Hi doktor saya nk tnya kenapa saya kerap berak berdarah ye? Banyak darah tapi tkde luka
Obesiti di kalangan kanak-kanak
Kadar berat badan berlebihan/obesiti pada golongan kanak-kanak dan remaja amat membimbangkan sejak beberapa tahun ini, di mana kes obesiti pada golongan kanak-kanak berumur 5-17 tahun adalah sebanyak 14.8%. Kelaziman obesiti yang semakin meningkat banyak dipengaruhi oleh tingkah laku pemakanan yang tidak sihat, yang boleh memberikan kesan kepada penyakit tidak berjangkit kronik.
Walaupun gen juga memainkan peranan yang besar, kebanyakan obesiti adalah disebabkan oleh pengambilan kalori yang melebihi kalori yang dibakar. Makanan seperti makanan ringan, sajian segera dan makanan yang diproses tinggi sememangnya dapat menarik perhatian kanak-kanak pada masa kini, namun semua makanan ini adalah makanan yang tak sihat kerana mereka bukan sahaja tinggi dalam lemak dan kalori, mereka juga tak mengandungi nutrien penting untuk pertumbuhan. Makan terlalu banyak makanan tersebut di samping gaya hidup yang sedentari akan menyebabkan lebihan kalori (calorie surplus) dan seterusnya penambahan berat badan dalam jangka masa yang panjang.
Pertambahan Berat = Kalori Yang Digunakan > Kalori Terbakar
Kebanyakan kanak-kanak yang obese akan terus mengalami obesiti apabila mereka dewasa dan menimbulkan banyak kesan negatif obesiti terhadap kesihatan fizikal dan psikologi mereka. Kanak-kanak obese terdedah kepada masalah kesihatan yang serius pada masa hadapan seperti peningkatan risiko menghidapi diabetes jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, penyakit hati berlemak (fatty liver disease), kemurungan, apnea tidur dan banyak lagi.
Menangani obesiti pada kanak-kanak boleh menjadi cabaran, tetapi berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu:
#1 Meningkatkan aktiviti fizikal dan mengurangkan gaya hidup sedentari dan masa skrin
Dengan kemajuan teknologi, kanak-kanak lebih tergoda untuk bermain di dalam rumah dengan telefon dan tablet. Mereka juga akan meluangkan lebih banyak masa di hadapan skrin sama ada membuat homework dengan komputer riba atau menonton kartun kegemaran mereka. Disebabkan oleh itu, mereka mempunyai masa yang lebih sedikit untuk aktiviti luar dan menjadi kurang aktif disebabkan masa skrin yang panjang. Sebagai ibu bapa, anda patut memantau dan mengehadkan masa skrin mereka serta menggalakkan lebih banyak aktiviti luar seperti bermain frisbee, bola sepak dan badminton.
#2 Elakkan melangkau waktu makan
Tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti melangkau waktu makan juga harus dielakkan kerana bukan sahaja ia akan menyebabkan anak anda lebih lapar dan makan berlebihan selepas itu, ia juga akan menyebabkan penurunan kadar gula darah dalam badan, dan anak anda akan berasa lebih letih selepas melangkau waktu makan.
#3 Elakkan pengambilan snek semasa waktu makan utama
Snek mengandungi kalori kosong, walaupun anak anda mungkin berasa kenyang seketika, mereka juga akan menjadi lebih cepat lapar kerana disebabkan kekurangan protein atau serat dalam diet anda. Oleh itu, snek lebih cepat dicerna berbanding dengan makanan utama. Kanak-kanak yang mengambil snek semasa waktu makan utama juga mungkin akan kekurangan nutrien utama seperti karbohidrat dan protein.
#4 Elakkan makanan dan minuman manis
Kajian mendapati bahawa minuman berkarbonat akan merangsang hormon pertumbuhan dan meningkatkan selera makan yang membawa kepada peningkatan berat badan. Makan terlampau makanan dan minuman manis di dalam diet anda juga bermakna lebihan tenaga, jika anak anda tidak aktif ia akan menyebabkan peningkatan berat badan juga. Para ibu bapa perlulah berwaspada dan ingat bahawa pengambilan gula kanak-kanak tidak boleh melebihi daripada 25g sehari.
# 5 Penglibatan keluarga dalam proses perubahan
Ibu bapa, sebagai ahli keluarga yang mempengaruhi kanak-kanak secara signifikan, memainkan peranan utama dalam perkembangan pemakanan dan tingkah laku aktiviti anak-anak mereka yang mungkin menyumbang kepada peningkatan berat badan. Pastikan anda sebagai ibu bapa menjadi teladan yang baik dengan memakan makanan yang seimbang, sihat, dan pada waktu yang teratur. Kajian menunjukkan bahawa penglibatan dan komunikasi yang lebih baik antara ibu bapa berkaitan dengan pengurangan obesiti pada kanak-kanak. Dalam menangani tingkah laku makan dan aktiviti kanak-kanak, peranan yang dimainkan oleh ibu bapa dalam memberi makanan kepada anak-anak dan keprihatinan mereka terhadap kesihatan anak-anak mereka adalah sangat penting.
Amalkan gaya hidup sihat dengan kekal aktif dan melalui pemakanan yang sihat boleh membantu kanak-kanak yang obese memulih kembali ke berat badan yang normal. Oleh itu pendidikan tentang pemakanan sihat dan menjadi contoh yang baik untuk anak-anak anda adalah penting untuk bermula seawal mungkin bagi mengelakkan masalah kesihatan pada masa hadapan.
Disediakan oleh Sylvia Ho (pakar pemakanan)
Sumber:
Siri Promosi pemakanan sihat di sekolah : Bahaya Melangkau Waktu Makan ... (n.d.). Retrieved February 24, 2023
Factsheet BM Aug2020 - Ministry of Health. (n.d.). Retrieved February 24, 2023
NHS. (n.d.). Sugar: the facts. NHS choices. Retrieved February 24, 2023
0 komen
Terkini