backup og meta

Ibu, Ini Cara Kira Umur Bayi Pramatang Yang Sebenar, Baru Senang Ikuti Perkembangan Mereka!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    Ibu, Ini Cara Kira Umur Bayi Pramatang Yang Sebenar, Baru Senang Ikuti Perkembangan Mereka!

    Tahap perkembangan dan tumbesaran bayi tidak cukup bulan adalah berbeza. Jom ambil tahu mengenai pelarasan usia dan cara kira umur bayi pramatang yang sebenar bagi memudahkan ibu bapa menilai perkembangan mereka.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu pelarasan usia bayi pramatang?

    Pelarasan usia atau corrected age (umur yang diperbetulkan), merupakan usia untuk bayi pramatang jika mereka dilahirkan pada tarikh jangkaan bersalindue date.

    Doktor menggunakan umur yang diselaraskan ini untuk menilai saiz dan perkembangan bayi pramatang.

    Usia kronologi tidak digunakan sebagai penanda aras untuk bayi tak cukup bulan kerana mereka mungkin tidak mengembangkan lagi fungsi biasa yang dimiliki bayi lahir cukup bulan seperti bernafas sendiri dan kemampuan mengekalkan haba tubuh. 

    Jadi disebabkan itulah setiap ibu bapa anak tak cukup bulan perlu mengetahui cara kira umur bayi pramatang ini.

    Kepentingan pelarasan usia bayi 

    Umur yang diselaraskan ini boleh membantu jika anda cuba menentukan sama ada perkembangan bayi pramatang mengikut cara penilaian biasa.

    Sebagai contoh, jika ada individu yang menyedari si kecil masih belum boleh duduk walaupun sudah berusia 6 bulan, anda boleh menjelaskan bahawa mereka dilahirkan 3 bulan lebih awal.

    kira umur bayi

    Berdasarkan pelarasan usia, si kecil baru berusia 3 bulan, maka perkembangannya harus selari dengan bayi pada umur 3 bulan.

    Penyelarasan usia ini amat relevan pada tahun awal si manja untuk menjelaskan keadaan yang memperlihatkan anak seperti mengalami masalah lewat perkembangan.

    Cara kira umur bayi tidak cukup usia

    Untuk menentukan pelarasan usia si manja, mulakan dengan kiraan berapa minggu atau bulan lebih awal bayi dilahirkan. Kemudian tolak jumlah tersebut dengan usia sebenar mereka.

    Contohnya: Bayi yang berusia 8 bulan tetapi dilahirkan sebulan lebih awal, selepas pelarasan, umur sebenarnya adalah 7 bulan. 

    Penolakan bulan atau usia ini memberikan bayi garis masa lebih sesuai untuk mencapai titik perkembangan tertentu.

    Ini kerana bayi berumur 4 bulan tetapi dilahirkan 2 bulan lebih awal mungkin berada pada berat dan tahap perkembangan dengan bayi berusia 2 bulan. Maka, pelarasan usianya adalah 2 bulan.

    Kira umur bayi pramatang dan impak perbezaan usia dalam perkembangan & tumbesaran

    Amnya, setiap anak akan mempunyai variasi dalam pertumbuhan dan perkembangan, tidak kira bayi tidak cukup bulan atau cukup bulan.

    kira umur bayi

    Dilahirkan pramatang boleh menjejaskan setiap aspek pertumbuhan dan perkembangan secara berbeza. Sesetengah aspek mungkin tidak terjejas sama sekali, manakala ada isu tertentu lain yang mungkin terjejas teruk.

    Menggunakan usia yang telah diselaraskan untuk mengukur pertumbuhan adalah sangat penting.

    Siapa perlu mengetahui mengenai pelarasan usia ini?

    Sebaik-baiknya, ibu bapa amat digalakkan untuk memaklumkan kepada pusat penjagaan, guru prasekolah, kakitangan perubatan dan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menjaga anak bahawa mereka dilahirkan secara pramatang.

    Jika anda bimbang mengenai pembelajaran atau perkembangan anak selepas mereka mula bersekolah, ia amat membantu jika guru sekolah mengetahui mengenai pelarasan usia dan cara kira umur bayi pramatang ini.

    Pelarasan usia bayi dan tempoh memulakan persekolahan

    Anak mungkin dapat memulakan prasekolah dan persekolahan berdasarkan umur kronologi dan bukannya usia yang diselaraskan.

    Namun usia awal beberapa bulan ini boleh menyebabkan wujud perbezaan berkaitan perkara boleh dilakukan oleh kanak-kanak lain dan jangkaan yang boleh anak anda lakukan, terutamanya ketika di prasekolah. 

    Disebabkan itu, ada sesetengah ibu bapa bayi pramatang, menangguhkan sesi persekolahan anak sehingga setahun, terutamanya jika pelarasan usia anak berada di bawah umur untuk bersekolah.

    Jika anak dinilai untuk sebarang kelewatan perkembangan, anda boleh meminta penilaian keputusan mengikut usia diselaraskan dan bukannya umur kronologi.

    Baca juga:

    Kira umur bayi pramatang dan suntikan vaksinasi 

    Bayi pramatang biasanya mendapat imunisasi yang sama mengikut usia kronologi seperti bayi cukup bulan.

    Ini kerana bayi tidak cukup bulan memerlukan perlindungan imunisasi kerana mereka lebih terdedah kepada risiko mendapat jangkitan tertentu.

    Sekiranya si manja anda sangat pramatang, mereka mungkin mendapatkan suntikan imunisasi pertamanya semasa masih di hospital. Bahkan, si manja juga mungkin memerlukan dos tambahan beberapa vaksin apabila meningkat usia. 

    Berbincanglah dengan doktor atau pakar pediatrik untuk lebih kepastian mengenai keperluan imunisasi anak.

    Tempoh untuk menggunakan pelarasan usia bayi pramatang

    Tiada sebarang peraturan menentukan berapa lama pelarasan usia ini perlu digunakan untuk perkembangan anak.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan pakar kesihatan mengesyorkan melakukan pelarasan ini sehingga anak mencapai usia 2 tahun atau sehingga saiz dan perkembangan mereka mencapai tahap yang sepatutnya jika mereka dilahirkan cukup bulan. 

    kira umur bayi

    Sekiranya si manja sudah dapat melakukan semua perkara yang boleh dibuat oleh bayi cukup bulan, maka mungkin anda boleh berhenti menggunakan umur pelarasan ini. 

    Setiap bayi berbeza

    Walaupun selepas melakukan pelarasan usia bayi, perkara penting untuk anda ingat adalah setiap anak adalah berbeza. Maka amat penting untuk melihat mereka secara individu.

    Kebimbangan dalam diri ibu bapa berkaitan perkembangan dan tumbesaran bayi adalah situasi biasa. 

    Namun percayalah, kebanyakan bayi walaupun dilahirkan pramatang akan dapat mencapai titik perkembangan mereka apabila tiba masanya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan