backup og meta

Jangan Ambil Mudah, Pendarahan Dalaman Jika Dibiarkan Boleh Ancam Nyawa!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/08/2020

    Jangan Ambil Mudah, Pendarahan Dalaman Jika Dibiarkan Boleh Ancam Nyawa!

    Pendarahan dalaman, walaupun sukar untuk didiagnosis, merupakan keadaan kesihatan yang boleh mengancam nyawa.

    Ia merupakan satu fenomena ‘berdarah’ yang tidak dapat dilihat dengan mata fizikal namun boleh menyebabkan gejala serius.

    Faktor lazim yang boleh menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman adalah trauma dan kecederaan.

    Walau bagaimanapun, terdapat punca lain yang turut boleh menyebabkan masalah kesihatan tersebut seperti gastritis, kerosakan organ dan masalah berkaitan pendarahan.

    Mereka yang mengalami masalah genetik berkaitan pendarahan seperti hemofilia berisiko untuk mendapat keadaan kesihatan ini.

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Tiada luka namun ada simptom, ini cabaran mendiagnosis masalah pendarahan dalaman

    pendarahan dalaman

    Berbeza dengan luka fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar, pendarahan dalaman sukar untuk dikesan terutamanya jika pendarahan berlaku pada skala kecil.

    Ia merupakan cabaran bagi petugas kesihatan terutamanya dalam kes trauma seperti kemalangan.

    Dalam situasi tersebut, kebiasaannya pendarahan dalaman adalah lebih serius.

    Tanpa pemeriksaan yang teliti, tahap kesihatan pesakit boleh merosot dan risiko kematian mereka boleh meningkat secara mendadak.

    Pendarahan dalaman tidak mempunyai lokasi yang spesifik.

    Ia boleh berlaku di kepala, dada, abdomen, otot dan sendi. Lokasi pendarahan bergantung kepada jenis kecederaan yang dialami pesakit.

    Simptom bagi setiap lokasi juga berbeza.

    Pendarahan di dalam kepala

    1. Sakit kepala teruk
    2. Rasa kebas (semut-semut) pada bahagian tangan dan kaki
    3. Kebas sebelah badan
    4. Lemah sebelah badan
    5. Penglihatan tiba-tiba kurang jelas
    6. Tidak dapat mengimbangi diri
    7. Tidak dapat bertutur dengan elok atau sukar memahami pertuturan orang lain
    8. Sukar menulis
    9. Kelesuan melampau atau berada dalam keadaan separa sedar

    Anda mungkin berminat:

    Pendarahan di dalam dada atau abdomen

    mengancam nyawa

    1. Sakit dada atau abdomen
    2. Sukar untuk bernafas
    3. Loya
    4. Muntah
    5. Terdapat darah di dalam air kencing
    6. Najis berwarna hitam 
    7. Lebam pada bahagian terlibat
    8. Pening kepala terutamanya ketika berdiri

    Pendarahan di dalam otot atau sendi

    1. Sakit pada bahagian sendi
    2. Bengkak sendi
    3. Sukar untuk bergerak
    4. Had pergerakan kawasan terlibat terbatas

    Dalam situasi di atas, simptom pendarahan dalaman bukan sahaja bergantung kepada lokasi, ia juga tidak spesifik.

    Ini bermakna, tanpa faktor seperti trauma atau kecederaan, diagnosis pendarahan dalaman boleh dikatakan tidak masuk akal.

    Oleh sebab itu penting bagi individu untuk memberitahu jika terdapat trauma sebelum hadir ke klinik/hospital.

    Jika dibiarkan berlarutan, badan akan kehilangan banyak darah dan ia boleh menyebabkan komplikasi kejutan (shock).

    Shock berlaku apabila jumlah darah yang mengalir tidak cukup untuk menampung keperluan sel di seluruh badan.

    Antara simptomnya adalah:

    1. Denyutan nadi laju
    2. Tekanan darah rendah
    3. Individu terlibat berada dalam keadaan separa sedar
    4. Badan lemah

    Keadaan kesihatan serius yang boleh menyebabkan pendarahan dalaman

    pendarahan dalaman

    Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan pendarahan dalaman.

    Perkara ini termasuklah masalah genetik berkaitan darah seperti hemofilia yang mengganggu proses fisiologi pembekuan darah.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada keadaan tersebut akan berhenti dengan sendirinya jika tidak serius.

    Bagi kes berikut, impak yang dialami oleh individu terbabit dalam konteks pendarahan dalaman adalah sangat serius. Jika lambat dirawat, ia boleh membawa maut:

  • Trauma seperti kemalangan kenderaan, jatuh dari tempat tinggi atau ditimpa dengan objek berat. Terdapat kes di mana pendarahan dalaman berlaku tanpa ada luka fizikal walau sedikit pun.
  • Tulang patah. Bagi tulang panjang seperti tulang paha dan betis, kepatahan boleh menyebabkan kecederaan pada organ terdekat. Perkara ini boleh menyebabkan komplikasi serius sekiranya tidak dirawat.
  • Hamil luar rahim. Semakin lama diagnosis hamil luar rahim tidak dapat dikesan, semakin meningkatlah risiko pendarahan dalaman serius akibat janin yang membesar.
  • Pembedahan. Tanggungjawab pakar bedah sangat berat terutamanya sebelum menutup pesakit selepas sesuatu prosedur. Mereka perlu memastikan tiada pendarahan berlaku.
  • Aneurisme. Apabila terdapat masalah pada struktur salur darah (lemah) ia akan menyebabkan terbentuknya gelembung yang mudah pecah. Walaupun kebanyakannya tidak menyebabkan simptom, jika pecah, ia boleh mengancam nyawa.
  • Rawatan jika didiagnosis dengan masalah ini

    Cabaran bagi doktor perubatan dalam merawat pendarahan dalaman adalah untuk mencari lokasi punca berlakunya pendarahan tersebut.

    Perkara ini melibatkan pelbagai jenis ujian dan jika masih tidak ditemui walhal pesakit berisiko tinggi, pembedahan akan dilakukan bagi mencari dengan mata kasar.

    Dalam kes ringan, rawatan yang biasa diberikan adalah bersifat konservatif.

    Namun jika keadaan menjadi semakin teruk, doktor akan berbincang mengenai kemungkinan untuk menjalankan pembedahan terhadap pesakit.

    Apabila punca pendarahan telah ditemui, pakar bedah akan membersihkan takungan darah dan merawat kerosakan organ sekiranya ada.

    Konklusi

    Jika anda pernah mengalami lebam, anda mungkin mengalami pendarahan dalaman.

    Namun, sebab kenapa nyawa anda tidak terancam bergantung kepada punca berlakunya pendarahan tersebut.

    Dalam pergaduhan tumbuk menumbuk, kecederaan yang dialami mungkin ringan, membolehkan anda untuk sihat dengan sendirinya.

    Namun, jika ia melibatkan senjata tidak tajam, kecederaan yang dikenakan boleh mengancam nyawa.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan