Banyak perkara tentang kesihatan yang boleh ditentukan melalui air kencing kita. Bukan sahaja warna dan bau, kelikatan air kencing juga boleh menandakan sesuatu penyakit. Sebagai contoh, kencing berlendir dan sakit ketika buang air kecil mungkin tanda penyakit seperti UTI.
Lendiran di dalam air kencing merupakan sesuatu yang lazim berlaku. Walau bagaimanapun, lendiran yang terlalu banyak merupakan sesuatu yang tidak normal.
Uretra dan pundi kencing manusia menghasilkan lendiran atau mukus untuk memastikan saluran kencing bebas daripada sebarang kuman.
Walau bagaimanapun, kadangkala, lebihan mukus boleh berlaku disebabkan masalah yang lebih serius seperti UTI, penyakit kelamin dan juga kanser.
Selain itu, rawatan untuk masalah kencing berlendir mungkin berbeza mengikut penyakit yang dialami.
Di bawah, kami akan senaraikan beberapa kondisi yang mungkin menyebabkan anda mengalami kencing berlendir.
Walau bagaimanapun, elakkan melakukan sebarang diagnosis kendiri dan berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut!
Punca kencing berlendir
Sebenarnya, ada beberapa kondisi atau penyakit yang mungkin menyebabkan air kencing berlendir. Sebagai contoh:
1. Masalah keputihan
Keputihan ialah sejenis cecair yang keluar daripada vagina. Selalunya, anda boleh nampak keputihan pada kawasan seluar dalam anda ataupun ketika anda mengelap vagina menggunakan kertas tisu.
Keputihan mempunyai beberapa fungsi yang tersendiri. Sebagai contoh, ia membersihkan dan melembapkan vagina serta membantu Miss V melawan jangkitan.
Jumlah keputihan yang keluar pula berbeza-beza mengikut kitaran haid wanita. Walau bagaimanapun, jika ia keluar secara keterlaluan, itu mungkin menandakan masalah kesihatan.
Selain itu, pastikan anda jumpa doktor jika keputihan yang anda alami tidak lagi berwarna jernih atau putih.
Berlainan pula jika masalah lendir berlaku dalam kalangan lelaki. Selalunya, jika kaum Adam mengalami masalah kencing berlendir, ia disebabkan jangkitan kelamin (STI) atau penyakit lain.
2. Kencing berlendir disebabkan UTI
Selain masalah keputihan, jangkitan saluran kencing atau UTI juga boleh menyebabkan kencing berlendir.
Selain itu, perhatikan juga warna air kencing anda. Jika ia berwarna merah, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Sama jugalah jika anda rasa sakit ketika buang air kecil.
Jangkitan saluran kencing selalunya berpunca daripada bakteria yang memasuki bahagian urethra dan pundi kencing lalu menyebabkan inflamasi dan jangkitan.
Walaupun UTI lazimnya berlaku pada bahagian urethra dan pundi kencing, ia juga boleh memasuki saluran ureter dan menjangkiti buah pinggang anda.
Jangkitan saluran kencing boleh dirawat dengan pengambilan antibiotik. Selain itu, pastikan anda minum banyak air untuk membantu mengeluarkan semua bakteria daripada sistem urinari anda.
3. Air kencing berlendir disebabkan jangkitan kelamin (STI)
Walaupun jangkitan kelamin boleh menyebabkan pelbagai simptom, penyakit seperti klamidia dan gonorea boleh menyebabkan air kencing berlendir, lebih-lebih lagi dalam kalangan lelaki.
Jangkitan klamidia boleh menyebabkan:
- Pengeluaran cecair yang berwarna putih.
- Rasa sakit ketika membuang air kecil.
- Sakit atau bengkak pada kawasan testikel.
- Sakit pelvis.
- Pendarahan vagina yang tidak normal.
Gonorea pula boleh menyebabkan:
- Pengeluaran cecair yang berwarna kuning atau hijau.
- Sakit ketika membuang air kecil.
- Pendarahan vagina di antara haid.
- Sakit pelvis.
Jangkitan kelamin perlu diperiksa oleh doktor. Jika anda disahkan mempunyai penyakit ini, anda dan juga pasangan perlu dirawat secepat mungkin.
Selalunya, STI akan dirawat menggunakan antibiotik yang dipreskripsi oleh doktor.
4. Sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome – IBS)
Sindrom usus rengsa merupakan penyakit lazim yang berlaku pada kawasan usus besar.
Mereka yang mengalami IBS selalunya mempunyai simptom seperti sakit abdomen, perut kembung, cirit-birit dan sembelit.
Satu lagi simptom yang menandakan IBS adalah lendiran pada saluran pencernaan.
Kadangkala, mereka yang mempunyai IBS boleh terkeliru dan tidak pasti sama ada lendiran yang mereka nampak berasal daripada kawasan dubur atau kemaluan masing-masing.
Pastikan anda berjumpa doktor jika mengalami sebarang kesukaran ketika membuang air besar. Kadangkala, ia boleh menandakan penyakit yang lebih serius seperti kanser kolon.
5. Batu karang punca kencing berlendir
Semua individu boleh mendapat batu karang. Walau bagaimanapun, ada beberapa orang yang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami penyakit ini.
Sebagai contoh, batu karang lebih banyak berlaku kepada kaum lelaki berbanding wanita.
Malah, jika anda mempunyai ahli keluarga dengan penyakit yang sama, atau pernah mengalami batu karang, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalaminya pada masa hadapan.
Penyakit batu karang boleh menyebabkan kencing berlendir jika batu tersebut bergerak meninggalkan buah pinggang dan masuk ke dalam saluran urinari.
Untuk memudahkan pengeluaran batu tersebut, saluran urinari akan menghasilkan lebih banyak mukus daripada biasa.
Kesimpulan
Jika anda mendapati wujudnya lendiran di dalam air kencing anda, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Kadangkala, air kencing berlendir tidak akan mendatangkan apa-apa masalah.
Walau bagaimanapun, terlalu banyak lendiran mungkin merupakan tanda masalah kesihatan yang anda belum tahu.
Dengan pemeriksaan yang menyeluruh, doktor dapat mengesahkan jika lendiran yang keluar berpunca daripada penyakit tertentu ataupun tidak.