Penggunaan rawatan tradisional atau herba untuk meningkatkan prestasi seksual di ranjang telah meraih banyak perhatian sebagai terapi alternatif. Pada masa ini, lebih daripada 2,000 spesies tumbuhan perubatan telah dijumpai di Malaysia, antaranya adalah gel gambir.
Gel gambir yang diekstrak daripada tumbuhan gambir Sarawak juga sangat kerap digunakan sebagai rawatan tradisional untuk melegakan demam, cirit-birit, sakit kepala, selesema, batuk, dan sakit perut.
Perkara ini cukup sinonim dalam masyarakat kerana tumbuhan herba sering kali digunakan sebagai ‘suplemen’ kesihatan atau penawar untuk tingkatkan kesihatan dan menjaga kecergasan fizikal.
Tumbuhan ini selalu dirumuskan sebagai gel gambir untuk aplikasi topikal pada zakar, mencetuskan sensasi kebas untuk merancakkan hubungan seks.
Pun begitu, pasti tercetus keraguan di minda pembaca sekalian, sama ada ia benar-benar berkesan dan selamat untuk digunakan, bukan?
Sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut, teruskan pembacaan ya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Gel gambir tingkatkan prestasi seks, fakta @ auta?
Sebelum kita lanjut ke persoalan yang ingin dirungkaikan, adalah wajar untuk kalian mengenali serba sedikit latar belakang gel gambir.
Gambir Sarawak atau turut dikenali dengan panggilan saintifik, Uncaria Gambir, merupakan sejenis tumbuhan semula jadi yang terhasil daripada getah kayu pokok gambir.
Untuk makluman, pokok-pokok ini juga sering dijumpai di dalam hutan, di negeri Sarawak.
Ketinggian tumbuhan gambir juga boleh mencecah setinggi 2.4 meter berserta panjang yang sekitar 8 hingga 14 cm.
Gel gambir disapukan pada zakar untuk menghasilkan ereksi yang berpanjangan dan menangguhkan ejakulasi pramatang.
Selain dalam bentuk gel, produk yang berasaskan gambir Sarawak ini turut tersedia dalam pelbagai bentuk seperti krim dan cecair.
Pun begitu, perlu kalian tahu bahawa masih belum ada penyelidikan yang dapat menyokong dakwaan keberkesanan gel gambir dalam prestasi seks, menjadikan penggunaannya tidak digalakkan!
Apatah lagi untuk menyokong tuntutan yang dikatakan dapat bantu membesarkan saiz zakar dan ereksi.
Kesan-kesan sampingan gambir Sarawak
#1 Mencetuskan keradangan
Kulit di sekitar zakar dan kulit alat sulit isteri bersifat sensitif, yang juga mengandungi banyak urat saraf.
Jadi, pemakaian gel gambir yang disapu pada zakar sebelum bersama berupaya memicu keradangan di dalam faraj si isteri.
Bukan setakat memudaratkan pasangan, deria rasa zakar juga akan terjejas dan lebih menakutkan, boleh mengakibatkan kerosakan saraf! Ngeri bukan?
Oleh itu, berhati-hatilah sekiranya anda menggunakan gambir Sarawak bagi tujuan melambatkan ejakulasi.
Ini kerana kesan sampingan yang berupaya terjadi boleh mengganggu aktiviti seksual di ranjang, dan tidak mustahil menjejaskan hubungan antara suami isteri!
#2 Zakar menjadi kebas
Antara kesan penggunaan gel gambir yang seterusnya adalah rasa kebas pada kawasan yang disapu.
Rasa kebas ini juga dikatakan mirip seakan ubat bius yang digunakan di hospital!
Disebabkan gambir Sarawak boleh memberikan efek kebas, ia cukup popular digunakan sebagai rawatan sakit gigi dalam kalangan masyarakat zaman dahulu, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman negeri Sarawak.
Efek kebas ini berisiko membahayakan kesihatan zakar sekiranya disalahguna, memicu masalah kekebasan bersifat kekal atau turut digelar sebagai, permanent numbness.
Tambahan itu, kekebasan ini lebih memudaratkan pada bahagian kepala zakar, dek kerana ia terdiri daripada lapisan tisu yang tipis.
#3 Kulit zakar berisiko melecur!
Gambir Sarawak juga boleh mencetuskan sensasi panas, membuatkan kulit zakar terasa pijar lantas meningkatkan risiko untuk melecur!
Selain itu, jika tersilap gaya, gambir Sarawak juga boleh mencetuskan alergi kulit, membuatkan kulit di sekitar kemaluan membengkak!
Kemaluan yang melecet dan di dalam keadaan pijar yang berpanjangan pula berupaya memicu keradangan, luka dan jangkitan bakteria!
Tingkatkan prestasi seksual dengan cara yang selamat!
Jika kalian berhasrat untuk menambahkan rencah ke dalam kehidupan di ranjang, anda tidak bersendirian!
Sebenarnya, ramai lelaki mencari kaedah untuk meningkatkan prestasi seksual mereka.
Hal ini termasuk memperbaiki masalah sedia ada atau mencari cara baharu untuk membuat pasangan bahagia dan ‘puas’.
Ya, anda mungkin boleh dapatkan banyak pil atau herba ‘kuat’ di laman sesawang atau toko-toko jamu, tetapi ada banyak cara mudah dan selamat yang boleh dipraktikkan tanpa perlu mengunjungi kedai.
Perlu diingati bahawa ereksi zakar berlaku dengan tekanan darah, maka pastikan sistem peredaran darah berfungsi dengan baik!
Di bawah adalah antara perubahan gaya hidup, diet dan penyingkiran habit buruk yang boleh dicuba:
- Kekal aktif dengan melakukan senaman secara berkala.
- Tambah buah-buahan dan sayur-sayuran ke dalam diet harian.
- Mengurangkan atau menguruskan tekanan dengan baik.
- Menyingkirkan habit buruk seperti merokok dan minum alkohol.
- Dapatkan rawatan perubatan sekiranya mempunyai kondisi/penyakit tertentu.
Kesimpulan
Gambir Sarawak telah digunakan secara turun-temurun oleh masyarakat, dan ia mungkin berkesan sebagai penawar sesetengah kondisi kesihatan.
Pun begitu, pakar tidak menggalakkan penggunaan gel gambir yang tidak terkawal dan secara berlebihan kerana boleh memudaratkan!
Setakat ini juga, tiada penyelidikan atau ujian klinikal yang dijalankan ke atas tumbuhan ini dalam membantu peningkatan prestasi seks.
[embed-health-tool-ovulation]