backup og meta

Nota Pengarang: Mengapa Gerakan Anti-Vaxxers Sebenarnya Dedahkan Kepincangan Strategi Maklumat Saintifik

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser · Disemak pada 02/12/2019

    Nota Pengarang: Mengapa Gerakan Anti-Vaxxers Sebenarnya Dedahkan Kepincangan Strategi Maklumat Saintifik

    Kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes penularan penyakit yang boleh dirawat dengan vaksin di seluruh dunia. Paling menggemparkan apabila terdapatnya peningkatan kes wabak campak di Amerika Syarikat dan Eropah, di mana umum mengetahui penyakit tersebut sudah sekian lama tersenarai sebagai penyakit berjaya dibasmi.

    Ini sekaligus mendorong Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyenaraikan ‘Keraguan Terhadap Vaksinasi’ (keengganan mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit walaupun terdapat capaian mudah kepada vaksin) sebagai salah satu daripada 10 ancaman kesihatan global pada tahun 2019.

    [BACA: WHO: 10 Isu Kesihatan Akan Ditangani Tahun Ini]

    Walaupun terdapat pelbagai alasan dan kepercayaan yang sangat rumit mengapa golongan anti-vaksin ini menolak vaksinasi, jika diamati sebenarnya, perubahan dalam cara kita mendapat capaian kepada maklumat kesihatan boleh memberikan penjelasan mengapa semakin semakin ramai yang meragui dan sekaligus menolak vaksinasi.

    Kredit Video: The Vox 

    Dalam dunia yang semakin mudah masyarakat mendapatkan maklumat mengenai sains dalam talian terutamanya di media sosial, amat penting untuk sektor kesihatan awam memahami bagaimana masyarakat terdedah kepada mesej anti-vaksinasi yang tersebar dengan begitu pantas dan mudah.

    Para saintis memerlukan strategi komunikasi yang efektif sekiranya ingin mengatasi trend gerakan anti-vaksinasi ini.

    Media baru mengubah cara masyarakat memproses maklumat sains

    Dalam penyelidikan baru-baru ini, penyeldik menjelaskan secara ringkas mengenai bagaiman pergerakan anti-vaksinasi menggunakan media sosial untuk meningkatkan keraguan dan mencambah keresahan mengenai vaksinasi. Penyelidikan tersebut mendapati anti-vaxxer memilih dan berkongsi maklumat saintifik daripada artikel dan jurnal yang boleh diakses secara terbuka di media sosial sekaligus meningkatkan keraguan dalam kalangan populasi yang lebih luas.

    Sesiapa sahaja termasuk aktivis dengan agenda tertentu boleh menghasilkan dan berkongsi maklumat dalam talian. Ini ditambah dengan keberkesanan media sosial, di mana masyarakat dunia dihubungkan secara serentak pada skala global.

    Kebanyakan media dalam talian tidak menerima kawalan kualiti editorial sepertimana kandungan media massa tradisional dibentuk.

    Akibatnya, kandungan yang dihasilkan oleh ‘pakar-pakar’ ini berasaskan pendapat dan fakta yang berada di garisan kebenaran yang kabur. Ini menjadikan agak sukar untuk menilai jika sesuatu maklumat yang disebarkan itu boleh dipercayai atau tidak, apatah lagi jika maklumat itu dihadam oleh masyarakat umum yang tidak terdedah kepada fakta sains dan kesihatan yang sahih dan berwibawa sebelum ini.

    [BACA: Majoriti Berita Kesihatan Dikongsi di Facebook Palsu atau Mengelirukan]

    Keadaan bertambah rumit apabila golongan-golongan yang ‘terima sahaja’ ini membentuk komuniti mereka sendiri dengan mencari sumber dan berkongsi maklumat yang mereka rasa selesa, mudah dihadam oleh minda mereka yang ‘tidak mahu’ terlalu rumit. Salin sahaja alamat laman web artikel dan jurnal ke dalam kumpulan ‘whatsapp’ keluarga, rakan sekerja dan alumni sekolah, kemudian tekan ‘hantar’. Kesyukuran meniti di bibir mereka kerana telah menjalankan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat prihatin yang merasakan perlunya kebenaran dibongkar. Hakikatnya, mereka sedang menggali lubang yang kelak akan menguburkan diri dan keluarga mereka.

    Perkongsian maklumat berdasarkan apa yang mereka ingin tahu walaupun bukan itu kenyataan yang sahih lagi benar telah mencipta satu ruang gema atau ‘echo chamber’ dalam talian, di mana maklumat yang dikongsi dan direkayasa oleh kumpulan-kumpulan kecil ini membentuk polarisasi maklumat yang akhirnya dianggap mewakili norma kerana popularitinya.

    Para saintis mungkin berfikir bahawa perkongsian maklumat yang ditinjau dan dibuktikan kesahihan oleh rangkaian saintis di seluruh dunia, dapat mengubah persepsi masyarakat mengenai keupayaan vaksinasi. Malangnya, ia tidak semudah itu.

    Fakta sahaja tidak mencukupi

    Komunikasi sehala atau ‘top-down communication’ sudah tidak lagi membuahkan hasil. Lebih-lebih lagi ketika ini, komunikasi mengenai maklumat sains hanya bertumpu kepada topik kontroversi sahaja, apabila fakta penuh keraguan saling diulang sehingga membentuk persepsi masyarakat.  

    Komunikasi maklumat sains adalah berbentuk progresif, jika kekurangan maklumat dalam komunikasi, ia bukanlah satu masalah utama. Isunya di sini adalah bagaimana masyarakat memproses maklumat tersebut. Kadangkala, masyarakat sengaja menolak untuk mengetahui dan selektif dalam memilih maklumat yang cuba disampaikan oleh saintis. Tidak mustahil jika golongan anti-vaksin menolak kajian bertahun lamanya bagi membuktikan vaksin tidak meningkatkan risiko autisme pada kanak-kanak apatah lagi dalam kalangan kanak-kanak yang terdedah dengan risiko penyakit lain.

    Kredit Video: Now This News

    Kadangkala fakta juga boleh diibaratkan seperti ‘peluru makan tuan’. Sebuah kajian mendapati, jika ibubapa yang meragui vaksinasi dibanjiri dengan pelbagai maklumat dan fakta mengenai keselamatan vaksin boleh menjadikan mereka lebih meragui mengenai vaksinasi.

    Kajian tersebut mengesahkan bahawa sangat sukar untuk menghilangkan maklumat palsu daripada ingatan seseorang. Dan mungkin lebih sukar untuk mengubah minda jika mereka mempunyai keyakinan yang kuat mengenai hujah yang dipertikaikan.

    Pandangan masyarakat tentang hujah-hujah yang dipertikaikan dalam sains dipolarisasikan oleh ‘kecenderungan kognitif’ dan ‘pemikiran bermotivasi’ yang berpunca daripada kepercayaan, bingkai rujukan pemikiran dan nilai peribadi mereka. Sekiranya mereka cenderung menyukai maklumat saintifik baru, mereka akan melihatnya lebih positif. Tetapi jika maklumat baru menghilangkan atau menyusutkan pandangan dan nilai sedia ada, sudah pasti mereka akan menolaknya.

    Kemudian hadirnya ‘kesan negatif’. Menyaksikan kumpulan yang cenderung untuk berkongsi cerita dan imej tentang kemudaratan dan tragedi, berbanding kandungan neutral atau positif. Ini menjelaskan mengapa mesej mengenai khabar angin bahaya vaksin yang sering disertai dengan imej-imej kanak-kanak sakit yang penuh emosi, disebar tanpa sedetik keraguan menerusi media sosial berbanding mesej pro-vaksin yang dilihat sebagai membosankan dan seakan hilang sentuhan dalam masyarakat.

    [BACA: Kebersamaan Masyarakat Antarabangsa Melawan Wabak Melalui CEPI dan Vaksin]

    Perlunya Kajian, Pemikiran dan Naratif Baru

    Bagi menangani isu komunikasi maklumat sains terutamanya komunikasi mengenai vaksinasi, dua penyelidikan sedang rancak berlangsung kini.

    Kajian pertama memberi fokus kepada dua laman awam (public pages) di Facebook yang menggunakan audiens di Afrika Selatan sebagai kajian rintis dengan dua kumpulan berbeza iaitu menentang dan memihak kepada vaksinasi.

    Objektifnya adalah untuk memahami sifat dan hujah serta imej yang dipaparkan oleh kumpulan anti dan pro-vaksinasi. Selain itu, kajian juga akan meneroka bukti yang disediakan untuk menyokong hujah-hujah tersebut.

    Menerusi kajian ini diharapkan akan membuahkan pemahaman yang lebih baik mengenai hujah-hujah yang diutarakan oleh kumpulan anti-vaksinasi menerusi media sosial dan menemui titik keseimbangan untuk dialog yang lebih membina.

    Kajian kedua akan mengkaji bagaimana maklumat saintifik mengenai vaksin dan isu-isu lain yang dipertikaikan mendapat perhatian kumpulan yang mempunyai agenda ideologi tertentu menerusi media sosial.

    Kredit Video: House M.D.

    Pemahaman yang lebih baik mengenai aliran maklumat saintifik dari sistem komunikasi sains formal kepada rangkaian komunikasi dalam talian akan memberi gambaran peri penting akan keperluan untuk melindungi maklumat saintifik dari penyalahgunaan strategik yang melumpuhkan sistem kepercayaan masyarakat global terhadap ilmu pengetahuan.

    Sebelum kita naik berang dan menuduh golongan ‘anti-vaxxers’ sebagai sesat lagi menyesatkan, jumud tidak boleh diajar — kita terutamanya yang berada dalam sektor kesihatan awam yang mempromosikan maklumat saintifik — harus berhenti dan fikir sejenak. Naratif perlu berubah, perlu ada peralihan paradigma. Apa lagi yang harus kita lakukan demi memastikan komunikasi maklumat saintifik dan kesihatan lebih bersifat ‘seksi’, ‘spot on’ dan menyentuh tepat sanubari masyarakat kita yang mungkin sudah keliru mana yang fakta, mana yang ‘auta’.

    Ini cabaran buat kita bersama.

    ~ Pengarang, Hello Doktor

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser · Disemak pada 02/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan