backup og meta

Dispepsia

Definisi

Apa itu Dispepsia?

Masalah pencernaan, atau istilah perubatannya dipanggil dispepsia, adalah rasa tidak selesa  atau sakit pada bahagian gastrousus atas (perut, esofagus atau duodenum). Masalah pencernaan terdiri daripada sekumpulan simptom antaranya kembung, mual dan sendawa; dan seringkali merupakan tanda kepada masalah lain.

Apakah kebarangkalian Dispepsia?

Dispepsia bukanlah penyakit tetapi petanda masalah kesihatan dan berlaku kepada sesiapa sahaja dari masa ke masa. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Dispepsia?

Simptom utama dispepsia ialah:

  • Perut kembung;
  • Loya dan muntah;
  • Rasa terbakar dalam perut;
  • Cepat merasa kenyang setelah memakan hidangan yang bersaiz biasa;
  • Rasa asidik dalam mulut;
  • Sakit perut;
  • Sendawa.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Disebabkan dispepsia mungkin merupakan simptom penyakit lain, anda patut menghubungi doktor anda jika anda mengalami perkara berikut:

  • Muntah yang teruk atau terdapat darah dalam muntah;
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan;
  • Masalah menelan;
  • Rasa sakit pada dada;
  • Warna kuning pada mata dan kulit;
  • Kesukaran bernafas;
  • Pedih hulu hati.

Sekiranya anda mempunyai tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang soalan, sila hubungi doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Dispepsia?

Dispepsia dianggap sebagai simptom berbanding penyakit. Antara penyakit yang boleh menyebabkan dispepsia ialah:

  • Penyakit refluks Gastro-esophageal (GERD): Keadaan apabila asid perut mengalir ke dalam esofagus anda. Asid ini boleh mengganggu dan merosakkan kerongkong anda;
  • Obesiti meningkatkan risiko anda mengalami masalah pencernaan;
  • Stres atau kegelisahan berlebihan;
  • Sindrom usus iritabel (IBS): Kontraksi usus yang tidak teratur;
  • Jangkitan perut, biasanya oleh Helicobacter pylori;
  • Ulser perut: Penipisan atau lubang yang terjadi di dinding perut anda;
  • Kanser perut.

Ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan dispepsia:

  • Aspirin dan kumpulan ubat tahan sakit yang disebut NSAID (ubat anti-radang bukan steroid);
  • Ubat yang mengandungi nitrat (mungkin untuk rawatan hipertensi);
  • Estrogen dan pil pencegah kehamilan;
  • Ubat steroid;
  • Antibiotik tertentu;
  • Ubat tiroid.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Dispepsia?

Tabiat harian anda boleh mempengaruhi dispepsia. Selain penyakit tertentu dan punca yang disebutkan, beberapa perkara lain boleh meningkatkan risiko anda mendapat dispepsia, seperti:

  • Merokok;
  • Pengambilan alkohol;
  • Makan terlalu banyak dan terlalu cepat;
  • Stres dan penat.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Dispepsia didiagnosis?

Doktor akan bertanya beberapa soalan mengenai simptom, sejarah kesihatan dan mungkin akan memeriksa perut dan dada anda.

Beberapa ujian juga mungkin akan dijalankan untuk memahami lebih lanjut tentang keadaan anda serta menolak kemungkinan sebarang penyakit lain yang menyebabkan masalah pencernaan.

  • Endoskopi: Ujian ini dilakukan pada pesakit yang tidak memberi respon kepada rawatan dengan cara memasukkan tiub panjang yang mempunyai kamera ke dalam perut untuk mengetahui masalah secara terperinci.
  • Ujian H pylori: Sekumpulan ujian yang digunakan untuk mengesan H pylori bergantung kepada tahap simptom anda dan faktor-faktor lain. Ini termasuklah ujian antigen najis, ujian nafas atau ujian darah.
  • Ujian fungsi hati: Hati menghasilkan hempedu – cecair gastrousus yang digunakan untuk memecah lemak. Masalah dengan hati dapat mengurangkan penghasilan hempedu yang membawa kepada pencernaan.
  • X-ray dan ultrabunyi abdomen: Untuk memeriksa sama ada terdapat sebarang sumbatan pada perut anda.

Bagaimana pesakit Dispepsia dirawat?

Rawatan yang diterima bertujuan untuk mengurangkan simptom dispepsia, membantu anda merasa lebih baik dan untuk merawat punca masalah. Ubat yang ditetapkan doktor dan terapi bantuan lain akan bergantung kepada punca dispepsia.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Dispepsia?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani dispepsia:

  • Makan makanan dengan kuantiti yang berpatutan.
  • Elakkan makan pada lewat malam jika anda mengalami masalah pencernaan pada waktu tidur.
  • Elakkan makanan pedas dan makanan berlemak yang boleh menyebabkan pedih ulu hati.
  • Cuba makan dengan perlahan.
  • Cuba berhenti atau kurangkan merokok.
  • Kekalkan berat badan yang sihat.
  • Kurangkan pengambilan kopi, minuman ringan, dan alkohol.
  • Bincangkan dengan doktor anda untuk  menggantikan ubat-ubatan yang menyebabkan perengsaan lapisan perut, seperti NSAIDs dan aspirin.
  • Kurangkan stres dalam kehidupan seharian.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

What causes indigestion? http://www.healthline.com/symptom/indigestion. Accessed June 13, 2016.
Indigestion. http://www.webmd.com/heartburn-gerd/indigestion?page=1#2. Accessed June 13, 2016.
Dyspepsia (Indigestion). http://patient.info/health/dyspepsia-indigestion. Accessed June 13, 2016.
Indigestion. http://www.nhs.uk/Conditions/Indigestion/Pages/Diagnosis.aspx. Accessed June 13, 2016.

Versi Terbaru

13/09/2019

Ditulis oleh Helma Hassan

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Perut Sakit Sebab Banyak Angin? Ada 6 Sebab Perut Memulas Tapi Tak Nak Berak!

Rasa Sakit Dada Dan Badan Seperti Penuh Angin, Apa Sebenarnya Punca Masalah Ini?


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan