backup og meta

Sarang Lebah Boleh Bantu Turunkan Tekanan Darah?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 31/12/2019

    Sarang Lebah Boleh Bantu Turunkan Tekanan Darah?

    Apabila menyebut tentang lebah, mesti terbayangkan madu yang dihasilkan serangga ini, bukan? Tetapi percayakah anda bahawa ada bahan daripada serangga kecil ini yang dapat membantu menurunkan tekanan darah?

    Bahan daripada sarang lebah?

    Dikatakan cecair kumur atau pencuci mulut yang dihasilkan daripada bahan sarang lebah yang kalis air dapat membantu mencegah jangkitan gusi. Lebih menariknya, bahan ini juga dipercayai dapat melawan masalah tekanan darah tinggi. Bagus bukan?

    Bahan istimewa tersebut adalah propolis, iaitu bahan lilin (wax) yang dihasilkan lebah untuk 

    mengelakkan sarang mereka daripada musnah dan basah disebabkan hujan. Bahan tersebut telah lama digunakan dalam perubatan kerana sifat antiseptik semula jadinya.

    Kajian yang dilakukan

    Menurut para penyelidik daripada University of Plymouth, mereka mencadangkan bahawa bahan istimewa daripada serangga kecil ini boleh membantu dalam mengurangkan masalah berkaitan tekanan darah.

    Dalam kajian ke atas 50 responden yang menguji cecair pencuci mulut ini, mereka diminta untuk menggunakan sama ada pencuci mulut propolis atau pencuci mulut biasa sebanyak dua kali sehari selama seminggu dan penyelidik akan menganalisis bakteria dalam mulut peserta pada awal dan akhir kajian.

    Daripada hasil kajian, penyelidik mendapati propolis yang terdapat dalam cecair kumur akan menggalakkan aktiviti dan jumlah bakteria semula jadi di dalam mulut. Keadaan ini akan menukar nitrat yang terkandung di dalam makanan untuk menjadi nitrit, iaitu sebatian yang dapat membantu mengembangkan saluran darah dan mengurangkan tekanan darah.

    Kekalkan keseimbangan

    Salah seorang penyelidik, Dr Raul Bescos berkata, melalui kajian, kami sedia maklum bahawa pembentukan dan aktiviti bakteria di dalam mulut adalah sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan paras gula dalam darah pada tahap normal.

    Pasukan penyelidik itu juga turut menyelidik sama ada kandungan propolis di dalam minuman keras atau beralkohol turut berfungsi untuk melawan penyakit berkaitan gusi, selepas terdapat kajian terdahulu mengatakan alkohol dengan propolis dapat mencegah penyakit gusi.

    Apa kata pakar?

    Menurut pakar kardiologi di Hammersmith Hospital yang terletak di London, Dr Punit Ramrakha, “Banyak kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa individu dengan masalah kesihatan mulut yang lemah seperti mengalami penyakit gusi atau kehilangan gigi, mempunyai masalah kardiovaskular yang lebih tinggi berbanding individu dengan kesihatan mulut yang baik. 

    “Kajian dilakukan pasukan penyelidik daripada University of Plymouth ini dapat melihat jika berlakunya pengubahsuaian flora bakteria di dalam mulut akan memberikan kesan yang baik terhadap tekanan darah seseorang individu dan penggunaan propolis adalah sesuatu yang unik dan bagus,” ujar Dr Punit.

    Tambah beliau lagi, jika hasil percubaan klinikal menunjukkan keputusan yang positif, ia sudah tentu akan menjadi satu contoh yang baik yang menunjukkan kepentingan lebah dalam kelangsungan hidup manusia.

    Masalah tekanan darah tinggi

    Sekitar 16 juta penduduk di Briton mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Keadaan ini jika tidak dirawat akan menyebabkan masalah kesihatan lain seperti serangan jantung dan strok. Selain itu, terdapat juga risiko untuk mengalami masalah kerosakan buah pinggang serta meningkatkan risiko demensia

    Tekanan darah tinggi biasanya dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit darah tinggi akan berhenti mengambil ubatan tersebut kerana kesan sampingannya seperti keletihan dan mual. Malahan ada juga yang tidak mengambilnya kerana berasa tidak sakit, ini kerana tekanan darah tinggi biasanya tidak mempunyai simptom.

    Apa itu propolis?

    Selain daripada madu, lebah turut menghasilkan produk lain yang dikenali sebagai propolis. Ia merupakan getah yang dikeluarkan oleh serangga ini. Propolis dikatakan bahan berkhasiat yang berfungsi sebagai ubatan herbal untuk mengatasi pelbagai masalah kesihatan. Propolis adalah produk sampingan dalam bentuk getah yang dihasilkan. 

    Ketika serangga kecil ini mencampurkan getah kayu dengan bahan semula jadi di dalam badannya, ia akan menghasilkan bahan melekit berwarna coklat kehijauan untuk melapisi sarang mereka. Bahan yang melekit berwarna coklat kehijauan inilah yang dipanggil propolis.

    Kebiasaannya, lebah madu akan mengumpulkan getah daripada pelbagai jenis tumbuhan untuk mengisi lubang di sarang mereka. Ia dilakukan untuk melindungi sarang daripada sebarang ancaman luar seperti haiwan pemangsa atau mikroorganisma lain.

    Kandungan nutrisi propolis

    Kandungan nutrisi dalam getah serangga ini adalah sangat bergantung kepada lokasi sarang dan jenis pokok atau bunga yang dihisap. Sebagai contoh, propolis madu dari Eropah tidak akan mengandungi komposisi yang sama seperti madu propolis dari Brazil. Itulah sebabnya setiap hasil penyelidikan akan menunjukkan kandungan nutrisi yang berlainan, bergantung kepada dari mana lebah itu berasal.

    Walau bagaimanapun, daripada beberapa kajian umum mengenai propolis ini menemui sekurang-kurangnya 300 jenis kandungan sebatian aktif. Antara sebatian aktif tersebut adalah seperti resin, balsam, minyak aromatik, debunga dan bahan organik lain. 

    Kebanyakan sebatian ini terkandung dalam bentuk polifenol dan flavanoid. Kedua-dua bentuk bahan ini adalah termasuk dalam antioksidan yang berfungsi untuk melawan penyakit dan mencegah kerosakan sel-sel dalam badan. 

    Kebaikan propolis

    Terdapat beberapa analisis dilakukan bagi membuktikan kebaikan penggunaan propolis dalam kehidupan seharian. Antaranya adalah:

    Mengubati luka

    Dalam propolis terdapat satu sebatian khusus yang dipanggil pinocembrin. Sebatian ini berfungsi sebagai agen antiradang dan antimikrobial, iaitu bahan yang penting untuk mempercepatkan penyembuhan luka.

    Terdapat kajian yang mendapati keberkesanan propolis dalam membantu mempercepatkan penyembuhan luka terbakar dengan menghasilkan sel-sel badan baru dengan pantas. 

    Melegakan simptom herpes kelamin

    Krim sapuan atau salap topikal yang mengandungi tiga peratus propolis dipercayai dapat mengurangkan luka (cold sores) dan sakit akibat herpes kelamin. Ini adalah berdasarkan laporan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Phytotherapy Research.

    Berdasarkan kajian tersebut, penggunaan herba ini sebanyak tiga kali sehari boleh mengurangkan kesakitan. Selain itu ia juga berperanan untuk melawan virus herpes dan mencegah berlakunya sebarang simptom.

    Antikanser 

    Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Clinical Review in Allergy and Immunity, propolis mempunyai kesan antikanser yang dapat mencegah dan melawan pertumbuhan sel kanser di dalam badan.

    Masalah kulit

    Propolis juga dikatakan sesuai untuk digunakan dalam merawat masalah kulit secara semula jadi. Ia boleh membantu mengatasi pelbagai masalah berkaitan kulit, antaranya mengurangkan pigmentasi dan kemerahan pada kulit yang disebabkan keradangan.

    Kesimpulannya

    Memilih untuk menggunakan propolis sebagai satu pilihan alternatif adalah amat digalakkan. Walau bagaimanapun, sebelum menggunakannya, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor bagi memastikan anda tidak mempunyai alahan terhadap bahan yang dihasilkan oleh lebah ini. Selamat mencuba!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 31/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan