
5 Khasiat Halia Bara @ Halia Merah, Ia Bagus Untuk Mereka Yang Ada Gout?

Masyarakat kita mungkin sudah tidak asing lagi dengan rempah halia yang wujud dalam banyak warna seperti putih, kuning dan merah. Dalam artikel ini, kami akan rungkai lebih lanjut tentang khasiat halia bara yang ramai percaya sangat bagus untuk tubuh badan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Sekilas tentang halia merah atau bara
Seperti mana yang ramai mungkin sudah tahu, halia itu adalah salah satu daripada jenis rempah yang paling sihat dan halia merah (Alpinia purpurata) juga tidak terkecuali.
Berbeza dengan halia warna putih dan kuning, halia ini mungkin tidak sering digunakan di dalam masakan sebaliknya ia lebih banyak digunakan di dalam ubatan tradisional.
Ini kerana rasa halia bara adalah jauh lebih kuat atau pedas yang sesuai dengan namanya. Dalam pada itu, ia juga mempunyai lebih banyak nutrisi berbanding jenis halia lain.
Di dalam setiap sepinggan (30 g) halia merah ini, terkandung sekitar nutrisi seperti yang berikut:
- Kalori: 50 kcal
- Karbohidrat: 14 g
- Lemak: 0 g
- Protein: 0 g
- Sodium: 150 mg
- Vitamin D: 0μg
- Zat kalsium: 26 mg
- Zat besi: 0.5 mg

Dalam pada itu, ia turut tinggi dengan sebatian aktif seperti shogaol, gingerol, zingeron serta banyak lagi yang dipercayai boleh digunakan sebagai kaedah perubatan tradisional alternatif.
Apa khasiat halia bara yang wujud?
Sebenarnya, rempah ini sudah digunakan sejak ribuan tahun lalu sebagai salah satu herba di dalam perubatan tradisional di seantero dunia terutama di benua dan negara kita.
Memandangkan halia ini kaya dengan sebatian aktif seperti di atas tadi, ia juga memiliki sifat agen antiradang, antibakteria dan antiviral yang boleh beri manfaat pada kesihatan.
Ketahuilah bahawa pengambilan halia merah mungkin boleh mendatangkan manfaat di bawah ini:
#1. Membantu sistem penghadaman anda
Pernahkah anda mengalami sakit perut dan orang kata halia mampu mengubati isu itu? Anda mungkin tidak salah kerana ia mampu membantu rawat masalah sistem penghadaman.
Ini kerana pengambilan halia tanpa kira warna sebagai makanan atau minuman mampu melindungi perut daripada bakteria dan virus yang boleh menyebabkan kesakitan pada perut.
Tidak hanya itu, halia merah juga memiliki kesan ‘segar’ atau ‘tenang’ yang mampu membuat perut anda rasa lebih relaks sekali gus melancarkan lagi sistem penghadaman.

#2. Membantu rawat radang otot
Seperti mana yang kami kata di atas tadi, halia bara memiliki sifat agen antiradang sekali gus membuat ia bagus untuk membantu rawat masalah keradangan pada tubuh badan.
Ini bermakna tulang, sendi dan otot anda mampu jadi lebih sihat dan kuat lantas mengurangkan risiko kondisi yang berkaitan seperti osteoporosis, osteoartritis dan lain-lain.
Menurut kajian yang dijalankan kepada atlet sepak takraw, pengambilan halia merah selama sepuluh hari dipercayai mampu mengurangkan lenguh atau sakit pada otot mereka.
#3. Membantu rawat kondisi gout
Gout adalah kondisi yang terjadi apabila asid urik terbentuk dan terkumpul pada bahagian sendi terutama di jari kaki dan akan menyebabkan radang, bengkak, panas serta sakit.
Angkara kondisi ini, penderita disarankan untuk mengamalkan pantang larang dalam makanan dan perlu menjauhi makanan laut, minuman alkohol serta pelbagai lagi jenis lain.
Kajian International Journal of Scientific and Technology membuktikan bahawa herba halia merah mampu membantu mengurangkan rasa tidak selesa yang dialami akibat gout.

#5. Membantu menurunkan berat badan
Pengambilan halia merah sama ada dalam bentuk makanan, minuman atau suplemen dipercayai turut mampu membantu individu menurunkan berat badan yang berlebihan.
Ini kerana ia bukan sahaja memang tidak begitu tinggi dengan kalori malahan herba ini juga mampu membantu melancarkan proses pembakaran kalori di dalam tubuh badan.
Dalam erti kata lebih mudah, ia mungkin bagus untuk mereka yang ada isu dengan berat badan!
Khasiat halia bara #5. Bagus untuk lelaki
Akhir sekali, mungkin tiada siapa sangka bahawa halia merah juga bagus untuk lelaki bukan? Sebenarnya, ia juga adalah salah satu daripada makanan yang ada efek afrosidiak serta boleh meningkatkan kemampuan dan kemahuan seksual lelaki.
Bukan itu sahaja, halia merah juga tinggi dengan antioksidan dan punya aktviti androgenik yang akan meningkatkan jumlah hormon testosteron serta tahap kesuburan lelaki.
Pun begitu, kajian lanjutan masih perlu dijalankan bagi kita semua betul-betul pasti sama ada rempah ini benar-benar ada khasiat seperti di atas tadi atau ia hanya kesan plasebo.