backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

Hentikan Mitos Nanas Punca Gugur, Ini 3 Manfaat Untuk Ibu Hamil

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/11/2022

    Hentikan Mitos Nanas Punca Gugur, Ini 3 Manfaat Untuk Ibu Hamil

    Semua wanita pasti pernah mendengar petua berkenaan buah yang dilarang untuk ibu hamil dan yang paling popular sudah tentu buah nanas bukan?

    Orang tua-tua cakap, jangan makan nanas semasa hamil, nanti kandungan gugur.

    Ada juga beberapa buah lain yang dilarang makan sewaktu fasa kehamilan kerana dikatakan boleh menyebabkan keguguran.

    Ini termasuklah durian, kelapa, betik muda, pic, dan epal masam.

    Sifat buah-buah ini dikatakan tajam dan masam, yang menjadi punca keguguran sewaktu hamil.

    Jadi, benarkah dakwaan ada buah yang dilarang untuk ibu hamil ini? Jom teruskan pembacaan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Nanas adalah buah yang dilarang untuk ibu hamil?

    Nanas adalah selamat untuk dimakan walaupun anda adalah seorang wanita yang sedang dalam fasa kehamilan.

    Ia bukanlah buah punca keguguran seperti yang sering digembar-gemburkan.

    Sebenarnya, nanas kaya dengan pelbagai jenis vitamin yang sepatutnya menjadi salah satu pilihan sihat untuk wanita yang sedang dalam fasa kehamilan.

    Walaupun orang tua-tua mungkin kerap menyebutkan naratif keburukan makan nanas sewaktu hamil, tapi ia sebenarnya adalah satu mitos sahaja.

    Tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menunjukkan buah nanas berbahaya kepada wanita dalam fasa kehamilan.

    Buah yang dilarang untuk ibu hamil, bromelain dalam nanas boleh sebabkan keguguran?

    buah yang dilarang untuk ibu hamil

    Nanas mengandungi kandungan bromelain yang merupakan sejenis enzim.

    Enzim bromelain berfungsi memecahkan protein dalam tubuh manusia.

    Memandangkan janin dalam kandungan terdiri daripada sel protein sederhana, jadi pengambilan bromelain mungkin boleh menyebabkan pendarahan tidak normal dan seterusnya menyebabkan keguguran.

    Bromelain dalam bentuk tablet sememangnya tidak disarankan untuk diambil oleh wanita hamil.

    Ini kerana ia boleh menguraikan protein dalam tubuh yang memungkinkan kejadian seperti di atas untuk berlaku.

    Namun kandungan bromelain yang terdapat dalam nanas adalah sangat sedikit.

    Ia tidak akan memberikan kesan terhadap kandungan wanita yang sedang hamil seperti menyebabkan keguguran mahupun pendarahan.

    Sebagai perbandingan, anda mungkin perlu memakan antara 7 hingga 10 biji buah nanas untuk bromelain benar-benar berkemampuan memberikan kesan ke atas janin anda!

    Tiada siapa pun yang mampu untuk makan nanas sebanyak itu dalam satu hidangan.

    Tambahan lagi, ada satu kajian yang menunjukkan sebahagian besar kandungan bromelain dalam nanas akan hilang apabila nanas diproses menjadi nanas dalam tin atau diproses menjadi jus. 

    Jadi wanita dalam fasa kehamilan boleh makan nanas?

    buah yang dilarang untuk ibu hamil

    Ya, wanita yang sedang hamil tidak mempunyai masalah sekiranya mahu memakan buah nanas dan ia sebenarnya amat digalakkan.

    Bagi wanita yang sedang dalam fasa kehamilan, satu cawan nanas boleh membekalkan 100% keperluan vitamin C harian untuk anda.

    Nanas juga mempunyai kandungan folat, zat besi, magnesium, mangan, tembaga dan juga vitamin B-6.

    Kesemua zat-zat ini amat menyokong perkembangan janin yang sihat selain kesihatan tubuh ibu yang sedang hamil.

    Namun jika dimakan terlalu banyak, ia akan menyebabkan sedikit kesan yang tidak selesa kepada perut anda, khususnya bagi golongan perut sensitif.

    Ini kerana kandungan asid yang terdapat dalam nanas boleh menyebabkan pedih ulu hati dan juga refluks.

    Cara terbaik untuk mengambil buah ini adalah dengan cara sederhana sahaja.

    Tidak kira anda seorang wanita yang sedang dalam fasa kehamilan atau tidak, anda disarankan untuk memakannya dengan kadar yang sederhana sahaja.

    Bagaimana pula dengan buah punca keguguran yang lain?

    Sama juga dengan mitos nanas, buah-buahan lain juga bukanlah buah punca keguguran seperti yang didakwa. 

    Anda mungkin pernah mendengar larangan memakan nanas sahaja.

    Tetapi ada juga petua-petua lain yang melarang wanita hamil daripada makan buah-buahan seperti buah betik, buah limau, cincau, pisang hijau bahkan kangkung.

    Kesemua buah yang dilarang untuk ibu hamil dikatakan punca keguguran ini ternyata adalah mitos yang mengarut.

    Ini kerana setiap jenis buah-buahan ini mempunyai manfaat dan khasiatnya yang tersendiri terhadap kesihatan ibu hamil dan juga kandungannya.

    Ingin mengetahui tarikh jangkaan bersalin anda dengan lebih tepat? Kira EDD anda di kalkulator tarikh bersalin kami.

    Bagi mereka yang sedang hamil, anda digalakkan untuk banyak mengambil buah-buahan dalam hidangan harian anda.

    Antara jenis sayuran dan buah-buahan yang disarankan untuk dimakan oleh wanita hamil ialah:

    buah yang dilarang untuk ibu hamil

    • Epal
    • Buah oren
    • Buah limau
    • Aprikot
    • Mangga
    • Ubi keledek
    • Kacang hijau
    • Sayur bayam

    Kesimpulannya

    Nanas sememangnya bukanlah buah yang dilarang untuk ibu hamil.

    Sebaliknya, buah nanas mempunyai pelbagai khasiat yang bukan sahaja bermanfaat untuk ibu yang sedang hamil tetapi juga kepada janin yang sedang dikandungnya.

    Oleh itu, makanlah buah nanas walaupun anda sedang hamil.

    Hanya pastikan anda tidak memakannya dengan kuantiti yang banyak dalam sehari untuk mengelakkan ketidakselesaan pada perut. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan