backup og meta

Atherosklerosis

Definisi

Apa itu Atherosklerosis?

Atherosklerosis ialah penyakit di mana plak terbentuk di dalam saluran darah arteri. Arteri merupakan saluran darah yang membawa darah kaya dengan oksigen ke jantung dan bahagian lain dalam badan anda. Plak terdiri daripada lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain yang ditemui dalam darah. Dari semasa ke semasa, plak ini menjadi keras dan menyempitkan arteri anda. Ini mengehadkan pengaliran darah yang kaya dengan oksigen kepada organ dan bahagian lain dalam badan. Atherosklerosis boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti serangan jantung, angin ahmar (strok) atau kematian.

Apakah kebarangkalian Atherosklerosis?

Atherosklerosis adalah masalah yang biasa berlaku seiring usia. Semakin anda meningkat usia, semakin tinggi risiko anda untuk mendapat atherosklerosis. Faktor keturunan atau gaya hidup menyebabkan plak terbentuk di dalam arteri anda seiring usia. Semakin anda mencapai pertengahan usia atau semakin tua, plak yang terbentuk sudah cukup untuk menyebabkan munculnya tanda-tanda atau simptom. Bagi lelaki, risiko meningkat selepas usia 45 tahun. Bagi wanita pula, risiko meningkat selepas umur 55 tahun.   

Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berbincang dengan doktor untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Atherosklerosis?

Atherosklerosis terjadi secara berperingkat, bukan dengan segera. Atherosklerosis sederhana biasanya tidak mempunyai sebarang simptom.

Anda biasanya tidak mempunyai simptom atherosklerosis sehingga arteri tersebut menjadi sangat sempit atau tersumbat dan tidak boleh mengalirkan darah pada organ dan tisu anda. Kadang kala, darah beku menghalang aliran darah secara keseluruhan, atau terpecah dan menyebabkan serangan jantung atau angin ahmar (strok).

Simptom atherosklerosis sederhana hingga serius bergantung kepada ateri yang terjejas, antaranya ialah:

  • Jika atherosklerosis berlaku di dalam arteri jantung, anda mungkin mengalami simptom seperti sakit dada atau tekanan dada (angina)
  • Jika atherosklerosis berlaku di dalam arteri menuju otak, anda mungkin mengalami tanda dan simptom seperti kebas atau lemah pada lengan atau kaki secara tiba-tiba, sukar bercakap atau percakapan tidak jelas,hilang penglihatan sementara pada satu mata, atau otot muka layu. Tanda ini adalah serangan ischemia sementara (TIA), di mana jika dibiarkan tanpa rawatan akan menyebabkan strok.
  • Jika atherosklerosis berlaku di dalam arteri pada lengan dan kaki anda, anda mungkin mengalami simptom penyakit arteri pinggir seperti sakit kaki semasa berjalan (claudication)
  • Jika atherosklerosis berlaku di dalam arteri menuju buah pinggang, anda akan mendapat tekanan darah tinggi atau kegagalan buah pinggang.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh menghentikan atherosklerosis daripada menjadi teruk dan menghalang daripada serangan jantung atau strok atau kecemasan perubatan lain. Sila berbincang dengan doktor anda sesegera mungkin untuk menghalang keadaan serius ini.

Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai apa-apa persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda..

Punca

Apakah Punca Atherosklerosis?

Plak yang terbentuk dan menjadikan arteri keras mengehadkan aliran darah dalam saluran arteri, menghalang organ dan tisu anda daripada mendapat darah beroksigen untuk berfungsi.

Punca lazim berikut menyebabkan arteri menjadi keras:

  • Kolesterol tinggi. Ia boleh menjadi plak keras dan menyekat atau menghalang peredaran darah ke jantung dan organ-organ lain.
  • Lemak. Makanan tinggi lemak juga menyebabkan plak terbentuk.
  • Penuaan. Semakin anda berusia, jantung dan saluran darah anda bekerja keras untuk mengepam dan menerima darah. Arteri anda akan menjadi semakin lemah dan menjadi kurang elastik, menyebabkan ia lebih cenderung kepada perbinaan plak.

Beberapa punca lazim lain ialah:

  • Merokok dan sumber tembakau lain
  • Rintangan insulin, obesiti atau diabetes
  • Radang akibat penyakit seperti radang sendi, lupus atau jangkitan atau radang tanpa sebab yang diketahui

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Atherosklerosis?

Banyak faktor meningkatkan risiko anda mendapat atherosklerosis. Beberapa risiko boleh dicegah, tetapi sebahagian yang lain tidak dapat dicegah.

  • Sejarah keluarga. Jika atherosklerosis berlaku dalam keluarga, anda mungkin berisiko untuk mendapat penyakit ini. Keadaan ini dan masalah jantung berkaitan yang lain mungkin diwarisi.
  • Tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah anda dengan menjadikan ia lemah pada bahagian tertentu. Kolesterol dan bahan lain dalam darah anda mungkin mengurangkan fleksibiliti arteri anda dari semasa ke semasa.

Faktor risiko lain termasuklah:

  • Tinggi kolesterol
  • Diabetes
  • Obesiti
  • Merokok dan penggunaan tembakau lain.
  • Sejarah keluarga menghidap penyakit jantung awal.
  • Kurang senaman
  • Diet tidak sihat

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Atherosklerosis didiagnosis?

Semasa peemriksaan fizikal, doktor anda mungkin menemui tanda-tanda arteri menjadi sempit, membesar atau mengeras, antaranya ialah:

  • Nadi lemah atau hilang di bawah bahagian arteri yang sempit
  • Tekanan darah menurun pada anggota yang terjejas
  • Bunyi halus (bruit) pada arteri anda, didengari menggunakan stetoskop

Bergantung kepada keputusan pemeriksaan fizikal, doktor anda mungkin mencadangkan satu atau lebih ujian diagnostik, antaranya ialah:

  • Ujian darah. Ujian makmal boleh mengesan paras kolesterol dan gula dalam darah tinggi dan menyebabkan peningkatan risiko mendapat atherosklerosis. Anda perlu berpuasa daripada sebarang makanan dan minuman kecuali air masak selama 9 hingga 12 jam sebelum membuat ujian darah.
  • Doppler ultrasound: doktor anda mungkin menggunakan alatan ultrasound khas (Doppler ultrasound) untuk mengukur tekanan darah anda pada pelbagai tempat sepanjang lengan dan kaki anda. Ukuran ini boleh membantu doktor anda mengukur tahap sumbatan, dan juga kelajuan aliran darah dalam arteri anda.
  • Indeks pergelangan kaki dan tangan. Ujian ini boleh memberitahui anda jika anda mempunyai atherosklerosis pada kaki dan tapak kaki. Doktor juga akan membandingkan tekanan darah pada pergelangan kaki dengan tekanan darah pada lengan anda. Ini dipanggil sebagai indeks pergelangan kaki dan tangan. Perbezaan tidak normal menunjukkan penyakit vaskular peripheral, biasanya disebabkan oleh atherosklerosis.
  • Rentak jantung (ECG): ECG biasanya boleh menjelaskan bukti serangan jantung yang lepas. Jika tanda dan simptom anda berlaku semasa bersenam, doktor anda mungkin meminta anda untuk berjalan di atas treadmill atau mengayuh basikal statik semasa ECG diambil.
  • Ujian stres. Ujian stres juga dikenali sebagai ujian stres senaman, digunakan untuk mengumpulkan maklumat tentang kebolehan jantung anda berfungsi semasa melakukan aktiviti fizikal. Kerana senaman membuatkan jantung anda mengepam dengan lebih kuat dan laju berbanding semasa melakukan aktiviti harian, ujian stres senaman ini boleh menunjukkan masalah dalam jantung yang mungkin tidak dapat dikesan. Ujian ini meliputi berjalan di atas treadmill atau mengayuh basikal statik sementara rima jantung, tekanan darah dan pernafasan anda diperhatikan.
  • Cardiac catheterization dan angiogram: ujian ini boleh menunjukkan saluran arteri koronari yang menjadi sempit atau tersumbat. Cecair pewarna (dye) dimasukkan ke dalam arteri jantung anda melalui catheter/tiub panjang, nipis yang akan melalui arteri, biasanya pada kaki menuju aretri ke jantung anda. Apabila dye tersebut mengisi ruang arteri, ia akan terlihat pada X-ray, dan mendedahkan kawasan yang tersumbat.
  • Ujian imbasan lain. Doktor anda mungkin menggunakan ultrasound, imbasan CT atau imbasan MRA untuk mengkaji saluran arteri anda. Ujian -ujian ini akan menunjukkan arteri besar yang mengeras dan menjadi sempit, serta pembesaran arteri secara berlebihan (aneurysm) dan kalsium yang terlekat pada dinding arteri.

Bagaimana pesakit Atherosklerosis dirawat?

Rawatan termasuk perubahan gaya hidup terkini dengan menghadkan pengambilan lemak dan kolesterol. Anda perlu bersenam dengan lebih kerap untuk memperbaiki kesihatan jantung dan saluran darah anda. Anda  juga perlu rawatan perubatan tambahan, seperti:

Ubat-ubatan

Ubat-ubatan yang membnantu menghalang berlakunya atherosklerosis daripada menjadi semakin teruk ialah:

    • Ubat menurunkan kolesterol, antaranya ialah statin dan terbitan asid fibrik.
    • Ubat antiplatelet dan ubat cair darah, seperti aspirin, untuk menghalang daripada beku dan tersumbat dalam arteri anda.
    • Beta blockers atau calcium channel blockers untuk menurunkan tekanan darah anda.
    • Diuretik, atau pil air, untuk menurunkan tekanan darah anda.
  • Angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors, membantu menghalang penyempitan arteri anda.

Pembedahan

Dalam kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan jika simptom teruk atau jika otot atau tisu kulit terancam. Pembedahan untuk merawat atherosklerosis ialah:

  • Pembedahan bypass, meliputi penggunaan salur darah daripada tempat lain dalam badan anda atau tiub sintetik untuk mengalihkan darah disekitar arteri yang tersumbat atau arteri yang sempit.
  • Terapi thrombolytic, melarutkan darah beku dengan menyuntik ubat kedalam arteri yang terjejas.
  • Angioplasty, menggunakan tiub halus, fleksibel dipanggil catheter dan belon untuk mengembangkan arteri anda.
  • Endarterectomy, pembedahan membuang ketulan lemak pada arteri anda.
  • Atherectomy, membuang plak daripada arteri anda dengan menggunakan catheter yang mempunyai bilah tajam pada salah satu penghujungnya.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Atherosklerosis?

Kaedah pengubatan sampingan ini mungkin membantu mengurangkan risiko anda mendapat atherosklerosis:

  • Amalkan diet yang sihat, rendah lemak tepu dan kolesterol
  • Elak makanan berlemak
  • Tambahkan ikan dalam diet anda, dua kali setiap minggu
  • Bersenam selama 30 ke 60 minit sehari, 6 hari seminggu
  • Kurangkan berat badan jika anda mengalami obesiti atau berat berlebihan
  • Kawal stres
  • Rawat keadaan berkaitan atherosklerosis seperti tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol dan diabetes.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

[embed-health-tool-heart-rate]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Atherosclerosis. http://www.webmd.com/heart-disease/what-is-atherosclerosis#1. Accessed 19 Feb, 2017.
Atherosclerosis. http://www.healthline.com/health/atherosclerosis. Accessed 19 Feb, 2017.
Atherosclerosis. https://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/atherosclerosis/atrisk. Accessed 19 Feb, 2017.

Versi Terbaru

13/09/2019

Ditulis oleh Muhammad Basheer Yahya

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Ini 7 Minuman Baik Untuk Jantung, Kopi Dan Teh Pun Masuk Dalam Senarai!

7 Mitos Lazim Mengenai Sakit Jantung, Betul Ke Orang Rajin Bersenam Terselamat?


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Basheer Yahya · Disemak pada 13/09/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan