Pernahkah jantung berdegup kencang dan kuat tanpa sebab? Bahaya tak keadaan tu? Dan adakah terdapat cara hilangkan degupan jantung laju tersebut?
Sebenarnya, semua orang alami masalah ini dari semasa ke semasa. Faktor seperti tekanan, senaman dan pengambilan kafein yang berlebihan boleh membuatkan jantung anda tiba-tiba berdegup laju.
Kondisi jantung berdegup kencang ini turut dikenali dengan nama palpitasi jantung dan selalunya ia bukanlah sesuatu yang perlu anda risaukan.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Palpitasi menyebabkan jantung berdegup laju?
Palpitasi jantung merupakan satu keadaan yang menyebabkan jantung berdegup kencang tanpa sebab untuk beberapa minit.
Walaupun kondisi ini nampak merisaukan, ia selalunya tidak berbahaya dan bukanlah tanda masalah jantung.
Normal untuk jantung berdegup laju ketika anda sedang sakit atau demam. Malah, senaman juga boleh menyebabkan degupan jantung hilang ritmanya untuk seketika.
Bagaimana pula jika anda mengalami degupan jantung yang terlebih atau terkurang?
Jangan risau, sama seperti masalah palpitasi jantung, kondisi yang dikenali dengan nama degupan ektopik ini juga merupakan sesuatu yang normal dan tidak serius.
Tetapi, jika jantung anda kerap berdebar tanpa sebab dan degupannya juga tidak sama, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera.
Kadangkala, masalah palpitasi jantung dan degupan ektopik boleh berlaku disebabkan fibrilasi atrium (AF). AF merupakan masalah jantung yang serius dan perlukan pantauan dan rawatan daripada ahli kardiologi.
Cara hilangkan degupan jantung laju dan kuat
Sebenarnya, jika palpitasi jantung yang anda alami merupakan sesuatu yang tidak serius, ada banyak langkah yang anda boleh ambil untuk mengurangkannya. Antaranya ialah:
1. Elak jantung berdegup laju dengan cuba bertenang
Salah satu punca jantung berdegup dengan kuat ialah tekanan atau stres. Oleh sebab itu, jika anda kerap mengalami masalah palpitasi jantung, cuba amalkan teknik relaksasi seperti meditasi, yoga atau tai chi.
Selain itu, amalan meditasi juga boleh dilakukan sepanjang hari, dan bukannya hanya ketika anda stres.
Cuba berhenti daripada melakukan sebarang kerja setiap 1-2 jam. Tenangkan fikiran anda dan cuba tarik nafas dalam-dalam.
2. Elakkan pengambilan kafein sebagai cara hilangkan degupan jantung laju
Minuman yang mempunyai kafein seperti teh dan kopi boleh membuatkan jantung anda berdegup laju dan kuat.
Cuba gantikan semua minuman ini dengan air kosong. Air kosong bukan sahaja lebih sihat, ia juga tidak akan menyebabkan jantung anda berdebar atau mengalami dehidrasi seperti kopi atau teh.
3. Jangan merokok
Amalan merokok boleh menyebabkan jantung anda berdegup kencang tanpa sebarang sebab.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Boston University, mereka mendapati individu yang merokok mempunyai risiko sebanyak 37% lebih tinggi untuk mengalami masalah palpitasi jantung berbanding orang lain.
Malah, mereka yang merokok juga lebih berisiko untuk menghidap penyakit kronik seperti kanser paru-paru dan sakit jantung.
Cara hilangkan degupan jantung laju #4. Pastikan tahap elektrolit dalam badan anda seimbang
Elektrolit membantu memberi signal elektrik di dalam badan manusia. Kesemua signal ini penting untuk memastikan jantung dapat berfungsi dengan normal.
Jika anda kerap mengalami masalah palpitasi jantung, cuba ambil makanan yang kaya dengan elektrolit seperti magnesium, potassium, sodium dan kalsium.
Kesimpulan
Sekiranya cara hilangkan degupan jantung laju tidak berkesan dan jantung anda masih berdegup dengan pantas, cuba tanya diri sama ada:
- Sedang tertekan?
- Minum lebih banyak kopi daripada biasa?
- Alami tekanan darah rendah?
Tip
Jika tidak mengalami palpitasi jantung disebabkan perkara-perkara di atas, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera.
[embed-health-tool-heart-rate]