Pakai Tampon Ketika Haid? Anda Boleh Terkena Penyakit Toksik, Punca Ramai Gadis Maut!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 18/08/2020 . 3 minit bacaan
Share now

Walaupun jarang berlaku, sindrom kejutan toksik bukanlah dongeng semata-mata. Banyak kes dilaporkan di mana penyakit toksik ini telah meragut nyawa tanpa mengira umur.

Percayakah anda, penggunaan tampon ketika haid mampu membawa anda selangkah ke alam maut disebabkan sindrom ini?

Jangan risau, artikel ini akan membantu anda untuk mengenali punca dan tanda sindrom kejutan toksik.

Apakah itu sindrom kejutan toksik?

Sindrom kejutan toksik ialah suatu komplikasi yang boleh meragut nyawa disebabkan oleh toksin kuman di dalam darah anda.

Kajian daripada Amerika Syarikat menganggarkan sekitar 0.8-3.4 setiap 100,000 rakyat di negara tersebut didiagnosis dengan penyakit toksik ini.

Kebiasaannya, toksin yang dihasilkan oleh kuman Staphylococcus aureus ialah punca utama kepada sindrom ini. Namun, kuman daripada kumpulan A Streptococcus juga mampu menghasilkan toksin yang mengancam nyawa.

Walau bagaimanapun, kumpulan umur yang lebih berisiko mendapat penyakit toksik ini ialah warga tua dan kanak-kanak disebabkan oleh tahap imun badan yang lemah.

Faktor risiko penyakit toksik

Penyakit toksik ini boleh menyerang sesiapa sahaja. Kira-kira separuh daripada kes yang dilaporkan berkaitan dengan Staph aureus berlaku dalam kalangan wanita masih haid.

Manakala selebihnya mempengaruhi kanak-kanak, lelaki dan wanita dewasa.

Toksin kuman Streptococcus pula boleh mempengaruhi setiap lapisan umur.

Faktor risiko yang sering dikaitkan dengan penyakit ini ialah :

  • Luka terbuka pada kulit
  • Kulit terbakar
  • Selepas pembedahan yang baru dijalankan
  • Menggunakan span kontrasepsi, diafragma, tampon, cawan haid atau tuala wanita yang menyerap banyak
  • Jangkitan virus yang aktif seperti demam campak atau selesema

sindrom kejutan toksik

Penyakit toksik ini sering dikaitkan dengan penggunaan tampon ketika haid. Jika tampon dibiarkan dalam faraj terlalu lama, jangkitan kuman boleh terjadi dan menyebabkan sindrom kejutan toksik.

Walaupun begitu, sindrom ini jarang berlaku dalam kalangan wanita kini disebabkan oleh kurang penggunaan produk tersebut.

Ketahui tanda dan simptomnya

Tanda-tanda dan simptom berbeza mengikut jenis kuman yang terlibat. Namun, harus diingatkan bahawa setiap tubuh bertindak secara berlainan terhadap penyakit toksik ini.

Simptom berpunca daripada Staph aureus ialah :

  • Demam bersuhu tinggi (38.9 celsius ke atas)
  • Kedinginan
  • Kelesuan badan
  • Muntah dan cirit-birit
  • Sakit otot
  • Sakit kepala
  • Ruam kemerah-merahan di seluruh badan
  • Pengelupasan kulit di bahagian tapak tangan dan kaki
  • Tekanan darah rendah
  • Degupan jantung lebih cepat
  • Kurang air kencing
  • Kekeliruan

Simptom penyakit toksik yang disebabkan oleh kuman Streptococcus termasuklah :

  • Tekanan darah terlampau rendah
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Pening kepala
  • Degupan jantung sama ada laju atau lemah
  • Lebam pada badan disebabkan platelet rendah
  • Ruam kemerahan di seluruh badan
  • Fungsi buah pinggang dan hati terjejas

Jika anda mempunyai tanda-tanda dan simptom seperti di atas, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan.

Bagaimana sindrom kejutan toksik didiagnosis?

Penyakit toksik ini akan didiagnosis dengan penggabungan tanda-tanda dan simptom anda, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal.

Selain itu, doktor akan memastikan keadaan anda bukan disebabkan oleh penyakit lain sebelum mendiagnosis anda dengan sindrom ini.

penyakit toksik

Ujian diagnostik yang selalunya dijalankan ialah :

  • Kultur darah: untuk mengenal pasti jenis kuman
  • Ujian darah untuk mengetahui tahap darah putih, platelet, fungsi hati dan buah pinggang
  • Ujian air kencing
  • Sampel sel daripada tekak, faraj dan pangkal rahim
  • Punktur lumbar
  • Pengimejan seperti X-ray dan scan CT

Komplikasi penyakit toksik

Mengetahui tanda-tanda dan simptom penyakit ini penting kerana ia boleh menyebabkan komplikasi pada tubuh dengan cepat. Antara komplikasi sindrom ini termasuklah:

Perubahan gaya hidup boleh mencegah penyakit toksik

Sindrom kejutan toksik boleh dicegah dengan mengamalkan langkah-langkah seperti berikut :

  • Oleh sebab jangkitan semula boleh berlaku, wanita yang pernah mendapat penyakit toksik haruslah mengelakkan penggunaan tampon ketika haid
  • Penjagaan luka yang rapi
  • Menukar tuala wanita lebih kerap ketika haid
  • Membasuh tangan ketika menukar tuala wanita
  • Meminimumkan penggunaan bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam faraj seperti tampon dan diafragma

Konklusi

Sindrom kejutan toksik telah banyak menyebabkan kematian tanpa mengira umur.

Jika anda pernah mengalami jangkitan kuman dalam tekak, didiagnosis sindrom kejutan toksik, ataupun baru sembuh daripada jangkitan kuman disebabkan oleh Staphylococcus dan Streptococcus, elakkan penggunaan tampon dan gunalah tuala wanita yang biasa sahaja.

Seandainya anda mempunyai luka di badan dan mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, sila dapatkan rawatan segera.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan