Jika anda selalu mengeluh tentang berat badan yang tidak menurun malah terus meningkat, lihat semula tabiat makan anda. Sebahagian daripadanya mungkin menjadi sebab yang menghalang anda mendapatkan berat badan yang sihat.
Mari lihat 5 tabiat makan buruk yang harus anda elakkan.
1. Makan terlalu banyak
Sederhana sentiasa menjadi pilihan terbaik dalam apa pun yang anda lakukan, termasuk pemakanan. Tidak kira sama ada sedang kenyang atau lapar, kuantiti makanan anda harus sesuai dengan keperluan diri. Cara yang paling tepat dan objektif dalam mengetahui keperluan makanan harian anda ialah dengan menggunakan kalkulator BMR.
Cara lain yang mudah dan ringkas adalah dengan berhenti makan sebelum kenyang. Panduan umum dalam menyukat kuantiti makanan pula ialah membahagikan pinggan anda kepada 1/3 nasi, 1/3 protein (ikan, ayam) dan 1/2 sayur/buah.
2. Kuah banjir
Memang tidak dinafikan bahawa kuah banjir menjadi pilihan ramai orang ketika menjamu roti canai atau nasi kandar. Di sebalik keenakan tersebut, tersembunyi bilangan kalori tinggi yang boleh memberikan anda lemak berlebihan dan mendedahkan tubuh kepada banyak risiko penyakit.
Tak perlu banjir pun sedap juga, kan?
3. Susu pekat manis
Walaupun bernama susu, ia sebenarnya bukanlah susu tetapi gula. Jika ingin minum susu, beli sahaja susu segar. Mengambil teh tarik atau kopi susu setiap pagi bukanlah satu tabiat yang baik. Kandungan gula yang tinggi dalam susu pekat manis meningkatkan risiko obesiti, kencing manis, dan penyakit jantung.
4. Tidak mengambil sarapan
Kehidupan yang sibuk dan jalan sesak di ibu kota kadangkala membuatkan anda meninggalkan sarapan pagi. Tanpa sedar, tabiat makan ini hanya akan membuatkan perut anda lapar dan anda akan makan dalam kuantiti yang lebih banyak pada waktu tengah hari. Walau sibuk macam mana pun, cuba untuk ambil sarapan setiap pagi meskipun hanya sekeping roti kosong.
5. Makan sambil melihat telefon
Makan dalam keadaan tidak fokus boleh mengganggu konsentrasi anda daripada makan dan membuatkan anda lebih sukar untuk benar-benar merasai tahap kekenyangan anda. Kesannya, anda akan makan lebih daripada kelaparan yang anda benar-benar alami.
[embed-health-tool-bmr]