backup og meta

Kaki Pendek Sebelah Punca Anda Tempang? Ada Juga Gejala Lain Yang Boleh Anda Alami

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 23/06/2021

    Kaki Pendek Sebelah Punca Anda Tempang? Ada Juga Gejala Lain Yang Boleh Anda Alami

    Kajian menunjukkan aduan berkenaan dengan kaki panjang sebelah (atau kaki pendek sebelah) bukanlah sesuatu yang asing. Ia dialami oleh kira-kira 40-70% individu.

    Perbezaannya boleh jadi di antara 1 hingga beberapa inci.

    Apa yang menjadi isu adalah jika perbezaan ukuran di antara kedua belah kaki sangat ketara ia boleh menyebabkan isu berkait dengan fungsi berjalan, postur dan kesakitan.

    Artikel ini akan membincangkan simptom dan punca berlakunya masalah ini. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Punca kaki panjang sebelah

    Masalah kaki panjang sebelah atau turut dikenali sebagai perbezaan panjang kaki (LLD) boleh mempunyai dua punca:

    1. Punca fungsional. 
    2. Punca struktur. 

    LLD fungsional, sama panjang namun tampak berbeza

    kaki pendek

    Keadaan kesihatan ini melibatkan ukuran kedua belah kaki (tulang femur dan tibia) yang sama panjang. 

    Namun, ia nampak berbeza disebabkan oleh masalah pada bahagian lain seperti:

    • Pinggul
    • Pelvis
    • Lutut
    • Kaki
    • Buku lali

    Akibat daripada masalah pada struktur tersenarai, ukuran bahagian yang terkesan nampak pendek berbanding dengan ukuran sebelah kaki yang normal.

    Dalam kalangan kanak-kanak LLD fungsional boleh berlaku selepas lahir akibat daripada posisi pinggul yang tidak normal.

    Bagi orang dewasa pula, ia boleh berlaku akibat sakit kronik atau artritis pada tulang belakang, pinggul atau lutut.

    Masalah lain seperti keadaan neuromuskular (masalah saraf otot) turut boleh mempengaruhi postur dan posisi seseorang.

    Ada juga kes yang jarang berlaku, implikasi daripada aktiviti senaman turut boleh menyebabkan masalah LLD fungsional.

    Keadaan ini boleh berlaku apabila latihan atlet menyebabkan masalah ketidakseimbangan dan kelemahan pada otot tertentu.

    Akibatnya mereka akan mengalami LLD fungsional buat sementara waktu.

    LLD struktur, ukuran tulang kaki berbeza

    Keadaan ini boleh didiagnosis apabila ukuran tulang paha (femur) atau tulang keting (tibia) lebih pendek berbanding dengan kaki sebelah.

    Meskipun keadaan ini biasanya nampak jelas sewaktu lahir, ia juga boleh berlaku sewaktu kanak-kanak sedang membesar.

    Antara punca yang sering menyumbang kepada LLD struktur adalah:

    1. Kecederaan pada tulang: Apabila tulang patah, kadar pertumbuhan bagi kaki yang terkesan boleh jadi perlahan berbanding dengan kaki normal. Keadaan ini terutamanya jika tulang tersebut berkecai dan menyebabkan kecederaan pada otot di sekeliling.
    2. Kecederaan pada plat pertumbuhan: Plat pertumbuhan adalah kawasan rawan yang terletak berdekatan dengan penjuru tulang panjang. Jika struktur ini mengalami kecederaan, ia boleh menyebabkan kadar pertumbuhan tulang menjadi bercelaru.
    3. Penyakit tulang: Jangkitan tulang seperti osteomyelitis boleh menyebabkan plat pertumbuhan menjadi rosak. Kesannya, seseorang itu akan lebih berisiko mendapat masalah LLD.
    4. Tumor tulang: Apabila ada ketumbuhan pada tulang, ia boleh mempengaruhi ukuran tulang yang terkesan. Rawatan bagi masalah ketumbuhan juga boleh mempengaruhi kadar pertumbuhan tulang. 
    5. Artritis juvenil (JA): Keadaan ini merupakan penyakit autoimun kanak-kanak yang boleh menyebabkan berlakunya proses radang pada tisu di dalam sendi. Natijah kepada masalah ini adalah pertumbuhan tulang boleh jadi berbeza bagi kaki yang terkesan. 

    Perbezaan ukuran bukan satu-satunya gejala masalah panjang kaki sebelah

    kaki panjang sebelah

    Bagi sesetengah individu, perbezaan ukuran tidaklah begitu ketara sehingga menyebabkan simptom yang nyata.

    Apa yang anda perlu tahu adalah, kajian menunjukkan perbezaan sekecil 2 sentimeter boleh menyebabkan kedudukan tulang pelvis berubah untuk mengawal keseimbangan postur.

    Bagi mereka yang mengalami perbezaan ukuran yang ketara, gejala berikut boleh berlaku:

    1. Isu berjalan sehingga menyebabkan masalah tempang.
    2. Sakit pada bahagian belakang, pinggul, lutut atau buku lali.
    3. Kelesuan. 

    Apabila ia menyebabkan simptom teruk, masalah kaki panjang sebelah ini boleh menyebabkan kualiti hidup seseorang merudum.

    Rawatan bagi masalah ini lazimnya melibatkan terapi fizikal, urutan atau amalan rutin senaman spesifik bagi memperbetulkan masalah keseimbangan dan kelemahan otot.

    Anda juga perlu memastikan postur berada dalam keadaan baik untuk memastikan keadaan ini tidak berlaku.

    Bagi masalah LLD struktur, jalan penyelesaiannya lebih bersifat teknikal.  

    Mereka yang mempunyai perbezaan ukuran kurang daripada 1 inci boleh menggunakan tapak kasut tinggi bagi kaki yang pendek.

    Keadaan ini boleh melegakan kesakitan dan memperbaiki keupayaan seseorang untuk berjalan.

    Bagi kaedah pembedahan pula, ia boleh dilakukan untuk kes LLD yang ketara. Matlamatnya boleh jadi untuk:

    1. Memendekkan kaki yang panjang.
    2. Memanjangkan kaki yang pendek.
    3. Membantutkan pertumbuhan bagi kaki yang panjang.

    Selepas pembedahan, rawatan susulan seperti senaman dan terapi fizikal boleh memperbaikkan fungsi kaki.

    Konklusi

    Masalah kaki panjang sebelah lazim dialami oleh individu. Walau bagaimanapun, bukan semuanya akan menyebabkan simptom.

    Jika tahap perbezaan ukuran kaki sangat ketara, ia boleh menyebabkan simptom yang berupaya untuk menurunkan kualiti hidup seseorang.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, ajukannya kepada doktor perubatan untuk khidmat nasihat kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 23/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan