backup og meta

Jangan Ingat Protein Whey Untuk Penggemar Gym Saja, Ada 5 Manfaat Lain Buat Kita Semua

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/09/2022

    Jangan Ingat Protein Whey Untuk Penggemar Gym Saja, Ada 5 Manfaat Lain Buat Kita Semua

    Individu yang biasa bersenam di gimnasium pasti tahu dengan minuman protein whey. Antara kegunaan whey protein ini adalah untuk menambahkan jisim otot ketika anda bersenam.

    Namun, tahukah anda, terdapat beberapa lagi kegunaan whey protein selain untuk menambah otot buat penggemar gim.

    Jom lihat beberapa manfaat protein jenis ini di bawah:

    #1. Sumber terbaik protein yang berkualiti tinggi

    Protein whey adalah sejenis cecair yang terpisah daripada susu semasa proses penghasilan keju.

    Ia adalah protein berkualiti tinggi yang lengkap, iaitu mengandungi semua asid amino penting.

    Selain itu, ia sangat mudah dicerna, diserap daripada usus dengan cepat berbanding jenis protein lain.

    Ciri protein whey ini yang menjadikannya salah satu sumber protein makanan terbaik untuk manusia.

    Terdapat tiga jenis utama serbuk protein ini iaitu jenis pekat (WPC), isolat (WPI), dan hidrolisat (WPH).

    Jenis yang pekat adalah yang paling biasa, dan juga yang paling murah.

    Memandangkan ia adalah sejenis makanan tambahan, protein whey sangat popular dalam kalangan ahli bina badan, atlet, dan golongan yang menginginkan protein tambahan dalam makanan mereka.

    #2. Kegunaan whey protein mungkin membantu mengurangkan keradangan

    kegunaan whey protein

    Keradangan adalah sebahagian daripada tindak balas badan terhadap kerosakan yang berlaku.

    Keradangan jangka pendek boleh memberikan manfaat, tetapi dalam keadaan tertentu ia mungkin boleh menjadi kronik.

    Keradangan kronik boleh membahayakan tubuh, dan merupakan faktor risiko bagi kebanyakan penyakit. Ini mungkin menunjukkan masalah kesihatan yang sedang dialami atau disebabkan tabiat gaya hidup yang buruk.

    Satu kajian tinjauan mendapati bahawa suplemen whey dalam dos yang tinggi mengurangkan protein C-reactive (CRP), penanda utama keradangan di dalam badan.

    #3. Kegunaan whey protein mungkin boleh tingkatkan pertahanan antioksidan tubuh badan

    Antioksidan adalah bahan yang bertindak melawan pengoksidaan dalam badan, mengurangkan tekanan oksidatif dan risiko pelbagai penyakit kronik.

    Salah satu antioksidan yang paling penting untuk manusia adalah glutathione.

    Tidak seperti kebanyakan antioksidan yang kita perolehi dari diet, glutathione dihasilkan sendiri oleh tubuh badan.

    Di dalam badan, pengeluaran glutathione bergantung pada bekalan beberapa asid amino, seperti sistein, yang mana bekalannya kadangkala agak terhad.

    Disebabkan hal ini, makanan yang tinggi kandungan sistein, seperti protein ini, dapat meningkatkan pertahanan antioksidan semula jadi tubuh.

    Beberapa kajian yang dijalankan terhadap manusia dan tikus mendapati bahawa protein ini dapat mengurangkan tekanan oksidatif dan meningkatkan tahap glutathione.

    #4. Membantu mengenyangkan perut anda

    Sesetengah makanan bersifat lebih mengenyangkan berbanding jenis makanan lain disebabkan oleh kandungan makronutrien seperti protein, karbohidrat dan lemak di dalamnya.

    Protein adalah jenis makronutrien yang paling mengenyangkan perut berbanding makronutrien lain.

    Walau bagaimanapun, tidak semua protein mempunyai kesan yang sama dalam memberikan rasa kenyang.

    Protein whey memberikan lebih banyak rasa kenyang berbanding jenis protein lain, seperti kasein dan soya.

    Ciri ini menjadikan protein jenis ini sangat berguna bagi mereka yang ingin mengambil sedikit bilangan kalori dan menurunkan berat badan.

    #5. Protein whey boleh membantu anda mengurangkan berat badan

    protein whey

    Pengambilan sumber protein yang tinggi adalah salah satu strategi yang digunakan dalam menurunkan berat badan.

    Jika anda mengambil lebih banyak sumber protein, ia boleh menggalakkan kehilangan lemak tubuh dengan cara seperti berikut:

    • Menahan selera makan lalu menyebabkan pengambilan kalori berkurangan
    • Meningkatkan metabolisme yang membantu anda membakar lebih banyak kalori
    • Membantu mengekalkan jisim otot ketika menurunkan berat badan

    Protein whey telah terbukti sangat berkesan, dan mungkin mempunyai kesan yang lebih baik terhadap pembakaran lemak dan sifat mengenyangkan jika dibandingkan dengan jenis protein lain.

    #6. Menggalakkan pertumbuhan otot

    Jisim otot akan merosot secara semula jadi seiring bertambahnya usia.

    Perkara ini biasanya membawa kepada pertambahan kandungan lemak dan meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik.

    Walau bagaimanapun, perubahan buruk dalam komposisi badan ini dapat diperlahankan, dicegah, atau dibalikkan dengan kombinasi latihan kekuatan dan diet yang mencukupi.

    Latihan kekuatan yang digabungkan dengan pengambilan makanan berprotein tinggi atau suplemen protein telah terbukti menjadi strategi pencegahan yang berkesan.

    Protein yang berkualiti tinggi seperti whey adalah sangat berkesan. Ini kerana protein ini kaya dengan kandungan asid amino yang disebut leucine.

    Leucine adalah asid anabolik yang paling menggalakkan pertumbuhan (anabolik).

    Jadi, protein ini berkesan untuk mencegah kehilangan otot yang berkaitan dengan usia, dan juga untuk meningkatkan kekuatan dan badan yang lebih cantik.

    Untuk pertumbuhan otot, protein whey terbukti lebih baik berbanding daripada jenis protein lain, seperti kasein atau soya.

    Kesimpulan

    Selain daripada menggalakkan pertumbuhan otot, jelas sekali whey protein boleh memberikan pelbagai manfaat lain terhadap tubuh manusia disebabkan oleh kandungan proteinnya yang berkualiti tinggi.

    Oleh itu, anda boleh mencuba mengambil protein jenis ini sekali-sekala dalam pemakanan anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan