Di saat dunia sedang kecoh dengan wabak virus korona baharu, di Australia, nyamuk gajah sebesar duit 20 sen telah ditemui.
Pihak berkuasa di Australia bimbang akan virus yang seringkali menjangkiti nyamuk tersebut dikenali sebagai virus Ross River.
Jika anda tidak tahu tentang virus ini, teruskan membaca untuk mengetahui selanjutnya.
Wabak yang masih tiada penawar
Virus korona kini menjadi tumpuan media berikutan ia mempunyai potensi untuk tersebar ke serata dunia. Namun, dalam masa yang sama, kita perlu memberi tumpuan juga kepada masalah ancaman kesihatan yang lain agar kesihatan global terjaga.
Sebagai contoh, di Malaysia, selain daripada ancaman virus influenza dan korona baharu, kematian akibat kes demam denggi turut memuncak. Ini merupakan salah satu daripada ancaman kesihatan yang perlu diuruskan dengan betul agar tidak melarat.
Di Australia, beberapa nyamuk sebesar duit syiling 20 sen telah ditemui. Nyamuk tersebut, turut dikenali sebagai nyamuk gajah, sering kali dikaitkan dengan virus Ross River yang masih tidak mempunyai sebarang penawar.
Ancaman kesihatan ini pernah berlaku pada tahun 2015 apabila hampir 700 individu dijangkiti virus tersebut. Pihak berkuasa di Australia telah mengambil langkah keselamatan dengan melakukan aktiviti fogging secara berkala.
Ramai penghuni yang menginap di kawasan berisiko tinggi tidak berani keluar rumah. Mereka yang dijangkiti akan sembuh. Namun bagi sesetengah pesakit, tempoh pemulihan mereka akan mengambil masa yang agak lama.
Nyamuk gajah, pembunuh semula jadi nyamuk Aedes
Walaupun ramai penduduk di Australia takut akan nyamuk gajah ini, adakah ia boleh mendatangkan bahaya kepada tahap kesihatan manusia?
Berbeza dengan spesies nyamuk yang lain, nyamuk gajah tidak memerlukan darah manusia untuk bertelur. Justeru, risiko penduduk Australia untuk digigit nyamuk jenis ini tersangatlah rendah walaupun ia kelihatan menakutkan.
Spesies nyamuk selain daripada nyamuk gajah berpotensi untuk menyebabkan jangkitan virus Ross River.
Jika nyamuk ini tidak memerlukan darah manusia, anda mesti tertanya-tanya, apakah jenis makanan yang diambil oleh nyamuk ini untuk hidup? Jawapannya, mereka mempunyai jarum yang seakan-akan belalai yang direka khas untuk menyedut madu daripada bunga.
Nyamuk gajah juga merupakan pemangsa kepada spesies nyamuk yang lain. Ia memerlukan 5,000 larva nyamuk sebelum ia matang dan proses ini boleh memakan masa selama 6 bulan.
Antara nyamuk kegemarannya adalah spesies nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan seperti denggi, zika, chikungunya dan demam kuning.
Nyamuk gajah pernah digunakan sebagai alternatif untuk mengurangkan kes pembiakan nyamuk Aedes suatu ketika dahulu. Namun, ia dianggap tidak efektif berikutan sukar untuk menghasilkan nyamuk tersebut pada skala besar.
Virus Ross River
Seperti jangkitan yang dibawa oleh nyamuk yang lain, cara penyebaran virus ini perlu dibawa oleh nyamuk untuk menjangkiti dari satu individu kepada individu yang lain. Tiada jangkitan antara manusia secara langsung pernah direkodkan dalam sejarah perubatan.
Antara spesies nyamuk yang aktif membawa virus ini adalah:
- Aedes vigilax – sering ditemui di kawasan paya
- Aedes notoscriptus – sering ditemui di kawasan air tawar
- Culex annulirostris – sering ditemui pada bekas yang mengandungi air bertakung di kediaman manusia
Mereka yang dijangkiti dengan virus ini akan mengalami radang dan kesakitan pada kebanyakan sendi untuk tempoh 2 hingga 6 minggu. Simptom lain yang boleh dialami adalah seperti berikut:
- Demam
- Sendi bengkak
- Ruam yang kebiasaannya boleh berlaku di antara 1 hingga 10 hari
Pesakit kebiasaannya mengalami simptom untuk tempoh 3 hingga 11 hari. Namun, bagi sesetengah individu, terutamanya kanak-kanak, jangkitan mungkin berlaku tanpa sebarang simptom.
Rawatan untuk jangkitan ini hanya bersifat konservatif. Doktor hanya akan memberikan rawatan untuk melegakan simptom yang dialami memandangkan tiada ubat khusus yang dapat membunuh virus ini.
Kawalan pada jumlah nyamuk yang membawa virus ini menjadi tanggungjawab semua pihak dalam satu komuniti.
Kerajaan perlu memastikan langkah pembasmian nyamuk seperti aktiviti fogging dijalankan secara kerap, penduduk tempatan perlu melakukan aktiviti gotong-royong secara berkala dan setiap individu perlu memastikan tempat kediaman bebas daripada kawasan takungan air.
Adakah saya perlu bimbang jika terjumpa spesies nyamuk gajah ketika di Australia?
Siapa tak takut kan kalau terjumpa dengan nyamuk sebesar duit 20 sen? Reaksi anda jika terlihat akan serangga ini, pasti anda akan mengambil apa-apa barang untuk memukulnya. Namun, tindakan itu mungkin tidak memberikan kebaikan kepada anda.
Ini berikutan kehadiran nyamuk gajah memastikan spesies nyamuk lain seperti Aedes terkawal. Ia merupakan nyamuk pemangsa kepada nyamuk-nyamuk lain. Ini bermakna, dalam konteks pembunuh serangga, nyamuk gajah ibarat penyembur nyamuk semula jadi.
Di Malaysia, nyamuk gajah merupakan spesies nyamuk yang endemik di Sabah. Jika anda bimbang akan gigitan nyamuk secara amnya, beberapa langkah boleh diambil:
- Pakai baju dan seluar panjang
- Guna penyembur nyamuk seperti yang disarankan
- Jika anda menggunakan krim pelindung matahari, gunakan krim itu terlebih dahulu, kemudian guna penyembur nyamuk
- Guna peralatan yang telah dilengkapi dengan bahan kimia pembunuh nyamuk. Ia mampu memberikan perlindungan walaupun telah dibasuh. Jangan lupa untuk semak tempoh masa perlindungan produk tersebut
- Jangan semburkan pembunuh serangga secara langsung ke atas kulit
- Gunakan kelambu ketika tidur jika anda berkhemah atau menetap di kawasan yang banyak nyamuk
Konklusi
Walaupun kelihatan mengancam nyawa, tapi nyamuk gajah boleh dianggap sebagai sahabat baik kepada manusia. Ia merupakan serangga pemangsa spesies nyamuk yang lain.
Jika anda merancang untuk melakukan aktiviti luar ketika di Australia, pastikan anda memakai alat perlindungan mengikut saranan untuk mengelakkan jangkitan virus yang boleh dibawa oleh nyamuk.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.