Demam Reumatik: Diagnosis dan Rawatan

Oleh

Seorang individu yang disyaki menghidap demam reumatik perlu melalui beberapa ujian dan pemeriksaan tertentu. Diagnosis dibuat berdasarkan beberapa kriteria khas yang disebut sebagai modified Jones Criteria. Kriteria ini dibahagikan kepada major dan minor.

Kriteria major:

  • Radang jantung (karditis).
  • Radang sendi (artritis).
  • Pergerakan badan menyentak di luar kawalan (Sydenham chorea).
  • Benjolan kecil berwarna merah pada kulit.
  • Ruam merah pada kulit dengan tepi yang kasar (erythema marginatum).

Kriteria minor:

  • Demam (≥38.5ºC).
  • Sakit sendi.
  • Bacaan tinggi bagi ujian darah ESR dan CRP.
  • Bacaan ECG tidak normal (selang antara gelombang P dan R adalah panjang).

Diagnosis demam reumatik dibuat apabila jangkitan baru oleh streptococcus kumpulan A disahkan ditambah dengan salah satu dari berikut:

  • 2 kriteria major.
  • 1 kriteria major dan 2 kriteria minor.

Pengesahan jangkitan streptococcus kumpulan A dibuat melalui kultur dari bahagian tekak.  Sampel mukus di dalam tekak akan diambil untuk dianalisa di makmal. Kebiasannya, proses kultur mengambil masa 24 jam sebelum keputusan diperoleh.

Selain itu, pemeriksaan fizikal seperti bunyi jantung, sendi, dan kulit serta ujian darah tertentu akan dijalankan untuk mengesan kriteria major dan minor seperti disebutkan di atas.

Apakah rawatan demam reumatik?

Doktor akan meminta pesakit untuk berehat dan mempreskrip antibiotik penicillin, amoxicillin atau jenis lain seperti azithromycin, cephalosporin, clarithromycin, dan clindamycin. Ubat ini bertujuan menghentikan jangkitan serta membunuh bakteria. Antibiotik mungkin dipreskrip dalam jangka masa panjang untuk mengelakkan jangkitan semula berlaku.

Selain itu, ubat-ubatan lain mungkin diberikan untuk mengawal simptom lain termasuk demam, sakit sendi, dan chorea. Antara ubat yang biasa digunakan ialah aspirin, ibuprofen atau naproxen.

Jika seseorang mengalami komplikasi jantung (radang injap jantung), antibiotik perlu diambil sebelum melakukan prosedur tertentu, seperti mencabut gigi yang boleh menyebabkan bakteria masuk ke dalam darah, untuk mengelakkan radang berlaku semula ke atas injap jantung.

Dalam kes yang lebih teruk, pembedahan mungkin diperlukan untuk membaiki injap yang rosak bagi mengelakkan kegagalan jantung.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut