Hentikan 10 Perkara Jika Ingin Berhenti Merokok

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bagi individu yang merokok, untuk berhenti merokok bukanlah suatu perkara yang mudah. Apatah lagi jika merokok itu sudah menjadi kebiasaan buat diri selama bertahun-tahun. Dalam usaha untuk menjadi individu bebas rokok, pastinya kita akan berdepan dengan beberapa situasi yang membuatkan kita seakan mahu mengalah dan berputus asa.

Berikut adalah 10 perkara yang tidak patut anda lakukan sekiranya anda berniat untuk berhenti merokok:

Jangan Hilang Sabar

Apabila anda sedang dalam fasa untuk berhenti merokok, sememangnya akan lahir satu kecenderungan untuk berharap bahawa anda akan dapat melakukannya dalam masa tempoh sebulan. Itu adalah satu perkara yang bagus. Namun sebenarnya keadaan tidak berfungsi seperti itu.

Berhenti merokok merupakan satu proses, dan ia mungkin proses yang mungkin mengambil sedikit masa. Ketika kita berusaha untuk berhenti merokok, kita sedang dalam usaha untuk meninggalkan satu tabiat yang telah kita lakukan selama bertahun-tahun.

Tenangkan diri dan bersabar. Yakinkan diri anda bahawa anda mampu melalui proses ini dengan sebaiknya. Jangan mudah berputus asa!

Terlalu fikirkan masa depan

Dalam usaha untuk berhenti merokok, pasti akan terlintas dalam fikiran anda sama ada anda mampu untuk meneruskan niat atau anda akan merindui dan sentiasa memikirkan tentang rokok anda. Tingkah laku ini dipanggil sebagai junkie thinking dan setiap individu yang dalam usaha untuk berhenti merokok pasti akan melalui pengalaman ini akibat ketagihan nikotin.

Jika anda mendapati diri anda berasa panik tentang masa depan bebas rokok, berhenti dan cuba kembali fokus tentang  hari yang anda sedang lalui. Ia memerlukan kekuatan dan kesabaran untuk melakukannya dan memiliki kawalan sepenuhnya ke atas diri anda.

Jangan biarkan diri anda hanyut dengan ketakutan tentang hari-hari mendatang. Anda tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku semalam dan menjangkakan apa yang mungkin berlaku esok, tetapi anda mempunyai kawalan sepenuhnya untuk apa yang anda lakukan hari ini.

Jangan negatif

Kajian menunjukkan kebiasaannya seseorang individu mempunyai kira-kira 66,000 pemikiran pada hari-hari tertentu dan dua pertiga daripadanya adalah pemikiran negatif. Jadi tidak hairan andainya kita lebih menumpukan tentang perkara negatif kepada diri sendiri.

Mula berikan perhatian pada setiap yang anda fikirkan dan tolak ke tepi pemikiran negatif yang tidak mendatangkan faedah kepada anda. Jadi yang terbaik untuk diri anda sendiri dan berhenti meratapi hal-hal tidak mungkin dapat anda ubah, seperti tahun-tahun anda merokok dahulu.

Hadapi kegagalan anda berhenti merokok pada masa-masa dahulu sebagai satu pengalaman untuk anda berusaha dengan lebih baik dan bukan satu kegagalan. Fikirkan semua perubahan positif yang anda sedang lakarkan dalam hidup anda dengan berhenti merokok dan gunakan ia sebagai kekuatan untuk lalui hari-hari anda. Tegas dengan perubahan yang sedang anda lakukan dan ia pasti akan memudahkan anda untuk berhenti merokok.

Jangan abaikan diri

Berhenti merokok bermakna anda perlu memberikan perhatian lebih kepada diri sendiri pada peringkat awal bagi memastikan semua keperluan fizikal anda dipenuhi. Senarai tips berikut akan membantu melancarkan proses penyingkiran nikotin dengan lebih selesa:

  • Makan makanan seimbang.

Badan anda memerlukan makanan yang berkualiti kerana ia sedang berfungsi untuk membuang toksin dari rokok untuk keluar dari sistem badan anda.

  • Lebih banyak rehat.

Berkemungkinan, proses penyingkiran nikotin akan membuatkan anda berasa penat selama beberapa minggu. Jika anda letih, jangan melawan. Pastikan diri anda mendapat rehat dan tidur yang secukupnya.

  • Minum air.

Air adalah penting dalam proses untuk berhenti merokok. Ia membantu anda untuk detox dengan lebih cepat, berfungsi dengan baik sebagai penghalang keinginan, dan akan membantu anda dari terhidrasi. Secara keseluruhan air akan membuatkan anda berasa lebih baik secara keseluruhan.

  • Senaman harian.

Bersenam akan memberikan manfaat kesihatan fizikal dan mental, dan ini satu lagi cara yang baik untuk mengawal keinginan untuk merokok. Berjalan merupakan satu senaman aerobik impak rendah yang merupakan pilihan terbaik bagi mereka yang menjalani gaya hidup yang tidak aktif. Jika perlu, sila berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan sebarang nasihat sebelum memulakan sebarang aktiviti senaman.

  • Vitamin harian.

Merokok menyebabkan badan kita kehilangan banyak nutrien, jadi berikan diri anda rangsangan dengan mengambil pelbagai vitamin yang baik untuk beberapa bulan pertama berhenti merokok. Ini dapat membantu anda untuk mendapatkan semula tenaga anda lebih cepat.

Menjaga diri dan badan anda, terutamanya dalam proses awal berhenti merokok, akan membantu mengurangkan ketidakselesaan dalam proses penyingkiran nikotin. Sentiasa ingatkan diri anda bahawa proses penyingkiran nikotin ini adalah satu fasa pemulihan yang tidak akan menyakitkan secara fizikal tetapa ia memerlukan ketahanan mental untuk melakukannya.

Jangan minum alkohol

Ia seperti menjadi kebiasaan,  minum alkohol sambil merokok. Jangan tergesa-gesa. Akan tiba masanya untuk anda minum alkohol tanpa mencetuskan keinginan untuk merokok. Tetapi jangan berharap ia boleh berlaku dalam bulan pertama, atau mungkin dalam beberapa bulan pertama. Kuatkan diri!

Kita semua akan mengalami situasi dan pengalaman yang berbeza dalam proses penyingkiran nikotin ini. Fokus kepada diri sendiri. Jika terdapat situasi di mana anda perlu berdepan dengan minuman alkohol, ambil ia sebagai isyarat untuk menguatkan lagi diri anda. Namun jika anda masih belum kuat, mungkin anda boleh tangguhkan ia dulu. Tetapi jika ia bukan satu pilihan dan anda menghadapinya, ambil masa dan sediakn rancangan untuk bagaimana anda perlu berdepan dengan situasi tersebut.

Jangan berlebihan

Kita telah bercakap mengenai kepentingan untuk menjaga diri dan badan semasa proses penyingkiran nikotin, namun jangan kita lupakan soal emosi dan mental kita. Tekanan dan kemarahan mungkin merupakan dua pencetus merokok yang terbesar yang perlu kita hadapi, dan keduanya boleh menjadi penyebab kegagalan proses berhenti merokok ini jika kita tidak mengawalnya.

Fasa berhenti merokok pada peringkat awal pasti akan menimbulkan ketegangan yang tersendiri, dan itu boleh menjadi luar kawalan jika bertemu dengan tekanan dari kehidupan seharian jika kita gagal mengawalnya.

Jangan biarkan diri anda keletihan dan luangkan sedikit masa setiap hari untuk melegakan tekanan dengan aktiviti yang anda nikmati. Apabila badan anda mendapat rehat dan tenang, pastinya anda lebih tenang dan bersedia untuk berdepan cabaran harian lain.

Jangan beri tekanan

Berdepan dengan hari yang buruk itu adalah satu perkara normal. Elakkan untuk fokus tentang suasana negatif pemikiran anda. Sebaiknya, lakukan sesuatu yang dapat alihkan perhatian dan mengabaikan perkara negatif itu.

Jika kita menghadapi hari yang teruk, gunakan ia sebagai alasan untuk memanjakan diri anda. Jika masih tidak berjaya, berikan diri anda waktu tidur lebih awal dan kebiasaannya ia akan berjaya membuatkan anda menjadi 100 peratus lebuh baik pada keesokannya.

Jangan malu minta bantuan

Statistik menunjukkan individu yang dalam proses berhenti merokok dan mendapat sistem sokongan mempunyai kadar kejayaan yang lebih tinggi. Selain dari sokongan keluarga dan rakan, pertimbangkan untuk menambah beberapa sokongan dalam talian untuk program berhenti merokok anda. Terdapat pelbagai forum berhenti merokok yang menawarkan sokongan terbaik boleh didapati dari internet.

Tiada istilah hanya sebatang rokok

apabila sedang dalam proses berhenti, tiada istilah hanya sebatang rokok, kerana rokok itu hadir dalam satu pek. Jangan mudah mengalah. Jika anda mengatakan bahawa anda hanya ingin merokok untuk sekali, atau mungkin hanya untuk satu malam, kemungkinan untuk anda kembali menjadi hamba rokok adalah sangat tinggi. Malah anda mungkin akan merokok lebih dari biasa.

Jangan lupa sebab ingin berhenti

Anda mungkin ingin berhenti merokok disebabkan satu faktor atau mungkin disebabkan beberapa faktor. Jangan membiarkan masa melalai dan melupakan anda dari sebab untuk anda berhentikan. Sentiasa pastikan diri anda ingat sebab dan mengapa anda ingin dan perlu berhenti merokok.

Berhenti merokok merupakan satu perjalanan yang penuh berliku. Beri diri anda peluang untuk cuba berhenti dan anda akan dapati ia satu permulaan yang penuh cabaran. Namun dari hari ke hari, anda pasti akan dapati ia merupakan satu pengalaman yang berharga dan bermanfaat.

Hello Health Group tidak menyediakan khidmat nasihat, diagnosis dan rawatan.

 

Tarikh Reviu: November 26, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 28, 2018

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut