backup og meta

Elakkan 5 Tabiat Buruk Ini Kalau Anda Mahu Hilangkan Buasir, Barulah Cepat Pulih!

Elakkan 5 Tabiat Buruk Ini Kalau Anda Mahu Hilangkan Buasir, Barulah Cepat Pulih!

Selain sembelit dan cirit-birit, ada satu lagi masalah yang sangat menyiksa diri ketika membuang air besar iaitu buasir. Andai anda dalam kalangan mereka yang ‘terpilih’, ada beberapa cara hilangkan buasir yang anda mesti amalkan agar ia dapat cepat pulih!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.

Buasir, apa yang anda perlu tahu?

Buat anda yang masih belum tahu, buasir merupakan kondisi salur darah vena di bahagian bawah rektum dan dubur, yang membesar lalu membawa masalah apabila ia meradang atau membengkak.

Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu luaran dan dalaman dengan gejala yang tidak sama:

  • Buasir dalaman – Berlaku akibat salur darah vena terjejas di lapisan dalam rektum. Pesakit mungkin akan mengalami pendarahan ketika membuang najis tanpa rasa sakit
  • Buasir luaran – Berlaku akibat salur darah vena terjejas di lapisan luar dubur. Penderita mungkin akan mengalami pendarahan ketika membuang najis dengan rasa sakit
jenis buasir
Jenis dan tahap buasir yang perlu diketahui.

Kedua-dua jenis buasir ini mungkin bakal mengakibatkan sebahagian daripada hujung usus besar terkeluar. Ia juga boleh masuk semula dengan sendiri atau perlu ditolak ke dalam dengan jari.

Apa pula punca & kesan kondisi ini?

Masalah ini sering kali dikaitkan dengan kondisi sembelit dan tabiat meneran ketika berak kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada salur darah vena lantas meradang atau membengkak.

Antara faktor risiko yang lain turut merangkumi kehamilan, kekurangan makan serat, berat badan berlebihan atau obesiti, lama berdiri, berbaring, duduk serta sering mengangkat barang berat.

Akibat daripada kondisi ini, berlaku ketidakselesaan yang teruk ketika proses membuang air besar, memakai seluar dalam, duduk, berdiri atau berbaring dan terjadinya pendarahan di sekitar lubang dubur.

Dalam pada itu, tahap keyakinan diri anda juga akan terjejas terutama ketika berada di luar rumah gara-gara pergerakan yang terbatas dan persoalan daripada orang di sekeliling tentang kondisi ini.

Bolehkah buasir sembuh sendiri? Ya, tetapi kita sendiri tidak akan tahu waktu atau tempoh ia boleh pulih secara semula jadi. Jadi, sangat penting untuk anda amalkan cara hilangkan buasir supaya ia cepat pulih!

Ini cara hilangkan buasir anda boleh amalkan!

Selain daripada mencari dan mengambil krim kecutkan buasir atau ubat kecutkan buasir di farmasi, klinik dan hospital, kami ada beberapa cara hilangkan buasir yang anda boleh amalkan dalam bentuk pantang larang.

cara hilangkan buasir
Tanda buasir yang umum.

Usah hanya fokus kepada cara hilangkan buasir sahaja, bahkan sila elakkan daripada buat pantang larang di bawah:

#1. Jangan kurang makan serat & minum air

Pertama dan paling penting, anda kena jaga pemakanan untuk cegah buasir terjadi daripada awal lagi.

Apa yang anda mesti lakukan adalah banyakkan makan serat terutama sayur-sayuran serta buah-buahan di samping lebih kerap dan banyak minum air kosong agar dehidrasi tidak terjadi.

#2. Jangan duduk, berdiri, berbaring terlalu lama

Postur badan yang statik terlalu lama sama ada ketika sedang duduk, berdiri atau berbaring bakal memberi tekanan terhadap salur darah vena. Lama-kelamaan, tekanan itu akan membuat salur itu membengkak dan meradang lantas meningkatkan risiko buasir.

Cara hilangkan buasir #3. Jangan tahan buang air besar

Jika kalian rasa seperti wujud keperluan untuk membuang air besar, jangan sesekali menahan atau menunda proses tersebut kerana ia boleh membuat najis menjadi lebih keras dan sukar keluar.

Cara hilangkan buasir #4. Jangan teran ketika sedang berak

Lanjutan perkara di atas, najis yang keras mungkin akan membuat anda terpaksa meneran ketika berak. Ia kemudian boleh menjadi salah satu punca sebahagian daripada hujung usus besar itu terkeluar.

cara hilangkan buasir
Gejala buasir yang biasa.

#5. Jangan biar buasir tanpa rawatan

Ramai yang menyangka bahawa buasir boleh sembuh dengan sendiri. Ya, ia mungkin benar tetapi bakal mengambil masa sangat lama dan akan terus menyiksa diri anda buat sementara itu.

Sebaiknya, segera berjumpa dan berbincang dengan doktor jika anda mula ada masalah buasir ya?

Konklusinya, ada banyak cara hilangkan buasir yang anda boleh cuba amalkan selain daripada petua kecutkan buasir cara tradisional dan moden di atas tadi. Dapatkan informasi dan nasihat lanjut daripada pakar.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Hemorrhoids, https://www.dignityhealth.org/arizona/locations/westgate/services/colorectal-surgery/colorectal-symptoms-and-treatment-options/hemorrhoids, Accessed Jan 13 2023.
  2. Managing Your Hemorrhoids, https://carle.org/conditions/digestive-health/hemorrhoid, Accessed Jan 13 2023.
  3. The Best and Worst Things You Can Do for Hemorrhoids, https://www.hackensackmeridianhealth.org/en/HealthU/2021/10/13/the-best-and-worst-things-you-can-do-for-hemorrhoids, Accessed Jan 13 2023.
  4. How Can I Treat My Hemorrhoids?, https://www.templehealth.org/about/blog/how-can-i-treat-my-hemorrhoids, Accessed Jan 13 2023.
  5. 6 self-help tips for hemorrhoid flare-ups, https://www.health.harvard.edu/blog/6-self-help-tips-for-hemorrhoid-flare-ups-201307196496, Accessed Jan 13 2023.

Versi Terbaru

10/05/2024

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Kenapa Biarkan? Cuba Remedi Di Rumah Ini Untuk Legakan Sakit Buasir Anda Sekarang!

Boleh Guna Ais Untuk Legakan Buasir Di Rumah, Ikut Cara Buat Pek Ais Mudah Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 10/05/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan