Walaupun bukan semua yang mengalaminya, namun kondisi jeragat muka sering kali terjadi kepada wanita terutama apabila mereka sudah mula masuk usia 30 tahun ke atas. Persoalannya, kenapa dan bagaimana cara bagi orang perempuan mengelak, mengawal dan merawat masalah ini?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apa beza di antara jerawat & jeragat muka?
Ramai yang keliru di antara jerawat dan jeragat. Untuk pengetahuan anda semua, jerawat adalah masalah kulit berkenaan liang pori manakala jeragat pula lebih berkaitan dengan pigmentasi.
Jeragat atau open comedo merupakan masalah kulit kronik di mana wujud tompok-tompok kecil pada wajah terutama kawasan dahi, pipi, hidung, mulut atau boleh terjadi di tempat yang lain.
Antara ciri utama jeragat adalah ia bakal menyebabkan wujud tompok-tompok kecil dengan tona warna berbeza berbanding kulit asal lantas menyebabkan masalah tona kulit yang tidak sekata.
Kebiasaannya, tompok jeragat mungkin berwarna seakan kecoklatan atau kehitaman bergantung kepada warna kulit individu itu sendiri. Ia juga mampu bercantum di antara satu sama lain lantas mengakibatkan masalah kulit kronik ini lebih besar dan banyak.
Jika masalah jeragat di muka dibiarkan tanpa pengambilan ubatan atau rawatan, maka ada risiko membuatkan ia lebih teruk sekali gus menjejaskan kecantikan wajah dan keyakinan diri anda!
Kenapa wanita dewasa itu lebih tinggi risiko?
Apa yang agak membimbangkan adalah kenyataan di mana wanita lebih berisiko mengalami jeragat berbanding lelaki sedangkan kaum Hawa biasanya lebih mementingkan kecantikan kulit wajah.
Berikut merupakan beberapa punca dan faktor risiko kenapa wanita lebih berisiko mengalami masalah jeragat:
Punca jeragat muka wanita #1. Genetik
Pertama, keturunan akan memainkan peranan penting dalam masalah kulit yang dialami. Jika ada ahli keluarga yang mempunyai masalah jeragat, anda juga ada risiko mengalami perkara sama.
Khusus bagi wanita, genetik masalah kulit si ibu mungkin diwariskan kepada anak perempuan dan seterusnya cucu atau cicit. Pun begitu, genetik dari sebelah bapa turut tidak boleh dikecualikan.
Punca jeragat muka wanita #2. Hormon
Perubahan hormon yang berlaku di dalam tubuh badan semasa haid atau hamil juga akan memicu masalah jeragat muka. Ini adalah antara faktor risiko yang mungkin mustahil untuk dielakkan wanita.
Tidak hanya itu, pengambilan pil perancang atau masalah kesihatan tubuh badan wanita lain turut boleh menjadi dalang masalah kulit termasuk jeragat dan pelbagai lagi isu kesihatan perempuan.
#3. Penyalahgunaan produk kosmetik
Insan yang bernama wanita amat sinonim dengan penggunaan produk kosmetik termasuk pencuci, pelembap, alat solek dan lain-lain. Malangnya, ada risiko untuk anda tersilap cara penggunaan.
Kesilapan memilih dan memakai produk kurang kualiti boleh mencetuskan masalah kulit termasuk jeragat angkara kandungan bahan kimia yang tidak baik untuk kulit. Kesannya, kulit mungkin akan rosak, sensitif, nipis lantas tinggi risiko untuk mengalami jeragat.
Baca lagi artikel berkaitan:
- Produk Kulit Berasaskan Niacinamide Yang Tengah Hot Di Pasaran, Ada Kesan Sampingan Ke?
- 4 Bahan Semula Jadi Untuk Kulit Cantik & Berseri, Tak Payah Lagi Pakai Produk Mahal!
- 5 Produk Penjagaan Kulit Terbaik yang Mungkin Anda Lupa!
#4. Sinaran daripada cahaya matahari
Ya, memang benar bahawa sinaran cahaya matahari turut boleh menjejaskan lelaki namun ia lebih berbahaya kepada wanita ekoran sifat semula jadi kulit orang perempuan yang jauh lebih nipis.
Akibatnya, cahaya ultra ungu A dan B daripada matahari yang terdedah terlampau lama dan kerap boleh merosakkan kulit sekali gus menyebabkan masalah jeragat, tona tidak sekata atau kanser.
Sebab jeragat muka wanita #5. Penuaan
Akhir sekali, jeragat di muka wanita adalah disebabkan proses penuaan secara semula jadi. Di saat wanita mencapai usia 30-an, tahap kecantikan dan kesihatan kulit akan menurun mendadak.
Proses penuaan alami ini pula boleh menjadi bertambah teruk apabila wanita mula memasuki usia menopaus iaitu ketika 40-an dan ke atas. Ini juga adalah faktor risiko yang tidak boleh dielak.
Namun, penuaan masih boleh dilambatkan meskipun tidak boleh dihentikan, dengan cara pengamalan gaya hidup sihat dalam aspek pemakanan ideal, pengambilan ubat serta penjagaan kesihatan yang cukup baik terutama jika ia dilakukan pada kadar paling segera.
Dapatkan nasihat daripada pakar kulit!
Hakikatnya, masalah jeragat mungkin sukar untuk dielak namun masih boleh dikawal dan dirawat dengan baik. Selain mendapatkan ubatan dan rawatan daripada pakar kulit, pastikan anda prihatin jika ada sebarang masalah abnormal berlaku pada kulit dan wajah ya!