backup og meta

7 Ubat Herba Yang Popular Di Dunia! #4 Orang Kita Selalu Guna Rupanya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/08/2021

    7 Ubat Herba Yang Popular Di Dunia! #4 Orang Kita Selalu Guna Rupanya

    Di seantero dunia ini, wujud pelbagai jenis ubat herba tradisional yang digunakan untuk tujuan menyihatkan tubuh badan manusia.

    Di negara kita juga, ubat herba seperti tongkat ali adalah sangat terkenal dan digunakan kononnya untuk kekuatan tenaga batin.

    Artikel ini bukanlah bermaksud untuk mengabaikan perubatan moden namun tidak dapat dinafikan, rawatan tradisional masih ada tempat di hati kita semua.

    Berikut adalah beberapa jenis ubat herba tradisional yang popular di seluruh dunia!

    ubat herba tradisional

    #1. Bunga Echinacea

    Penulis yakin tidak ramai yang tahu akan bunga ini kerana ia banyak didapati di Amerika Utara dan kurang digunakan secara meluas.

    Apa yang ajaibnya, akar bunga ini dipercayai mampu menjadi ubatan untuk merawat luka terbuka, luka terbakar, sakit gigi, sakit tekak dan sakit perut.

    Cara tumbuhan ini dijadikan sebagai ubatan adalah dengan mencampurkannya sebagai minuman ataupun disapukan secara topikal pada kulit.

    Ada satu kajian melibatkan 4,o00 orang yang menyimpulkan bahawa pengambilannya boleh mengurangkan risiko selesema sebanyak 10 ke 20%.

    #2. Bunga Valerian

    Popular di negara Eropah seperti Greece dan Itali, bunga ini merupakan simbolik kepada perasaan ‘tenang’ dan ‘santai’ ekoran warnanya yang lembut.

    Di sebalik itu, dipercayai bahawa tumbuhan ini boleh digunakan untuk merawat sakit kepala atau sebarang kecelaruan pada minda anda.

    Juga sama seperti Echinacea, Valerian boleh dijadikan ubatan berbentuk minuman atau dikeringkan di dalam bentuk kapsul untuk ditelan.

    Satu kajian mengatakan bahawa pengambilannya boleh merawat gangguan tidur ekoran sifat semula jadinya yang mampu membuat tubuh badan relaks.

    #3. St. John’s wort

    St. John’s wort (SJW) merupakan sejenis ubat herba tradisional yang berasal daripada sejenis tumbuhan kecil dan kuning bernama Hypericum perforatum.

    Popular di negara-negara Eropah, SJW telah digunakan secara meluas di seluruh dunia bagi merawat masalah seperti insomnia, depresi dan lain-lain.

    Kajian mendapati bahawa penggunaannya mungkin sangat bagus untuk merawat beberapa jenis masalah mental seperti kemurungan dan kegelisahan.

    Namun percampuran penggunaan herba ini bersama ubat lain boleh mendatangkan komplikasi berbahaya, jadi sila gunakannya dengan lebih berwaspada.

    Ubat herba tradisional #4. Ginseng

    ubat herba tradisional

    Dalam kalangan masyarakat negara Malaysia terutamanya kaum Cina, ginseng adalah sejenis ubat herba yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

    Akarnya biasa dijadikan serbuk untuk diformulakan sebagai minuman atau makanan untuk meningkatkan tahap sistem imun tubuh badan.

    Dalam kajian makmal, didapati bahawa ginseng memiliki sebatian unik bernama ginsenosides, yang sangat bagus untuk sistem imunisasi manusia.

    Selain boleh didapati di kedai tabib, ginseng sekarang sudah lebih komersial dan boleh didapati di mana-mana pasar raya berdekatan dengan anda.

    #5. Chamomile

    Pernah minum teh chamomile atau teh bunga? Jika pernah, ia adalah pilihan yang tepat kerana minuman ini sangat sedap serta baik untuk kesihatan.

    Minuman yang berasal daripada bunga ini dikatakan mampu merawat mual-mual, muntah-muntah, cirit-birit, sembelit dan sebagainya.

    Ia adalah disebabkan ubat herba ini mengandungi sekitar 100 sebatian aktif yang bersifat antiradang, antikulat dan antioksidan.

    Bukan itu sahaja, kajian turut mengesahkan bahawa ia adalah selamat dan bagus untuk diambil oleh mereka yang mengalami reaksi alahan.

    Ubat herba tradisional #6. Kunyit

    Kunyit mengandungi sebatian bernama Curcumin yang sangat popular dengan sifatnya yang antiradang dan mampu merawat pelbagai kondisi.

    Antara kondisi yang dinyatakan itu adalah keradangan pada tubuh badan, sindrom metabolik serta arthritis yang kerap berlaku pada golongan berusia.

    Cara penggunaannya juga adalah sangat mudah yakni mencampurkan sahaja ia ke dalam masakan seperti kari, kurma dan sebagainya sebagai rempah.

    Pun begitu, dikatakan bahawa pengambilan sebatian Curcumin secara berlebihan boleh menyebabkan sakit kepala, sakit perut serta kerengsaan kulit.

    Ubat herba tradisional #7. Halia

    Juga popular dalam masakan masyarakat kita sama seperti kunyit, halia juga boleh digunakan di dalam masakan seperti kari, kurma dan lain-lain.

    Ia telah lama digunakan sebagai ubat herba untuk merawat selesema, demam, migrain dan tekanan darah tinggi, yang dipercayai efektif.

    Dalam pada itu, satu kajian terkini mendapati bahawa ia boleh membantu mengurangkan risiko pembentukan darah beku pada tubuh badan.

    Meskipun tidak banyak kesan sampingan pengambilannya dalam kuantiti banyak, namun masih wujud risiko kecil seperti pedih ulu hati dan ketidakhadaman.

    Ubat herba tradisional masih banyak gunanya!

    Pada era teknologi moden kini, mungkin ramai yang sudah mula mengetepikan kaedah rawatan tradisional dan memilih rawatan moden.

    Mungkin benar bahawa pilihan pertama yang perlu kalian buat di saat jatuh sakit adalah merujuk kepada doktor pakar terlebih dahulu.

    Namun dengan saranan dan panduan mereka, adalah tidak salah untuk mencuba ubat herba tradisional bagi membantu merawat kondisi anda itu.

    Ini kerana kebanyakan ubat herba itu adalah berasal daripada tanaman dan tumbuhan alam semula jadi yang sudah pasti kurang kemudaratannya buat kita.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan