backup og meta

Petai: Sayuran Hutan yang Kaya Nutrisi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    Petai: Sayuran Hutan yang Kaya Nutrisi

    Petai sering digantung di gerai-gerai tepi jalan yang menjualnya bagi menarik pelanggan untuk membelinya. Jika di Thailand, petai akan digantung dihadapan restoran sebagai isyarat bahawa restoran tersebut turut menghidangkan masakan yang berkaitan dengan petai. 

    Nama saintifik bagi petai adalah parkia speciosa dan ia turut dikenali dengan nama lain di negara-negara lain seperti sataw (Thailand), peteh/pete (Indonesia), yongchak (India) bitter bean, stink bean, sator bean atau twisted cluster bean. Ia sering dimakan oleh penduduk di kawasan selatan Asia Tenggara. Pokok petai menghasilkan kacang dengan bentuk yang panjang dan rata yang boleh dimakan dengan biji berwarna hijau terang. Ia tergolong dalam keluarga kekacang dan dituai dari pokok hutan hujan tinggi yang boleh tumbuh antara ketinggian 15 meter dan 45 meter. Ia adalah tumbuhan atau hidangan yang popular di kawasan selatan Burma, Thailand, Singapura, Malaysia, dan Indonesia. Dengan kepekatan asid amino yang tinggi, kacang yang penuh dengan nutrisi ini mempunyai aroma yang dikatakan berbau seperti gas metana oleh sesetengah individu.

    Petai dijual dalam pelbagai bentuk seperti dijual dalam bentuk tandannya, dalam bentuk pod, bahakan dalam bentuk biji yang telah dikupas dan dijual dalam beg plastik. Selain itu, terdapat juga petai yang dijual dalam bentuk yang telah dijerukkan didalam air terutamanya di pasar-pasar tempatan selain dalam bentuk yang telah disejuk beku bagi pasaran luar negara.

    Mengapa petai berbau busuk?

    Petai boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan kerana kandungan asid amino yang terkandung dalam biji petai yang mengandungi unsur sulfur. Kandungan asid amino tersebut yang menjadikan biji petai menghasilkan bau yang sangat menyengat dan tidak enak.

    Kandungan nutrisi petai

    Ia adalah sejenis tumbuhan yang kaya dengan mineral seperti kalium, mangan, kalsium, zat besi, zink, tembaga dan fosforus. Selain itu, ia turut kaya dengan kandungan vitamin seperti vitamin A yang hadir dalam bentuk beta-karoten, vitamin B1, vitamin B6, folat, dan vitamin C. Selain itu, ia adalah sumber protein yang sangat baik, rendah lemak dan serat makanan dan rendah gula, menjadikannya sesuai untuk pesakit diabetes jenis 2.

    Manfaat kesihatan daripada petai

    petai

    Kesihatan pencernaan

    Individu yang memakan diet yang tinggi serat mempunyai kadar sembelit lebih rendah berbanding orang yang menggunakan diet rendah serat. Selain itu, mereka juga mempunyai peluang yang lebih kecil untuk mendapat buasir dan diverticulitis. Terdapat 2 jenis serat – tidak larut dan larut. Serat yang tidak larut biasanya terdapat dalam pulpa buah, bran bijirin, dan kulit sayuran, dan ia tidak larut dalam cecair. Serat yang tidak larut dikaitkan dengan pembuangan najis dan perlindungan kanser yang lebih baik.

    Serat larut pula ditemui dalam pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, bijian, kekacang, legum, bijirin dan ianya larut dalam air. Ia menambahkan rasa kenyang, mengurangkan kolesterol LDL (buruk), dan memperlahankan pelepasan gula daripada makanan ke dalam darah. Lebih penting lagi, serat larut sangat dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung, diabetes mellitus jenis 2, dan obesiti.

    Kesihatan buah pinggang

    Kalium (potassium) adalah mineral penting yang sangat diperlukan untuk fungsi asas tubuh badan manusia. Tahap kalium yang rendah dalam diet boleh memberi kesan kepada kedua-dua jantung dan otak anda. Tambahan pula, ia memainkan peranan penting dalam memastikan tubuh agar terhidrasi dengan baik, dengan berfungsi bersama-sama dengan garam untuk menyokong fungsi sel dalam tubuh badan.

    Penyelidikan menunjukkan bahawa petai boleh mengurangkan risiko batu karang yang mana ia boleh menjadi sangat menyakitkan terhadap seseorang individu yang mengalaminya. Oleh itu, diet yang tinggi dengan kandungan kalium dan rendah kolesterol adalah pertahanan terbaik anda terhadap pembentukan batu karang.

    Kesihatan mental yang lebih baik

    Ia mengandungi tryptophan, yang merupakan asid amino penting (tryptophan dianggap sebagai asid amino penting kerana badan kita tidak dapat menghasilkannya) yang berfungsi sebagai pengatur perasaan semula jadi kerana ia mempunyai keupayaan untuk membantu keseimbangan badan dan menghasilkan hormon tertentu secara semula jadi, terutamanya serotonin.

    Serotonin adalah hormon neurotransmitter yang digelar “molekul gembira,’ dan dengan meningkatkan tahap serotonin, asid amino tryptophan dapat meningkatkan kualiti hidup bagi pesakit yang mempunyai masalah mental dan kesihatan yang berkaitan dengan otak yang berbeza.

    Selaras dengan kajian semasa yang dijalankan oleh MIND dalam kalangan individu yang bergelut dengan gangguan kemurungan, ramai antara mereka yang berasa jauh lebih baik selepas memakan petai. Ini kerana petai memiliki kandungan tryptophan, sejenis protein yang membantu menghasilkan serotonin. Serotonin menyebabkan seseorang individu berasa lebih tenang, meningkatkan mood dan biasanya menyebabkan seseorang individu berasa lebih selesa.

    Kesihatan gigi dan tulang

    Kalsium adalah mineral yang diperlukan untuk kehidupan dan manusia. Di antara semua manfaat kesihatan kalsium, yang paling penting termasuklah mengekalkan kesihatan gigi dan kesihatan tulang, serta mengurangkan obesiti dan mencegah kanser kolon.

    Penyelidikan yang telah dijalankan juga menyokong pengambilan kalsium yang mencukupi dan diet rendah lemak sebagai satu cara untuk mengurangkan risiko hipertensi dan penyakit kardiovaskular. Kekurangan pengambilan mineral ini boleh membawa kepada peningkatan kerapuhan gigi dan kuku, kerosakan tulang, dan kesihatan yang lebih buruk.

    Semasa kehamilan

    Bagi seseorang wanita yang hamil, anda perlu menggandakan jumlah zat besi kerana tubuh badan anda menggunakan mineral penting ini untuk membuat darah tambahan untuk bayi anda. Lebih penting lagi, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk plasenta dan bayi yang semakin membesar, terutama pada trimester ke-2 dan ke-3. Adalah disyorkan untuk memasukkan sumber semula jadi vitamin C (seperti strawberi, jus oren segar, saderi, atau brokoli) dalam setiap hidangan, terutamanya apabila mengambil zat besi daripada sumber berasaskan tumbuhan kerana vitamin C boleh membantu anda menyerap sehingga 6 kali lebih banyak mineral ini.

    Menyeimbangkan hormon

    petai

    Badan kita tidak boleh berfungsi dengan betul jika tidak terdapat fosforus yang mencukupi dalam tubuh badan. Fosforus adalah mineral kedua paling banyak di dalam badan. Fosforus penting untuk fungsi buah pinggang dan jantung yang normal.

    Selain itu, ia membantu memetabolismakan lemak dan kanji untuk tenaga, mempercepat penyembuhan tulang yang patah dan kecederaan lain serta penting untuk impuls saraf normal dan asimilasi niasin. Akhir sekali, mineral ini membantu mengawal pengeluaran dan pembebasan hormon dan berinteraksi dengan kelenjar endokrin.

    Anemia

    Petai yang kaya dengan kandungan zat besi, dengan mudah boleh menggalakkan penghasilan hemoglobin dalam darah dan dengan itu membantu dalam kes-kes anemia.

    Tekanan darah

    Jenis kekacang yang sangat baik ini sangat kaya dengan kandungan kalium tetapi lebih rendah dengan kandungan garam, yang menjadikannya ideal untuk mengurangkan tahap tekanan darah. Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) telah membenarkan industri petai untuk membuat tuntutan rasmi bagi keupayaannya dalam mencegah tekanan darah dan strok jantung.

    Pedih ulu hati

    Petai mempunyai kesan antacid semula jadi di dalam tubuh badan. Oleh itu, apabila anda mempunyai masalah dengan pedih ulu hati, cuba gunakan petai untuk memberikan kelegaan kepada tubuh anda.

    Saraf

    Petai mempunyai kandungan vitamin B yang tinggi yang membantu memberikan ketenangan kepada sistem saraf pusat.

    Ulser

    Petai digunakan sebagai makanan diet bagi gangguan usus kerana teksturnya lembut dan kelancarannya. Ia adalah satu-satunya jenisbuah mentah yang boleh dimakan tanpa kesulitan dalam jangka panjang. Selain itu, ia meneutralkan tahap keasidan dan mengurangkan kerengsaan dengan melapisi lapisan perut.

    Mengawal tabiat merokok

    Petai juga boleh membantu individu yang ingin cuba berhenti merokok. Vitamin B6 dan B12 yang terdapat dalam petai, bersama-sama dengan kandungan kalium dan magnesium, membantu tubuh badan untuk menyesuaikan diri akibat daripada nicotine withdrawal.

    Stres

    Kalium adalah mineral penting yang akan membantu menstabilkan denyutan jantung, menghantar oksigen ke bahagian otak dan juga mengurus keseimbangan air tubuh manusia. Apabila kita berasa cemas, kadar metabolisme kita akan meningkat. Oleh itu ia akan menurunkan tahap kalium dalam tubuh kita. Hal ini boleh diseimbangkan dengan pemakanan petai yang tinggi dengan kandungan kalium.

    Strok

    Menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, penyelidik mendapati bahawa tabiat memakan petai setiap hari mampu mencegah kematian akibat strok sebanyak 40%.

    Kesihatan mata dan memperbaiki penumpuan

    Seperti yang diketahui, vitamin A bersifat sangat terapeutik untuk mengekalkan kornea yang sihat. Kalium dalam pisang juga boleh meningkatkan penumpuan dan juga keupayaan otak.

    Baik untuk kesihatan gastrik

    Biji petai sangat mesra dengan perut manusia. Walaupun dimakan mentah, buah ini tidak menyebabkan kesan buruk pada perut. Sebaliknya, buah petai sangat baik untuk perut, kerana ia boleh meneutralkan asid perut dan mengurangkan kerengsaan dan kecederaan pada perut. Selain itu, ia boleh mencegah terjadinya jangkitan di dalam perut.

    Menggalakkan kesihatan jantung

    Ia merupakan sumber asid lemak penting yang meningkatkan kesihatan jantung manusia. Menurut laporan oleh Dr K.W. Ng daripada Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur, beliau mencadangkan untuk memakan makanan seperti petai, kacang panjang dan kacang Perancis dan bukannya ikan dan kekacang. Ini kerana ia mengandungi kadar lemak omega-3 dan -6 yang baik untuk hati yang sihat.

    Antioksidan yang baik

    petai

    Petai mengandungi antioksidan yang baik yang boleh menjejaskan radikal yang berbahaya dan melindungi sel-sel daripada kerosakan. Antioksidan membantu mencegah tekanan oksidatif yang menyebabkan banyak penyakit, termasuk penyakit degeneratif seperti diabetes, hipertensi, arthritis dan kanser. Banyak kajian telah dilakukan untuk membuktikan sifat antioksidan petai. Kandungan Vitamin C yang tinggi dan sejumlah besar vitamin E adalah sebatian utama yang terdapat dalam buahnya yang menyumbang keupayaan antioksidannya. Buahnya juga didapati menunjukkan sejumlah besar sebatian fenolik. Phenols bertindak sebagai antioksidan selain mempamerkan sifat antiseptik dan antibakteria yang kuat.

    Menurunkan gula darah bagi penghidap diabetes dan mengurangkan kolesterol

    Penyelidikan saintis di Universiti Putra Malaysia mendapati bahawa petai mengandungi ekstrak kloroform yang mengurangkan kadar glukosa darah dalam tikus diabetes yang disebabkan oleh alloxan. Kajian juga mendapati kesan hipoglisemik petai dikaitkan dengan dua sterol tumbuhan yang utama yang terdapat dalam buah dan podnya. Ia berfungsi secara bersama untuk menghasilkan kesan anti-diabetes. Sterol tumbuhan telah terbukti menurunkan tahap kolesterol LDL, sekali gus membantu mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung.

    Anti-bakteria dan anti-mikrob

    Cyclic polysulphides, salah satu sebatian utama didalam petai, yang bertanggungjawab terhadap rasa petai yang kuat, telah menunjukkan sifatnya yang merupakan antibakteria dan antikulat. Oleh sebab itu, petai digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat keradangan buah pinggang yang disebabkan oleh aktiviti bakteria di buah pinggang (E-coli). Petai juga merupakan ubat yang digunakan untuk jangkitan ureter dan pundi kencing.

    Kesan sampingan petai jika dimakan secara berlebihan

    Terdapat beberapa kesan sampingan petai jika ia dimakan secara berlebihan. Ini termasuklah:

    • Meningkatkan asid urik dan reumatik.

    Petai boleh meningkatkan tahap asid urik dalam badan. Ini disebabkan kandungan purine petai yang tinggi. Petai adalah salah satu makanan yang berpotensi menyebabkan kemunculan gangguan reumatik pada seseorang. Perkara yang perlu diperhatikan jika seseorang mengambil terlalu banyak petai adalah gejala arthritis yang boleh dirasakan.

    • Menyebabkan pening atau sakit kepala

    Kesan sampingan lain penggunaan petai yang berlebihan akan menyebabkan pening kepala dan sakit kepala. Petai mempunyai kandungan semula jadi yang dapat merangsang kemunculannya.

    • Nafas yang berbau

    Salah satu kesan sampingan petai yang paling jelas dan disedari ialah ia boleh menyebabkan nafas berbau. Perlu diketahui bahawa buah petai adalah sejenis makanan yang mempunyai aroma yang sangat luar biasa. Sudah tentu, penggunaan petai yang berlebihan dapat menyebabkan seseorang mengalami nafas berbau.

    • Menyebabkan gangguan pada buah pinggang

    Satu lagi bahaya penggunaan sayuran ini ialah ia boleh menyebabkan gangguan organ buah pinggang. Organ buah pinggang adalah salah satu organ yang boleh mengalami gangguan ketika seseorang mengambil petai, terutama jika dimakan dengan jumlah yang terlalu banyak. Petai mempunyai kesan anti-bakteria dan anti-radang pada buah pinggang. Oleh itu, penggunaan petai mungkin perlu dihadkan untuk pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang. Buah petai adalah tinggi dengan kandungan protein, dan dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan kesan buruk pada buah pinggang anda. Lebih penting lagi, selepas anda memakannya, terdapat bau yang tidak hanya berakhir di meja makan, tetapi ia akan berada di mulut anda dalam kadar waktu yang agak lama selain ia akan muncul semula didalam air kencing anda untuk beberapa hari bergantung kepada jumlah yang anda makan.

    • Menyebabkan kembung perut

    Selain itu, selepas memakannya, anda juga mungkin akan mengalami kembung perut akibat daripada gas yang terbentuk oleh pecahan karbohidrat kompleks di saluran penghadaman. Hal ini lebih mudah terjadi sekiranya anda tidak memasaknya dengan betul.

    Penggunaan petai dalam bidang kulinari

    petai

    • Sebahagian daripada pucuk, daun muda, pod buah muda dan biji dimakan mentah atau dipanggang dan juga dimasak sebagai sayuran.
    • Bijinya dimakan mentah, dicelur dan kadangkala dicampur dengan bahan-bahan lain seperti udang kering, bawang putih, cili dan belacan dalam hidangan yang dipanggil sambal petai atau digunakan dalam hidangan masakan bergoreng, salad, sup, kari (contohnya kari itik hijau Thai).
    • Ia sangat enak jika digoreng secara masam manis.
    • Di India Utara, bijinya atau kacangnya secara keseluruhannya dimakan dalam hidangan tempatan yang dipanggil Iromba (hidangan yang dibuat daripada ikan yang ditapai) atau Yongchak singju (sejenis salad sayuran).
    • Di Thailand, bijinya kadangkala dipanggang dan dimakan dengan Nam Prik (sejenis pes pedas). Ia juga digoreng dengan pes kari yang dicampurkan dengan udang atau daging atau dijadikan jeruk.
    • Bijinya juga dikeringkan dan diperasakan untuk kegunaan kemudian.
    • Pod buahnya yang masih muda dengan bijinya yang masih kecil boleh dimakan secara mentah, digoreng atau dijeruk.
    • Podnya yang separa matang kebiasaannya dijeruk bersama garam.
    • Daun muda daripada pokoknya turut dimakan sebagai ulam, tetapi ia tidak banyak digunakan.

    Kini anda telah mengetahui betapa besarnya manfaat yang boleh didapati daripada pemakanan sayuran ini. Statusnya bukan sekadar sayuran kampung atau sayuran hutan, malah anda patut mencuba untuk memakannya jika sebelum ini anda bukanlah penggemarnya. Tetapi anda juga perlu beringat, agar bersederhana dalam pengambilannya untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan. Anda mungkin tidak mahu orang-orang di sekeliling menjauhi anda disebabkan oleh bau mulut anda yang kurang menyenangkan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan