backup og meta

Rawatan Ekzema Paling Berkesan Guna Ubat Steroid? Ini Pro Dan Kontranya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 21/01/2022

    Rawatan Ekzema Paling Berkesan Guna Ubat Steroid? Ini Pro Dan Kontranya

    Buat mereka yang ada kondisi kulit ini, adalah sangat penting untuk tahu cara rawatan ekzema dengan betul agar masalah flare up itu tidak lagi berlaku dan berulang.

    Anda mungkin tidak salah jika telah lama menggunakan ubat steroid sebagai cara untuk mengawal dan merawat kondisi kulit ini kerana ia tindakan yang tepat.

    Persoalannya, adakah ia cara yang paling berkesan? Jom teruskan membaca dengan lebih lanjut!

    Ekzema, kondisi kulit yang sangat menyebalkan

    Penyakit ekzema atau juga dikenali sebagai dermatitis adalah sejenis kondisi kulit yang boleh menyebabkan masalah kerengsaan dan keradangan pada kulit.

    Antara simptom kondisi kulit ini adalah kekeringan, kemerahan dan kegatalan pada kulit yang mungkin boleh jadi lebih teruk sekiranya ia mengalami flare up.

    Untuk pengetahuan anda semua, terdapat 2 jenis ekzema atau dermatitis yang utama iaitu:

    • Dermatitis atopik – Disebabkan oleh faktor risiko dalaman tubuh badan
    • Dermatitis kontak – Disebabkan oleh faktor risiko luaran tubuh badan

    Kebiasaannya, ia hanya akan berlaku kepada golongan bayi dan budak serta cenderung untuk pulih dengan sendiri apabila individu menjangkau usia dewasa.

    Pun begitu, ada juga kes di mana individu dewasa yang masih mengalaminya. Disebabkan itu, adalah penting untuk anda tahu bagaimana untuk rawatan ekzema.

    rawatan ekzema

    Penggunaan ubat steroid untuk rawatan ekzema

    Terdapat pelbagai jenis atau variasi ubat steroid topikal sebagai cara untuk rawatan ekzema dan ia termasuklah krim, minyak atau losen yang mengandungi steroid.

    Bukan sahaja untuk masalah ekzema, ubat steroid turut digunakan dalam usaha untuk mengawal dan merawat pelbagai lagi penyakit khususnya kondisi kulit.

    Lebih dikenali sebagai kortikosteroid, anda juga perlu tahu bahawa ia adalah tidak sama dengan steroid anabolik yang digunakan atlet atau ahli bina badan.

    Pun begitu, bila dan bagaimana ia akan digunakan untuk rawat kondisi kulit berbahaya ini?

    Jenis kortikosteroid yang biasa digunakan

    Sebenarnya, terdapat banyak jenis atau jenama kortikosteroid yang akan dikategorikan kepada 4 mengikut kemujaraban; sederhana, agak kuat, kuat dan sangat kuat.

    Ia juga turut hadir dalam 3 bentuk yakni krim, minyak dan losen yang masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri dalam usaha rawat pelbagai kondisi kulit.

    • Krim – Digunakan pada kulit yang lembap
    • Minyak – Digunakan pada kulit yang kering
    • Losen – Digunakan pada kulit yang banyak bulu

    rawatan ekzema

    Ini bila dan bagaimana ia akan digunakan

    Syarat utama bagi penggunaan kortikosteroid untuk mengawal dan merawat ekzema adalah untuk hanya menggunakan ia apabila berlaku flare up akibat ekzema.

    Tujuannya adalah untuk memulihkan situasi yang tidak menyenangkan itu menjadi seperti sedia kala dan kemudian anda boleh menghentikan penggunaannya.

    Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, ia perlu digunakan mengikut tahap keterukan flare up yang disesuaikan dengan tahap kemujaraban ubat itu.

    Dalam erti kata yang lebih mudah, sila gunakan ubat yang kurang kuat untuk situasi kurang teruk dan gunakan ubat yang lebih kuat untuk situasi lebih teruk.

    Kebiasaannya, doktor mungkin akan menyarankan anda untuk menggunakan ia kira-kira 3 ke 7 hari dan mungkin lebih lama jika langsung tiada perubahan.

    Apa yang paling penting, sila dapatkan preskripsi, dos dan nasihat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengetahui bila dan bagaimana untuk menggunakannya.

    Wujudkah sebarang kesan sampingan yang lain?

    Sekiranya anda menggunakan ubat steroid untuk rawatan ekzema ini berpandukan pada doktor, maka ia mungkin selamat dan tiada sebarang kesan sampingan.

    Pun begitu, tidak mustahil untuk kesan sampingan itu timbul sekiranya anda salah menggunakan ubat dan tidak bergantung pada kualiti dan kuantiti yang paling tepat.

    Sebagai contoh, anda mungkin menggunakan ubat dalam kategori yang sangat kuat sedangkan flare up yang anda alami itu adalah tidak terlalu teruk atau buruk.

    rawatan ekzema

    Berikut adalah antara kesan sampingan akibat penyalahgunaan kortikosteroid pada kulit:

    • Rasa pedih, sakit atau terbakar pada kulit
    • Penipisan pada struktur kulit
    • Perubahan pada warna kulit
    • Munculnya bulu halus pada kulit
    • Munculnya tanda regangan pada kulit
    • Munculnya salur darah labah-labah pada kulit (telangiectasias)
    • Membuat kondisi kulit lain seperti jerawat dan jeragat dan alergi lebih teruk

    Bukan sahaja pada kulit, ia juga berisiko untuk masuk ke dalam kulit dan ke dalam salur darah sekali gus menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang lain.

    Disebabkan itu, anda perlu tahu jenis yang tepat serta bila dan bagaimana untuk rawatan ekzema dengan menggunakan ubat steroid agar tidak timbul komplikasi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 21/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan