Suhu Normal Bayi: Apa yang Perlu Anda Ketahui?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apabila bayi anda sakit atau tidak sihat disebabkan oleh masalah kesihatan seperti demam atau selesema, pastinya ia akan menerbitkan rasa bimbang dan risau di hati anda. Bagi ibu bapa baru, mesti pernah timbul persoalan di fikiran anda, apakah yang dikatakan suhu normal bayi? Bagaimana untuk mengetahui bahawa sama ada bayi anda demam atau tidak? Artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui perihal mengenai suhu normal bayi dan individu dewasa.

Apakah suhu badan normal manusia?

Sebelum kita bercerita dengan lebih lanjut mengenai suhu normal bayi, apa kata kita fahami dulu tentang suhu badan normal bagi seorang individu. Anda mungkin pernah mendengar bahawa suhu badan ‘normal’ adalah pada 37℃. Ini adalah satu angka purata. Tetapi hakikatnya, suhu badan anda mungkin akan sedikit tinggi atau mungkin sedikit rendah berbanding angka yang dinyatakan.

Tahap bacaan suhu yang sama ada di atas atau di bawah suhu purata, bukanlah secara automatik membawa maksud bahawa anda sakit atau tidak sihat. Bacaan suhu badan juga akan berbeza-beza bergantung kepada di mana bacaan ukuran suhu seseorang individu itu diambil. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi suhu badan anda, antara faktornya adalah termasuk;

  • Usia dan jantina seseorang individu
  • Masa, kebiasaannya suhu adalah lebih rendah pada awal pagi dan menjadi lebih tinggi pada lewat tengah hari
  • Tahap aktiviti yang dilakukan, sama ada rendah atau tinggi
  • Pengambilan makanan dan cecair dalam sehari
  • Untuk individu wanita, tahap kitaran haid juga turut mempengaruhi
  • Kaedah pengukuran, seperti bacaan oral (mulut), rektum (bahagian bawah) atau ketiak

Adakah suhu sama bagi setiap peringkat usia?

Badan anda akan mempunyai keupayaan untuk mengawal perubahan suhu selaras dengan peningkatan usia. Secara umumnya, individu dewasa yang lebih berusia akan berdepan kesukaran dan kesulitan untuk mengekalkan haba, malah mereka juga lebih cenderung untuk mempunyai suhu badan yang lebih rendah.

  • Suhu normal individu dewasa

Suhu badan normal bagi individu dewasa yang diambil secara oral adalah sekitar 36.4 ℃ ke 37.5 ℃, bergantung kepada kaedah pengukuran, kerana kaedah yang berbeza akan memberikan angka yang sedikit berbeza.

Bagi individu dewasa, suhu berikut menunjukkan anda mungkin mengalami demam:

  • Suhu sekurangnya-kurangnya pada 38 ℃ adalah demam
  • Suhu di atas 39.5 ℃ adalah demam panas
  • Suhu di atas 41℃ adalah demam yang sangat tinggi

Terdapat penyelidikan yang dilakukan ke atas hampir 35,500 individu yang bertujuan meneliti perbezaan suhu badan normal manusia, mendapati bahawa individu dewasa yang lebih berusia mempunyai suhu badan yang paling rendah dan individu wanita Afrika-Amerika mempunyai suhu yang lebih tinggi berbanding individu lelaki putih.

Hasil penyelidikan turut mendapati bahawa keadaan perubatan tertentu boleh menjejaskan tahap suhu badan seseorang individu. Sebagai contoh, individu dengan tiroid yang tidak aktif (hypothyroidism) cenderung untuk mempunyai suhu badan yang lebih rendah, manakala individu yang mempunyai kanser akan mempunyai suhu yang lebih tinggi.

  • Suhu normal kanak-kanak

Suhu badan normal bagi kanak-kanak yang berusia antara 3 hingga 10 tahun adalah pada 35.5 ℃ ke 37.5 ℃ apabila diambil secara oral. Kanak-kanak cenderung untuk mempunyai suhu badan normal yang sama dengan seorang individu dewasa.

  • Suhu normal bayi

Suhu Normal Bayi Apa yang Perlu Anda Ketahui - suhu normal bayi

Ada masanya, seorang bayi dan kanak-kanak akan mempunyai suhu badan yang lebih tinggi daripada seorang individu dewasa bagi pengambilan suhu melalui bacaan ketiak dan telinga.

Suhu normal bayi yang berusia 0 hingga 2 tahun adalah sekitar 36.6 ℃ hingga 38 ℃ apabila diambil secara rektum. Suhu normal bayi akan meningkat sedikit apabila bayi sedang melalui proses pertumbuhan gigi. Secara puratanya suhu normal bayi yang baru lahir adalah sekitar 37.5 ℃.

Suhu badan bayi adalah lebih tinggi berbanding individu dewasa atau kanak-kanak kerana mereka mempunyai permukaan badan yang lebih besar berbanding dengan berat badan mereka. Badan mereka juga lebih aktif secara metabolik, yang mana akan menghasilkan lebih banyak haba.

Badan bayi tidak mengawal selia suhu badan seperti mana yang dilakukan badan individu dewasa. Bayi akan kurang berpeluh walaupun dalam cuaca atau keadaan panas, ini bermakna badan mereka menyimpan lebih banyak haba. Ini sekali gus bermakna situasi adalah lebih sukar untuk mereka menyejukkan badan sekiranya mereka mengalami demam.

Perlu diingatkan bahawa suhu badan adalah berbeza bagi setiap individu dengan individu lain. Suhu badan anda mungkin 0.6 ℃ lebih tinggi atau lebih rendah berbanding garis panduan yang dinyatakan di atas. Mengenal pasti julat atau bacaan normal badan anda menjadikannya lebih mudah untuk memahami dan mengetahui kebarangkalian anda demam.

Apa yang dimaksudkan suhu panas bayi?

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Residen dan Pediatrik di Royal Children’s Hospital di Melbourne, Dr Daniel Golshevsky, seorang bayi yang berada di bawah usia 3 bulan dengan suhu 38 ℃ dianggap mempunyai demam. Manakala suhu 38.5 ℃ pula adalah tahap bacaan bagi bayi berusia lebih 3 bulan dan kanak-kanak untuk dianggap sebagai demam.

Sejarah kesihatan, sebarang tanda dan simptom seorang bayi merupakan antara faktor yang boleh menentukan sama ada suhu badan tinggi yang dialaminya merupakan satu perkara yang harus dibimbangkan atau tidak. Ini kerana jelas Golshevsky lagi, adakalanya bayi berkemungkinan akan mempunyai suhu badan yang tinggi disebabkan pakaian yang dipakai secara berlebihan, iaitu banyak lapisan atau mungkin dibaluti selimut.

Suhu badan bayi

Secara purata suhu normal bayi dan kanak-kanak adalah antara 36.4 ℃, tetapi ia mungkin berbeza sedikit bagi setiap bayi mahupun kanak-kanak. Seorang bayi atau kanak-kanak akan dianggap sebagai demam apabila mengalami suhu badan pada 38 ℃  atau lebih tinggi.

Bayi anda mungkin mengalami demam sekiranya:

  • Anda merasai sentuhan panas berbanding biasa, pada dahi, belakang badan mahupun perut bayi anda
  • Merasai peluh atau kelembapan pada bayi anda
  • Pipi bayi anda kelihatan kemerahan

Jika anda merasakan bayi anda mungkin mengalami demam, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan memeriksa suhu badan mereka dengan termometer. Ini akan membantu anda untuk menentukan sama ada anda perlu untuk membawa bayi anda mendapatkan pemeriksaan doktor ataupun tidak.

Bagaimana untuk mengambil suhu badan bayi?

Secara idealnya, anda memerlukan termometer digital untuk membantu anda mendapatkan bacaan yang lebih tepat dan cepat. Anda boleh mendapatkannya dengan membeli secara dalam talian atau membelinya dari farmasi atau pasaraya besar.

Cara untuk mengambil suhu badan bayi anda:

  • Pegang dan letakkan bayi anda dengan cara yang selesa di lutut anda dan letakkan termometer pada bahagian ketiak mereka – sentiasa menggunakan termometer pada bahagian ketiak bagi anak anda yang berada di bawah usia lima tahun.
  • Dengan cara yang perlahan tetapi kukuh, cuba untuk menahan lengan mereka kepada badan untuk memastikan termometer berada pada tempat yang sama – ia bergantung kepada arahan pengeluar termometer – tetapi kebiasaannya ia adalah sekitar 15 saat dan terdapat termometer yang boleh memberikan bacaan kurang daripada 15 saat, dan beberapa termometer digital akan menghasilkan bunyi apabila sudah selesai membuat bacaan.
  • Suhu yang terpapar pada termometer akan menunjukkan bacaan suhu badan anak anda.

Bagaimana memastikan bacaan adalah tepat?

Sekiranya anda menggunakan termometer digital pada bahagian ketiak anak anda dan mengikut arahan pengeluar dengan teliti, anda kebiasaannya akan mendapat bacaan yang tepat.

Namun terdapat beberapa perkara yang turut boleh mengubah bacaan, antara beberapa contoh keadaan atau perkara yang boleh mengubahnya adalah seperti:

  • Anak anda dibaluti dengan selimut
  • Berada di dalam bilik yang sangat panas
  • Anak anda sangat aktif
  • Anak anda memeluk botol air panas
  • Memakai banyak lapisan pakaian
  • Sedang mandi

Jika perkara yang disenaraikan di atas berlaku, sila biarkan mereka untuk menyejukkan badan selama beberapa minit, tetapi elakkan untuk membiarkan mereka menjadi sejuk atau menggigil, kemudian ambil semula suhu badan mereka untuk melihat sekiranya terdapat perubahan.

Jenis termometer

Terdapat pelbagai jenis termometer lain, selain termometer digital yang boleh anda gunakan, tetapi ia mungkin tidak dapat memberikan bacaan tepat seperti termometer digital untuk mengambil suhu seorang bayi atau kanak-kanak kecil.

Antara pilihan termometer yang ada:

Suhu Normal Bayi Apa yang Perlu Anda Ketahui - jenis termometer

  • Termometer telinga (tympanic) – Ini membolehkan anda mengambil bacaan suhu dari telinga. Ia memberikan bacaan yang segera dan pantas tetapi harganya agak mahal. Tetapi ia boleh memberikan bacaan yang agak mengelirukan jika ia tidak dimasukkan ke dalam telinga dengan betul. Di mana keadaan ini adalah amat cenderung untuk berlaku memandangkan lubang telinga bayi adalah sangat kecil.
  • Termometer strip-type – Termometer jenis ini digunakan dengan menekapnya pada bahagian dahi dan ia bukan secara tepat akan mengukur bacaan suhu badan, kerana ia lebih menunjukkan suhu kulit.

Anda adalah amat tidak disarankan untuk menggunakan termometer lama jenis kaca yang mengandungi merkuri. Ini kerana termometer jenis ini berisiko tinggi untuk pecah; dan mengeluarkan serpihan kecil kaca dan merkuri yang sangat beracun. Termometer jenis ini tidak lagi digunakan di hospital. Sekiranya anak anda terdedah kepada merkuri, sila bawa anak anda untuk mendapatkan pemeriksaan dengan segera.

Apakah punca demam?

Demam itu sendiri bukanlah penyakit, tetapi ia merupakan tanda penyakit. Demam adalah tanda bahawa badan anda sedang sakit atau mempunyai jangkitan. Demam membantu membunuh jangkitan, bakteria dan virus yang menyebabkan demam. Anak anda mempunyai demam sekiranya suhu badannya adalah lebih tinggi daripada biasa.

Demam biasanya merupakan tanda bahawa badan anak anda sedang dalam usaha untuk melawan jangkitan. Antara jangkitan yang boleh menyebabkan demam pada kanak-kanak adalah seperti cacar air (chickenpox) dan tonsilitis. Sesetengah bayi dan kanak-kanak akan mengalami demam selepas mendapat suntikan vaksin mereka. Kebiasaannya demam ini akan sembuh dengan cepat dan secara sendiri. Tetapi sekiranya ia mendatangkan kebimbangan, anda boleh membawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor perubatan anda.

Demam yang dialami oleh anak anda biasanya disebabkan oleh pelbagai faktor. Kebanyakan demam dan penyakit yang mereka alami akan berlangsung untuk beberapa hari. Walau bagaimanapun, terdapat demam yang mungkin akan bertahan lebih lama dan ia mungkin petanda untuk sebarang penyakit kronik atau jangkitan yang mendasari.

Jangkitan merupakan penyebab demam yang paling biasa pada kanak-kanak. Umumnya, demam adalah tindak balas semula jadi terhadap jangkitan. Ia adalah satu petanda yang baik bahawa tubuh anak anda sedang memerangi jangkitan.

Kebanyakan jangkitan yang dialami oleh kanak-kanak adalah berpunca daripada virus yang bertanggungjawab mengakibatkan selesema biasa dan jangkitan saluran pernafasan atas, serta penyakit berjangkit yang biasa pada kanak-kanak seperti cacar air.

Sesetengah jangkitan adalah disebabkan oleh bakteria. Keadaan ini memerlukan rawatan dengan antibiotik. Ia termasuk jangkitan tertentu pada telinga atau tekak, jangkitan saluran kencing, radang paru-paru, jangkitan darah dan meningitis. Tekak yang sangat sakit bersama demam boleh disebabkan oleh Streptococcus –strep throat adalah jangkitan bakteria pada tekak yang membuatkan tekak berasa sakit dan gatal. Jika tidak dirawat dengan antibiotik, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti keradangan buah pinggang, kerosakan jantung atau demam reumatik-.

Simptom demam bagi bayi dan kanak-kanak

Berikut adalah antara simptom demam yang mungkin akan dialami oleh anak anda:

  • Muntah atau cirit-birit secara berterusan
  • Mulut kering
  • Sakit belakang atau telinga tertarik ke belakang
  • Demam datang dan pergi untuk selama beberapa hari
  • Menangis dengan kuat
  • Kerap merengek atau menjadi lebih cerewet
  • Hilang selera
  • Kelihatan pucat
  • Mengalami kekejangan
  • Sakit kepala yang teruk
  • Ruam
  • Sakit atau bengkak sendi
  • Sakit tekak
  • Ketegangan pada leher
  • Sakit perut
  • Bengkak pada bahagian kepala yang lembut bagi bayi
  • Kurang bertindak balas
  • Masalah berkaitan pernafasan

Bagaimana mendiagnosis demam pada bayi dan kanak-kanak?

Suhu Normal Bayi Apa yang Perlu Anda Ketahui - demam

Banyak doktor mendiagnosis demam pada suhu oral melebihi 37.5 ℃. Doktor juga mendiagnosis demam pada suhu rektum di atas 38 ℃. Tetapi piawaian demam juga bergantung kepada usia, jadi apa yang mungkin demam bagi seseorang individu mungkin tidak boleh dianggap demam bagi individu lain.

Untuk mengambil suhu anak anda dengan ukuran bacaan rektum yang tepat, gunakan termometer digital. Letakkan anda anda pada perutnya di pangkuan anda. Sapukan jeli petroleum pada hujung termometer. Masukkan setengah inci bahagian bawah termometer ke bahagian punggung anak anda. Berhenti menolak atau memasukkannya ke dalam punggung anak anda jika terasa sebarang rintangan. Pegang termometer secara tetap dan jangan lepaskan sehinggalah termometer anda berbunyi dan mendapat bacaan. Mengambil suhu bacaan rektum adalah kaedah yang sesuai untuk kanak-kanak.

Jika anda ingin mengambil suhu oral, gunakan juga termometer digital (sebaiknya termometer yang lain, yang bukan digunakan untuk mengambil bacaan suhu secara rektum). Letakkan termometer di bawah lidah anak anda, pastikan anak anda tidak bercakap atau menggigit termometer tersebut. Tunggu sehingga termometer berbunyi dan mendapat bacaan.

Bolehkah demam pada bayi dan kanak-kanak dicegah atau dielakkan?

Demam yang disebabkan oleh penyakit atau jangkitan boleh dielakkan dengan mencegah perkara-perkara yang boleh menyebabkan penyakit atau jangkitan. Demam yang disebabkan oleh vaksin boleh dielakkan dengan memberikan acetaminophen kepada anak anda. Ia adalah ubatan yang boleh dibeli di farmasi. Ia boleh diberikan sama ada sebelum atau selepas anak anda mendapat vaksin.

Rawatan untuk demam bayi dan kanak-kanak

Acetaminophen boleh diberikan untuk mengurangkan demam. Ibuprofen (berikan ubat yang bersesuaian dengan usia anak anda) adalah ubat lain yang boleh digunakan untuk menurunkan demam pada kanak-kanak berusia lebih dari 6 bulan. Sila pastikan anda mendapatkan dos yang sesuai untuk anak anda, kerana ia akan berbeza mengikut usia dan berat badan anak anda.

Tip memberikan ubat:

  • Jangan berikan lebih daripada 5 dos dalam masa sehari
  • Jangan berikan kepada bayi yang berusia kurang dari 2 bulan sebarang ubat kecuali dengan arahan doktor
  • Baca arahan pada label dengan teliti
  • Untuk ubat jenis cecair, gunakan alat pengukur khas untuk mendapatkan dos yang betul. Elakkan menggunakan sudu biasa yang tidak boleh mengganggar dos ubatan dengan tepat.

Sekiranya bayi anda berusia kurang daripada 3 bulan dan mendapat bacaan rektum pada 38 ℃ atau lebih, sila bawa anak anda untuk berjumpa dengan kadar yang segera. Ia boleh menjadi tanda jangkitan yang serius bagi bayi yang masih kecil.

Jangan pernah memberikan anak anda aspirin untuk apa juga sebab sekalipun, ini kerana aspirin boleh menyebabkan sindrom Reye. Ia merupakan penyakit kanak-kanak yang serius dan boleh mengakibatkan kematian. Jadi elakkan untuk memberikan aspirin bagi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut