Pernahkah anda dengar mengenai inkontinens urin? Kondisi ini sering berlaku kepada wanita dan juga warga tua. Antara tanda penyakit ini ialah kencing tak lawas atau kerap kencing.
Wanita lebih berisiko untuk menghidap inkontinens urin disebabkan oleh kehamilan, proses melahirkan anak dan menopaus. Namun, itu bukan bermaksud lelaki tidak akan diganggu kondisi ini.
Jika anda mengalami masalah ini, anda perlu tahu bahawa kondisi ini boleh dirawat. Namun, sebelum itu, jom kenali penyakit inkontinens urin, punca dan simptom-simptomnya.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Urologi, anda boleh dapatkannya di sini.
Apa itu penyakit inkontinens urin?
Penyakit inkontinens urin (urinary incontinence) adalah satu kondisi yang menyebabkan pesakit sukar untuk mengawal air kencing. Untuk pengetahuan anda, penyakit ini merupakan sesuatu yang lazim berlaku dan mempengaruhi hampir jutaan manusia di seluruh dunia.
Individu yang menderita dengan penyakit ini mudah terkencing apabila mereka batuk atau bersin. Selain itu, mereka juga alami kesukaran untuk menahan air kencing.
Kondisi ini bukan sahaja memalukan, malah ia juga akan menyukarkan pesakit untuk melakukan aktiviti harian.
Walaupun inkontinens urin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun ia lebih banyak terjadi di kalangan mereka yang sudah berusia. Ia juga lebih kerap menyerang wanita berbanding lelaki.
Ramai yang sangka penyakit ini adalah sebahagian daripada proses penuaan dan akan berlaku kepada sesiapa sahaja setelah mencecah usia tua.
Namun, tanggapan itu adalah tidak benar sama sekali. Malah, kondisi ini sebenarnya boleh dielakkan jika pesakit melakukan perubahan dari segi gaya hidup dan menjalani rawatan yang bersesuaian.
Simptom utama inkontinens urin
Seperti yang ramai sudah tahu, simptom utama inkontinens urin ialah perasaan terdesak untuk membuang air kecil secara tiba-tiba. Oleh sebab itu, mereka selalu terkencing secara tidak sengaja.
Tambah lagi, mereka kerap kencing dan sering diganggu rasa tidak selesa kerana kencing tak lawas.
Walau bagaimanapun, bila dan bagaimana penyakit ini terjadi mungkin berbeza mengikut jenis urin inkotinen yang pesakit alami.
Contoh jenis inkontinens urin adalah:
- Inkontinens stres: Pesakit akan terkencing apabila terdapat tekanan pada pundi kencing, contohnya ketika pesakit batuk, bersin, ketawa, bersenam atau sedang mengangkat barang yang berat.
- Inkontinens terdesak: Rasa ingin terkencing secara tiba-tiba dan mudah untuk terkencing. Selain itu, pesakit juga kerap ke tandas untuk kencing.
- Inkontinens melimpah: Air kencing pesakit menitis secara berterusan.
- Inkontinens fungsi: Limitasi dari segi fizikal ataupun mental yang menyebabkan pesakit sukar untuk membuang air kecil. Sebagai contoh, mereka yang menghidap atritis mungkin akan terkencing disebabkan kesukaran untuk membuka seluar.
- Inkontinens campuran: Pesakit alami lebih daripada 1 jenis inkontinens.
Baca juga:
- Orang Tua Kena Baca Ini Jika Alami Kencing Tak Lawas! #4 Itu Paling Penting
- Keliru Sama Ada Alami Kencing Tak Lawas Atau Penyakit Lain? Ini Simptom Utamanya!
Punca dan faktor risiko inkontinens urin
Inkontinens urin bukanlah sejenis penyakit. Selalunya, kondisi ini muncul sebagai simptom penyakit lain yang mungkin belum didiagnosis.
Oleh sebab itu, mereka yang alami masalah kencing tak lawas perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Jangan anggap perkara ini sebagai sesuatu yang normal dan sebahagian daripada proses penuaan.
Dengan bantuan doktor, pesakit boleh mengenal pasti penyebab inkontinens yang dialami.
Ada banyak punca inkontinens urin, antaranya ialah:
1. Minum terlalu banyak minuman beralkohol
Pengambilan minuman beralkohol secara keterlaluan boleh menyebabkan pesakit mengalami inkontinens urin.
Alkohol merupakan minuman yang bersifat anti diuretik. Ini bermaksud, minuman ini akan menyebabkan pesakit alami peningkatan pengeluaran air kencing. Ini akan menyebabkan individu lebih kerap ke tandas untuk kencing.
Selain itu, ada beberapa minuman lain seperti kopi dan minuman berkarbonat yang mempunyai sifat yang sama.
Minuman ini, jika diambil dalam jumlah yang banyak akan menyebabkan pundi kencing menerima rangsangan yang berlebihan. Oleh sebab itu, pesakit akan rasa lebih terdesak untuk ke tandas selepas menikmati minuman ini.
Jika anda kerap mengalami inkontinens urin, mengurangkan pengambilan minuman beralkohol dan kafein dapat membantu anda untuk mengawal air kencing dengan lebih baik.
2. Mengambil ubat-ubatan untuk penyakit jantung dan darah tinggi
Ada beberapa ubat-ubatan yang akan menyebabkan pesakit kerap kencing. Antaranya ialah ubat yang digunakan untuk merawat penyakit jantung dan darah tinggi.
Jangan sesekali berhenti makan ubat jika anda mengalami masalah inkontinens urin. Sebaliknya, berhubung lah dengan doktor anda terlebih dahulu.
Selalunya, ubat-ubatan daripada 4 kategori ini akan menyebabkan individu mengalami inkontinens urin.
Sebagai contoh, diuretik, alpha blockers, antidepresan, sedatif dan pil tidur boleh menyebabkan pesakit sukar untuk mengawal pundi kencing.
3. Kehamilan
Inkontinens urin sewaktu kehamilan merupakan sesuatu yang lazim berlaku. Malah, 4 daripada 10 wanita akan alami keadaan ini ketika mengandung.
Selalunya, masalah ini akan sembuh dengan sendirinya setelah ibu melahirkan anak. Walau bagaimanapun, otot pada kawasan pelvis mungkin akan mengambil sedikit masa untuk sembuh dengan sepenuhnya.
Ketika mengandung, hormon yang dirembeskan oleh wanita hamil akan membuatkan tisu pada bahagian lantai pelvis mengendur untuk membolehkan otot meregang.
Apabila berat fetus semakin meningkat, ibu yang hamil boleh mengalami inkontinens stres disebabkan tekanan pada bahagian pundi kencing.
4. Menopaus
Sesetengah wanita akan alami inkontinens urin selepas mereka berhenti datang haid dan mencecah menopaus.
Wanita yang telah mencecah menopaus akan merembeskan hormon estrogen yang kurang daripada biasa. Akibatnya, ureter atau saluran kencing akan jadi semakin lemah dan tidak sihat seperti dahulu.
Oleh sebab itu, wanita sukar untuk menahan kencing apabila mereka sudah lanjut usia. Sama seperti otot pada bahagian lain, ureter juga akan jadi makin lemah seiring dengan usia seseorang.
5. Penyakit neurologikal menyebabkan inkontinens urin
Individu yang mempunyai penyakit neurologikal seperti sklerosis berbilang, Parkinson, strok, tumor otak ataupun kecederaan tulang belakang mungkin akan mengalami inkontinens urin.
Pesakit selalunya akan mengalami masalah dengan isyarat saraf yang melibatkan kawalan pundi kencing.
Selain itu, kerosakan pada sistem saraf di bahagian pundi kencing dan lantai pelvis akibat penyakit sklerosis berbilang juga boleh menyebabkan inkontinens urin.
Komplikasi inkontinens urin
Individu yang mengalami inkontinens urin yang kronik akan mengalami komplikasi seperti:
- Masalah kulit: Ruam dan jangkitan akibat kulit yang selalu basah dan lembap.
- Jangkitan saluran kencing (UTI): inkontinens urin meningkatkan risiko pesakit untuk mengalami jangkitan pada saluran urin.
- Kesan kepada hubungan peribadi: Disebabkan masalah yang timbul akibat inkontinens urin, pesakit mungkin akan alami masalah peribadi dalam hubungan ataupun kerja.
Rawatan dan pencegahan
Inkontinens urin merupakan masalah yang boleh dirawat. Jika pesakit mempunyai penyakit lain yang menyebabkan kondisi ini, maka doktor akan fokus untuk merawat penyakit tersebut terlebih dahulu.
Ramai pesakit yang tidak tahu bahawa penyakit inkontinens urin yang mereka hadapi boleh diselesaikan melalui perubahan dari segi tingkah laku dan gaya hidup.
Antaranya ialah:
1. Elakkan inkontinens urin dengan melakukan senaman kegel
Jika anda mempunyai masalah inkontinens urin akibat stres, maka senaman kegel mungkin dapat membantu. Senaman ini dapat membantu pesakit untuk menguatkan otot yang terlibat untuk mengawal urinasi. Pesakit juga akan kurang alami rasa ketidakselesaan akibat kencing tak lawas selepas melakukan kegel.
2. Latihan pundi kencing
Pesakit boleh mengawal pundi kencing jika mereka hanya pergi tandas pada waktu-waktu tertentu. Cara yang terbaik untuk bermula ialah dengan menyimpan diari pundi kencing yang mencatatkan masa setiap kali pesakit perlu ke tandas.
Sebagai permulaan, cuba tahan kencing selama 10 minit sebelum ke tandas. Kemudian, pastikan anda boleh jarakkan lawatan ke tandas selama 2.5 hingga 3.5 jam sekali.
3. Menurunkan berat badan
Berat badan berlebihan akan meletakkan lebih banyak stres pada kawasan pundi kencing. Dengan menurunkan berat badan, pesakit dapat mengawal pundi kencing dengan lebih baik.
Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, cuba berhubung dengan doktor anda mengenai masalah inkontinens urin yang dialami. Beliau mungkin dapat merangka pelan yang bersesuaian untuk menyelesaikan masalah berat badan berlebihan yang dialami.
4. Ubah gaya pemakanan untuk elakkan inkontinens urin
Elakkan mengambil terlalu banyak minuman yang mengandungi kafein, soda dan alkohol. Semua minuman ini boleh menyebabkan kondisi pesakit jadi semakin teruk.
Selain itu, cuba berhenti merokok. Merokok bukan sahaja akan membuatkan penyakit inkontinens urin menjadi lebih tidak terkawal, ia juga merupakan punca pelbagai jenis penyakit lain.
Langkah pencegahan inkontinens urin
Inkontinens urin tidak selalunya boleh dicegah. Walau bagaimanapun, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko kondisi ini:
- Lakukan senaman kegel, terutamanya ketika mengandung.
- Pastikan anda mempunyai berat badan yang sihat.
- Ambil makanan yang mengandungi serat untuk elakkan sembelit.
- Tinggalkan alkohol dan amalan merokok.
- Elakkan mengangkat benda yang berat.
- Elakkan makanan yang bersifat diuretik seperti kafein dan makanan yang asidik.
Bila anda perlu berjumpa doktor?
Ramai pesakit yang alami inkontinens urin atau kencing tidak lawas rasa malu untuk berbincang dengan doktor mengenai kondisi yang dialami.
Walau bagaimanapun, kondisi yang dialami tidak akan sembuh jika pesakit sering menunda-nunda janji temu bersama doktor. Untuk pengetahuan anda, kondisi ini merupakan sesuatu yang lazim dan tidak perlu rasa malu untuk bercakap tentangnya.
Inkontinens urin boleh mengganggu kehidupan pesakitnya, tidak kiralah secara fizikal ataupun mental.
Penting untuk anda mendapatkan nasihat pakar kerana kondisi ini selalunya berlaku disebabkan penyakit lain yang mungkin belum didiagnosis.
Selain itu, individu yang alami masalah ini juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk bersosial kerana perlu kerap ke tandas.
Malah, orang tua yang mempunyai inkontinens urin yang tidak dirawat mempunyai risiko yang besar untuk jatuh dan alami kecederaan disebabkan oleh kekerapan mereka ke tandas.