backup og meta

Status Vape Kini Halal, Berikut 4 Kesan BAHAYA Bakal Berlaku Kepada Rakyat Malaysia!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/04/2023

    Status Vape Kini Halal, Berikut 4 Kesan BAHAYA Bakal Berlaku Kepada Rakyat Malaysia!

    Ramai yang sedia maklum bahawa terdapat banyak kesan vape terhadap individu yang hampir sama seperti rokok tetapi masih ada lagi yang bersikap endah tidak endah. Berita buruk buat kita, status vape kini halal! Adakah ia benar?

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda juga boleh klik di sini.

    Benarkah status vape kini halal di Malaysia?

    Pada tanggal 31 Mac 2023, tercatat satu sejarah hitam dalam industri kesihatan di mana vape sekarang sudah dihalalkan!

    Untuk pengetahuan anda semua, status halal yang sedang hangat dikatakan dan didebatkan itu adalah cuma dari segi undang-undang Malaysia tetapi bukan di sisi agama Islam kerana ia masih punya kemudaratan.

    Kerajaan kita telah sah mengeluarkan nikotin yang terdapat di dalam cecair atau jus untuk vape dan e-rokok daripada senarai bahan kimia terlarang di bawah Akta Racun 1952 berkuatkuasa hujung bulan Mac 2023.

    Keputusan ini telah membuatkan vape itu boleh dijual, dibeli malah dipromosikan di pasaran tanpa ada kawalan dengan tujuan utama untuk mengutip cukai cecair atau jus gel vape yang dianggarkan 40 sen per mililiter (ml).

    kesan vape

    Sudah terang lagi bersuluh, tentu sahaja penerimaan masyarakat negara kita tentang keputusan itu banyak yang negatif daripada positif. Ya, ini kerana mereka tahu bahawa kesan vape kepada setiap individu bukan main-main.

    Apakah kesan vape kepada kelompok muda?

    Tindakan menghalalkan e-rokok ini begitu dikecam dan ditentang oleh Lembaga Racun Malaysia yang turut berfungsi sebagai penasihat Kementerian Kesihatan di dalam perihal racun serta bahan kimia berbahaya.

    Tindakan ini juga merupakan kekalahan besar masyarakat dan pihak berwajib yang bertanggungjawab bagi mengawal serta menyekat penyalahgunaan tembakau, tetapi merupakan kemenangan utama industri vape Malaysia.

    Selain individu dewasa yang memang biasa kita nampak menghisap vape, kesan menghalalkan e-rokok ini dilihat boleh mempengaruhi generasi muda termasuk kanak-kanak. Disebabkan kanak-kanak dan remaja bawah umur mudah terdedah dan terpengaruh, masyarakat perlu tahu mudarat tabiat vape:

    #1. Risiko kematian dengan serta-merta

    Bukan niat untuk menakutkan atau membesarkan suatu perkara tertentu, tetapi penggunaan e-rokok yang terlampau kerap dan terlalu lama boleh mengakibatkan masalah pada organ paru-paru atau EVALI.

    Di Amerika Syarikat, gelombang penyakit ini telah meragut puluhan nyawa di samping membawa ratusan individu ke wad kecemasan di hospital gara-gara ada masalah pada sistem pernafasan dan paru-paru.

    kesan vape

    Kesan vape #2. Menjejaskan kesihatan

    Sebenarnya, bukan hanya penyakit EVALI atau yang berkaitan organ paru-paru sahaja anda perlu beri perhatian ya?

    Ketahuilah bahawa tabiat vape boleh menjejaskan dua lagi organ paling penting dalam tubuh badan iaitu jantung dan otak di mana ia berisiko untuk mengalami kerosakan serta kecacatan dalam jangka masa panjang.

    Kesan vape #3. Menyebabkan ketagihan

    Tidak cukup dengan masalah kesihatan gara-gara tabiat vape itu, diri anda juga mungkin akan mengalami ketagihan!

    Alasannya, cecair dan jus vape ini masing-masing mengandungi nikotin yang mungkin hampir sama atau lebih rendah sedikit daripada rokok tembakau. Kesannya, ia sudah tentu boleh menyebabkan diri anda ketagih.

    #4. Senyuman yang tidak lagi menawan

    Pernahkah anda lihat senyuman seorang penghisap e-rokok yang tegar? Kalau anda perasan, majoriti daripada mereka mungkin memiliki warna gigi dan gusi sedikit aneh selain pernafasan yang berbau.

    Disebabkan itu pula, perokok tegar tidak kira vape atau tembakau disarankan untuk menjalani rawatan oral dan dental seperti scaling, polishing serta lain-lain kerana tabiat ini mampu membunuh senyuman kalian.

    kesan vape

    Kenapa sekarang vape jauh lebih berbahaya?

    Jika difikirkan dengan logik akal, ia sudah lama wujud dan semua orang mungkin sudah sedia maklum dengan kesan vape kepada individu. Persoalannya, kenapa baru sekarang tabiat ini jauh lebih berbahaya?

    Pertama, ia adalah angkara keputusan kerajaan yang telah membenarkan urusan jual beli vape tidak kira umur lantas mengakibatkan lebih banyak pengeluar dan pemborong terlahir dalam usaha menampung lebih ramai pengguna.

    Tidak cukup dengan itu, vape yang kini lebih moden turut datang dengan pelbagai bentuk, warna, rasa dan sudah ada yang jenis boleh pakai dan buang! Dalam erti kata mudah, ia telah menjadi satu produk seharian.

    Apa yang lebih membimbangkan, ini akan menarik lebih ramai kelompok muda untuk mula menghisap e-rokok!

    Konklusinya, vape atau e-rokok memang sudah berbahaya daripada dulu lagi tetapi keputusan kerajaan ini pula seakan meletakkan garam di atas luka. Ya, ia mungkin menguntungkan wang ringgit namun merugikan nyawa manusia.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan