backup og meta

Vape Dan Rokok Elektronik Mungkin Diharamkan - Timbalan Menteri Kesihatan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 23/06/2020

    Vape Dan Rokok Elektronik Mungkin Diharamkan - Timbalan Menteri Kesihatan

    Rentetan desakan 50 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menggesa agar kerajaan  mengharamkan vape, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang meneliti beberapa pilihan bagi membendung penggunaan alat tersebut. Pilihan yang ada termasuklah menguatkuasakan peraturan jualan yang ketat ataupun memutuskan agar vape diharamkan sepenuhnya. 

    Mengkaji keperluan agar vape diharamkan 

    Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, langkah tersebut dilihat perlu memandangkan masalah penggunaan rokok elektronik dan vape dilihat semakin tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah. Selain gejala tersebut, semakin ramai ibu bapa, persatuan pengguna dan agensi-agensi berkepentingan, termasuklah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), menyeru agar vape diharamkan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih memerlukan lebih banyak data maklumat berhubung perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

    “Keputusan belum diputuskan sama ada e-cigaratte atau vape diharamkan seratus peratus ataupun kita nak kenakan sekatan yang ketat dari segi penjualan ada nikotin atau penjualan tanpa nikotin. Jadi ini beberapa pilihan yang kita kaji melalui jawatankuasa khas tersebut di mana saya adalah pengerusinya dan keputusan akan dibuat sebaik sahaja kita ada maklumat yang selanjutnya,” kata beliau.

    Tambah beliau lagi, keputusan yang muktamad berkaitan isu ini dijangka akan diumumkan pada tahun depan, berdasarkan himpunan maklumat dan data yang mereka perlukan. Sebelum ini, media telah melaporkan bahawa pihak KKM akan membentangkan akta baharu berkaitan pengunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan sisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac depan.

    Ketagihan nikotina melalui alat berbeza

    Ramai pelajar sekolah terpedaya dengan promosi-promosi vape yang turut disokong oleh selebriti dan juga artis terkemuka tanah air. Walaupun berbeza kaedah pembakarannya, kedua-dua tembakau dan juga vape membekalkan nikotina kepada pengguna. Ini sekaligus akan menggagalkan usaha kerajaan dalam membasmi ketagihan nikotina yang sebelum ini, diperolehi melalui rokok tembakau. 

    Selain itu, penjualan rokok elektronik dan vape yang tidak terkawal di negara kita menyebabkan tiada piawaian kandungan cecair. Pengguna turut berupaya untuk mencampur perisa yang berbeza-beza, selain mempunyai keupayaan untuk menambah kandungan nikotina dalam cecair yang mereka sedut. 

    Jika anda berminat untuk berhenti merokok, dapatkan bantuan berhenti merokok yang efektif di klinik-klinik mQuit di seluruh negara. Layari laman sesawang jomquit untuk mengetahui lebih lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan