Sebelum antibiotik ditemukan lebih kurang satu abad yang lalu, ramai individu pada masa lampau yang mati disebabkan oleh komplikasi daripada penyakit-penyakit biasa atau luka kecil. Namun apabila antibiotik ditemui, ia telah menjadi sebagai salah satu penemuan terbesar dalam sejarah perubatan dunia. Walau bagaimanapun, seiring dengan masa dan keadaan semasa, keberkesanan antibitiok juga sudah semakin menurun memandangkan terdapat peningkatan bakteria yang rintang terhadap antibiotik ini.
Luka perang mudahkan risiko jangkitan bakteria
Apa yang lebih membimbangkan, kerintangan terhadap antibiotik ini menjadi lebih kompleks di kawasan-kawasan yang terlibat dengan peperangan seperti di negara-negara Timur Tengah. Menurut salah seorang doktor yang berkhidmat bersama Doctors Without Borders, Dr. Jorgen Stassijns, luka akibat peperangan telah menjadi satu lokasi yang amat berpotensi bagi jangkitan bakteria. Peluru atau sebarang serpihan yang mengoyakkan kulit dan daging tubuh menyebabkan bakteria memasuki tubuh dengan mudah. Menurut Dr. Jorgen lagi, apabila seseorang individu itu memijak periuk api, banyak habuk dan kotoran akan bertiup masuk dengan segera ke dalam luka yang masih baharu. Ini akan menjadikan risiko jangkitan menjadi lebih besar.
Contoh kes di Timur Tengah
Seorang pesakit yang berada di bawah rawatan Doctors Without Borders (MSF), Waleed, telah ditempatkan di sebuah hospital kendalian MSF di Amman, Jordan. Pada tahun 2016, Waleed terkena serpihan serangan tembakan pesawat pejuang yang menembak sebuah bangunan ketika dia sedang berjalan di sebuah bandar di Yaman. Dinding bangunan tersebut runtuh lalu mengenainya sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian rahang dan kaki.
Sehingga kini, Waleed masih tidak sembuh akibat daripada tempias serangan tersebut. Ia bukanlah disebabkan oleh runtuhan bangunan tersebut, tetapi disebabkan oleh lukanya yang telah dijangkiti dengan bakteria yang menjadi rintang terhadap pelbagai jenis ubat-ubatan yang diambilnya. Semasa berlakunya peperangan di Yaman, fasiliti kesihatan telah mengalami kerosakan dan memberikan kesukaran kepada pesakit yang terjejas bagi mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Inilah situasi yang dialami oleh Waleed pada ketika itu. Walaupun dia mendapat rawatan di sebuah fasiliti di bandar tersebut, tetapi kemudahan rawatan yang tersedia amatlah teruk dan mempunyai banyak kekurangan.
Penggunaan antibiotik yang tidak betul telah menggalakkan rintangan antibiotik oleh bakteria yang menjangkiti Waleed. Waleed kemudiannya dipindahkan bagi mendapatkan rawatan yang lebih sesuai di Amman, Jordan. Semasa di Jordan inilah, pasukan perubatan mendapati bahawa Waleed mempunyai jangkitan bakteria yang agak teruk pada bahagian tulangnya yang rintang terhadap antibiotik.
Penubuhan makmal kajian oleh MSF
MSF sedang dalam perjalanannya bagi mewujudkan makmal untuk ujian mikrobiologi di hospital lapangan mereka, selain meningkatkan kerjasama dengan makmal luar yang lain. Ia bertujuan bagi mendapatkan antibiotik yang paling tepat bagi merawat jangkitan yang mempunyai bakteria yang rintang terhadap antibiotik sedia ada. Selain itu, ia juga bertujuan bagi mengelakkan bakteria daripada menjadi rintang. MSF juga telah mula melatih staf perubatan mereka berkenaan penggunaan antibiotik secara optimum.
Tanpa mengira betapa kompleksnya isu rintangan antibiotik ini, MSF masih lagi memainkan peranan penting mereka dalam melawan bakteria yang rintang terhadap antibiotik terutamanya bagi mangsa peperangan yang mudah terdedah kepada jangkitan bakteria.