Bersediakah Anda Untuk Melakukan Seks Selepas Bersalin?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Persoalan yang sering timbul kepada wanita melahirkan anak adalah mengenai masa yang sesuai untuk melakukan seks selepas bersalin. Takut dan risau merupakan perasaan yang sering membelenggu diri.

Masa yang sesuai

Umumnya, kebanyakan pasangan akan melakukan hubungan seks selepas bersalin apabila pendarahan yang berlaku atau darah nifas isteri berhenti. Ini kerana melakukan hubungan seks ketika pendarahan masih berlaku boleh meningkatkan risiko jangkitan yang teruk pada kemaluan. 

Kebiasaannya, proses pendarahan ini akan berlaku untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu selepas bersalin. Walau bagaimanapun, anda masih perlu berhati-hati kerana terdapat risiko luka yang berlaku di dalam rahim sewaktu proses mengeluarkan uri masih belum sembuh sepenuhnya. 

Namun, pada hakikatnya, tidak ada tempoh atau waktu yang khusus untuk anda melakukan aktiviti seksual selepas bersalin. Perkara utama yang harus diberikan perhatian adalah kesediaan anda dari segi fizikal dan mental. 

Normal ke kalau tidak bernafsu untuk seks?

Bagaimana pula kalau anda tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim selepas bersalin, adakah ia normal? Jangan bimbang. Hakikatnya apa yang anda rasa adalah sesuatu yang normal. 

Walaupun ia mungkin memakan masa berminggu-minggu, bahkan sehingga berbulan lama sekalipun, ia masih dianggap sebagai satu perkara biasa yang tidak perlu dibimbangkan dan dijadikan satu isu besar. 

Keadaan ini berlaku kerana wujudnya rasa letih yang anda alami akibat tidak mendapat rehat dan tidur yang mencukupi disebabkan menjaga bayi yang baru lahir. Malahan hormon prolaktin, yang berperanan untuk meningkatkan rasa keghairahan untuk melakukan hubungan seksual juga berkurangan, jika anda menyusu badan. 

Walau bagaimanapun, jika anda berdepan dengan isu seperti kemurungan selepas bersalin, anda disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rundingan dengan doktor atau pakar kesihatan jika anda berasakan keadaan ini menimbulkan kerumitan buat anda. 

Bagaimana pula kalau anda sudah bersedia tetapi tidak tahu cara yang perlu dilakukan, apatah lagi jika ini merupakan kali pertama anda melahirkan anak. 

Persediaan melakukan seks

Mungkin anda dan pasangan sudah bersedia untuk melakukan hubungan intim tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Jadi berikut dikongsikan tip untuk memulakan hubungan mesra dengan pasangan.

  1. Mulakan dengan berpelukan mesra dan mencium pasangan. Ini sekurang-kurangnya dapat mengembalikan rasa selesa disentuh pasangan setelah lama ‘bercuti’.
  1. Jangan tergesa-gesa atau memaksa diri. Jika berasa tidak selesa atau sensitif, berterus-terang dengan pasangan. Anda boleh memintanya berhenti seketika.
  1. Anda mungkin boleh meminta suami untuk menyentuh klitoris anda bagi membantu menaikkan rangsangan.
  1. Jika terasa kering pada bahagian faraj, gunakan pelincir untuk mengurangkan rasa sensitif dan ketidakselesaan. Ini sekali gus dapat membantu melancarkan aktiviti seksual.
  1. Lakukan pergerakan semasa hubungan intim dengan berhati-hati dan perlahan-lahan untuk mengelakkan wujud rasa sakit.
  1. Anda dan pasangan boleh mencuba hubungan seksual yang tidak terlalu memberikan tekanan kepada mana-mana bahagian yang sensitif. Dalam keadaan ini, ia lebih menjurus kepada try and error bagi mendapatkan posisi yang boleh memberikan keselesaan kepada anda dan pasangan. 
  1. Jika berasa letih, mungkin anda boleh menangguhkan terlebih dahulu niat untuk melakukan hubungan intim. Ini kerana jika anda memaksa diri anda, kemungkinan anda akan berasa tertekan dan pasangan anda akan berasa tidak puas apabila hubungan intim yang dilakukan ‘sekadar cukup syarat’.

Perkara yang utama, apabila anda sudah bersedia untuk melakukan hubungan intim dengan suami, cuba untuk tidak memikirkan rasa takut atau sakit. Ini kerana lebih kerap anda memikirkan tentang kesakitan, kecenderungan anda untuk berasa sakit adalah lebih tinggi. Ia seperti permainan psikologi minda; apa yang anda fikirkan, itulah yang akan anda lakukan. 

Posisi seks selepas bersalin

Adakah terdapat posisi yang tertentu untuk melakukan hubungan intim selepas bersalin? YA, sudah tentu ada. Jadi berikut adalah antara beberapa posisi yang boleh membantu mengurangkan serta mengelakkan wujudnya rasa sakit.

  1. Gaya spooning

Posisi ini memerlukan anda untuk berbaring dengan pasangan anda memeluk anda dari belakang. Kedudukan mengiring ini dapat memberikan penetrasi yang sedikit dan tidak terlalu dalam. 

  1. Gaya berdiri 

Sering kali posisi ini dilakukan di dalam bilik mandi untuk memberikan lebih keselesaan. Anda mungkin berasa ia adalah satu posisi yang mudah tetapi ia bukanlah satu posisi yang sesuai untuk semua pasangan. Tetapi dikatakan posisi ini lebih sesuai untuk ibu bapa baru.

  1. Coital Alignment technique

Gaya ini seperti gaya missionary. Tetapi lebih memberi fokus kepada klitoris isteri. Posisi ini dikatakan tidak sesuai untuk suami yang gemar ‘mendayung’ dengan cepat atau dalam. Biarkan penetrasi yang terjadi tidak dalam, ia menjanjikan kepuasan pada kedua-dua pasangan.

  1. Isteri di atas

Pada posisi ini, ia membolehkan isteri mengawal ‘kayuhan’ dari atas; sama ada laju atau lambat, mahupun penetrasi dalam atau tidak. Hubungan intim dalam keadaan ini juga boleh mengurangkan tekanan pada bahagian pelvik supaya aktiviti seksual kurang menyakitkan dan lebih puas untuk isteri. 

Senarai posisi yang dinyatakan adalah mengikut kesesuaian individu dan terdapat perbezaan keselesaan bagi individu yang bersalin secara normal dan juga C-Sec

Bergantung kepada diri

Seperti yang disebutkan dalam artikel ini, perkara yang paling utama adalah diri anda sendiri. Jika anda belum bersedia, jangan memaksa diri dan berterus-terang kepada pasangan anda. Sekiranya anda bersedia fizikal dan mental, lakukannya dan nikmatilah hubungan seks itu dengan sebaiknya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut