Semua individu pasti pernah berada di dalam situasi yang menyeronokkan namun pengalaman itu terganggu dan terbantut kerana anda kerap buang air kecil.
Ia seperti ketika anda sedang beratur di taman tema dalam barisan yang panjang, tapi disebabkan anda terasa tidak tahan hendak kencing, anda terpaksa menyerahkan giliran kepada orang belakang.
Ataupun ketika anda sedang nyenyak tidur pada waktu tengah malam namun terpaksa bangun ke tandas kerana tidak mahu tilam jadi basah!
Annoying kan? Asal minum air saja, sikit-sikit mahu terkencing. Namun tahukah anda punca kerap kencing ini ada banyak faktor lain selain banyak minum air? Adakah normal jika kerap kencing?
Baca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam punca selalu kencing.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.
Ketahui 6 penyebab anda kerap buang air kecil
1. Pundi kencing yang terlalu aktif
Mempunyai pundi kencing yang aktif daripada kebiasaan menjadi antara faktor lazim bagi masalah kerap buang air kecil.
Pundi kencing yang aktif ini disebabkan oleh kekejangan yang berlaku di dalam pundi kencing menyebabkannya menguncup walaupun mungkin sebenarnya ia masih belum penuh.
Dapatkan konsultasi doktor jika ingin merawatnya. Doktor mungkin akan memberi ubat yang sesuai di samping menyarankan anda mengubah tabiat yang mencetuskan masalah ini.
2. Kencing manis punca kerap kencing wanita dan lelaki
Adakah normal jika kerap kencing? Tahukah anda kencing dengan kadar yang kerap boleh menjadi salah satu tanda kencing manis?
Ini adalah fakta, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai sejarah ahli keluarga yang mempunyai diabetes.
Sekiranya anda mempunyai ciri-ciri ini segera dapatkan khidmat nasihat daripada golongan profesional sebelum semuanya terlambat.
Jika anda disahkan positif kencing manis, amat penting untuk anda mengawalnya sebelum bertambah melarat.
Diabetes selalunya boleh dikawal dengan mengamalkan cara hidup sihat dan pemakanan yang bernutrisi tetapi, rawatan menggunakan ubat-ubatan juga dapat membantu.
3. Batu karang pundi kencing
Batu karang pundi kencing sering terjadi apabila kandungan mineral di dalam pundi kencing menjadi terlalu pekat.
Ini akan menyebabkan kepedihan, kencing berdarah dan ia juga menjadi punca kerap buang air kecil.
Biasanya, masalah ini akan baik dengan sendirinya apabila ia keluar daripada badan secara semula jadi.
Namun, terdapat kes yang memerlukan prosedur pembedahan oleh doktor jika batu karang ini tersumbat di dalam pundi kencing.
Oleh itu, untuk mengelakkan hal ini terjadi, pastikan badan anda selalu terhidrat dan amalkan diet yang sihat agar air kencing anda tidak akan memekat.
4. Jangkitan pada saluran kencing, penyebab kerap kencing wanita dan lelaki
Kajian mengatakan kebanyakan individu pasti akan mengalami masalah ini sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Jangkitan ini selalunya akan berserta dengan rasa sensasi seperti terbakar ketika kencing.
Masalah ini juga kadangkala akan menyebabkan kebocoran pada pundi kencing.
Namun, jangkitan pada saluran kencing ini mempunyai rawatan yang mudah untuk dirawat.
5. Kerap buang air disebabkan faktor obesiti
Kegemukan turut menjadi salah satu punca anda untuk kerap kencing.
Berat badan yang berlebihan memberi tekanan pada pundi kencing anda, yang boleh menyebabkan anda lebih kerap untuk berulang alik ke bilik air.
Anda boleh cuba cara hilangkan kerap kencing dengan memasukkan aktiviti bersenam dalam rutin harian anda untuk membuang lemak-lemak berlebihan seperti:
- Joging
- Berjalan kaki
- Hiking
Mengurangkan berat badan semestinya mampu membantu masalah kerap buang air kecil ini.
6. Menopaus juga boleh jadi punca kerap kencing wanita
Perubahan hormon dalam badan ketika proses menopaus akan memberi kesan pada badan anda.
Menopaus juga akan mengurangkan keanjalan di dalam pundi kencing, yang mana ini akan menyebabkan iritasi kepada anda.
Selain itu, menopaus juga memberi kesan kepada saraf-saraf yang bertanggungjawab dalam mengawal pundi kencing dan dapat menyebabkan masalah pundi kencing yang terlalu aktif.
Di samping itu juga, otot lantai pelvis juga akan mula lemah jika tidak dijaga dengan baik dan ini boleh menyebabkan anda terpaksa kerap buang air kecil.
7. Kerap buang air kerana kehamilan
Mengandung boleh menjadi momen terindah bagi seorang wanita. Namun, pengalaman hamil mungkin boleh terganggu sekiranya anda mengalami kekerapan buang air kecil.
Mengandung akan mengakibatkan berat badan tambahan yang akan memberikan tekanan pada pundi kencing anda.