah komponen utama bagi sel darah merah. Antara makanan kaya dengan zat besi ialah daging merah, hati, kuning telur, kekacang dan sayuran hijau seperti bayam dan kangkung.
- Ambil makanan tinggi kalsium seperti susu.
- Banyakkan makanan tinggi vitamin C kerana ia membantu badan menyerap zat besi. Contonya ialah jeruk, mangga, oren dan strawberi.
- Banyakkan minum air kosong. Ini adalah penting untuk mengelakkan dehidrasi memandangkan ia boleh membuatkan anemia anda semakin teruk. Minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari sepanjang bulan Ramadan.
- Elakkan minuman berkafien seperti kopi dan teh. Kafein bertindak sebagai diuretik yang menyebabkan anda lebih kerap membuang air kencing dan lebih terdedah kepada dehidrasi. Bagi mereka yang mengambil kafein secara berkala, mereka mungkin akan mengalami sakit kepala yang diterukkan lagi oleh anemia dan tekanan darah rendah.
- Jika perlu, ambil suplemen penambah darah yang mengandungi zat besi seperti dan vitamin B seperti asid folik mengikut anjuran doktor.
- Dapatkan rehat yang cukup.
Jangan risau dengan penyakit yang anda alami. Anda boleh berbincang dengan doktor berkenaan risiko berpuasa bagi anda di bulan Ramadan. Jika anda cukup sihat untuk berpuasa, gunakan peluang tersebut sebaiknya dalam melaksanakan ibadah ini. Jika sebaliknya, jangan bersedih. Masih banyak amalan lain yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
Apa yang penting, jangan sampai penyakit anda menghalang anda dari menjadi aktif dan berguna di dalam masyarakat.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.