6 Nutrien Menyokong Kesuburan Lelaki dan Wanita, Penting Kalau Nak Hamil!

Merancang untuk hamil? Kesihatan reproduktif bukan hanya bergantung pada hormon dan faktor genetik. Pemakanan harian juga memainkan peranan penting dalam menyokong fungsi sistem reproduktif lelaki dan wanita, termasuk perkembangan sperma dan ovum.
Pengambilan nutrien yang mencukupi membantu tubuh menjalankan pelbagai proses biologi, termasuk penghasilan hormon, pembahagian sel dan perlindungan sel daripada tekanan oksidatif.
Jadi, apakah makanan yang baik untuk sperma yang sihat? Berikut beberapa nutrien penting yang boleh dimasukkan dalam pemakanan harian.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Seksual, anda boleh klik di sini.
6 Nutrien yang bermanfaat untuk kesuburan sperma dan ovum
1. Asid folik untuk menyokong perkembangan ovum
Asid folik atau vitamin B9 merupakan nutrien penting dalam pembentukan DNA dan pembahagian sel. Ia membantu menyokong fungsi reproduktif wanita, khususnya dalam persediaan sebelum kehamilan.
Antara makanan yang kaya dengan folat ialah:
Brokoli.
Kacang kuda dan lentil.
Oren dan avokado.
Bijirin yang diperkaya dengan asid folik.
Wanita yang merancang kehamilan juga disarankan mengambil suplemen asid folik sebanyak 400 mikrogram sehari, berdasarkan panduan kesihatan umum.
Nutrien ini penting untuk mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf pada perkembangan bayi.
2. Zink untuk menyokong penghasilan sperma
Zink ialah mineral yang terlibat dalam pelbagai proses tubuh, termasuk fungsi hormon dan penghasilan sperma.
Pengambilan zink yang mencukupi penting untuk menyokong kesihatan reproduktif lelaki.
Antara sumber makanan yang mengandungi zink termasuk:
Daging tanpa lemak.
Telur.
Biji labu.
Makanan laut.
Kekurangan zink boleh menjejaskan fungsi normal tubuh. Walau bagaimanapun, mengambil zink secara berlebihan melalui suplemen tidak semestinya meningkatkan kualiti sperma.
3. Omega-3 untuk kesihatan sel reproduktif

Asid lemak omega-3 membantu mengekalkan struktur membran sel dan menyokong fungsi normal tubuh. Perkara inilah yang menjadikan ovum dan sperma yang sihat.
Nutrien ini boleh diperoleh daripada ikan berlemak seperti salmon, sardin dan makarel. Sumber tumbuhan pula termasuk biji chia, biji rami dan walnut.
Kajian menunjukkan bahawa omega-3 membantu wanita untuk mendapatkan haid yang teratur, tahap hormon dan meningkatkan kesihatan reproduktif.
4. Vitamin C dan E sebagai antioksidan
Tekanan oksidatif berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara radikal bebas dengan keupayaan antioksidan tubuh untuk mengawalnya.
Keadaan ini boleh memberi kesan kepada sel, termasuk sperma dan ovum.
Vitamin C dan E bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel daripada kerosakan oksidatif.
Antara sumbernya ialah:
Jambu batu dan oren.
Strawberi dan kiwi.
Badam dan biji bunga matahari.
Avokado.
- Kentang.
- Kiwi
Mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang pelbagai warna membantu membekalkan antioksidan serta nutrien lain untuk kesihatan keseluruhan.
5. Protein untuk menyokong fungsi tubuh
Bagaimana cara meningkatkan kualiti sperma?
Protein amat penting untuk sperma yang sihat. Ia dapat membekalkan asid amino yang diperlukan untuk pembinaan dan pembaikan sel serta penghasilan pelbagai hormon dan enzim.
Antara sumber protein yang boleh dimasukkan dalam diet ialah telur, ikan, ayam, tauhu, tempe dan kekacang.
Pengambilan protein yang mencukupi membantu mengekalkan fungsi tubuh, termasuk sistem reproduktif lelaki dan wanita.
6. Vitamin B12 dan zat besi untuk fungsi sel yang normal
Vitamin B12 membantu pembentukan sel darah merah dan sintesis DNA. Zat besi pula diperlukan untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh.
Kedua-dua nutrien ini boleh diperoleh daripada daging, telur, ikan dan makanan laut.
Sayuran hijau serta kekacang juga membekalkan zat besi, manakala makanan yang diperkaya boleh menjadi sumber vitamin B12.
Ubah corak pemakanan bagi kesihatan sperma dan ovum
Kesihatan sperma dan ovum membentuk janin yang sihat, oleh itu ia memerlukan sokongan daripada pemakanan seimbang yang mengandungi pelbagai vitamin, mineral, protein dan lemak sihat, walaupun ia bukan jaminan kepada kehamilan.
Amalkan pemakanan pelbagai, hadkan makanan berproses dan dapatkan nasihat profesional kesihatan sebelum mengambil suplemen kesihatan reproduktif yang baik bermula dengan penjagaan kesihatan tubuh secara menyeluruh.