Adakah anda sudah muak dengan tuala wanita yang asyik bocor ketika tidur? Sentiasa bergelut untuk memakai dan membuang tampon? Atau, terlalu takut untuk menyumbat cawan haid ke dalam faraj? Seluar dalam wanita yang direka khusus untuk dipakai ketika datang bulan boleh menjadi penyelesaian yang anda idamkan!
Seiring dengan kemajuan dunia, pasaran produk penjagaan wanita juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan pilihan yang lebih kreatif dan mesra pengguna.
Selain tuala wanita, tampon, cawan haid, dan menstrual disc.. Kini, seluar dalam wanita untuk haid mula menempah nama sebagai alternatif yang dipilih ketika datang bulan.
Jadi, apa sebenarnya seluar dalam yang diperkatakan ini? Kalau anda berminat untuk ketahui dengan lebih lanjut, teruskan pembacaan ya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Seluar dalam wanita untuk haid, kenal lebih lanjut!
Seluar dalam jenis ini telah direka dan dirancang untuk kelihatan serta terasa seperti memakai seluar dalam harian yang biasa.
Tetapi, ia dicipta dengan lapisan tambahan menggunakan kain dengan kadar penyerapan yang tinggi, untuk menyerap darah haid di kawasan faraj dan sekitarnya.
Selain itu, seluar dalam wanita ini biasanya ditawarkan dalam pelbagai jenis daya serap, untuk dipakai pada waktu yang berlainan dalam kitaran haid tertentu.
Untuk makluman, sepasang seluar dalam dapat menahan aliran daripada 1 hingga 4 tampon!
Justeru, si pemakai digalakkan untuk bereksperimen, bagi mengetahui jumlah yang diperlukan dalam 1 kitaran, bergantung pada aliran haid yang dialami.
Cara yang bagus untuk mencuba seluar dalam ini adalah dengan memakainya semalaman, menjelang hari-hari penghujung haid apabila aliran darah menjadi lebih ringan.
Selain itu, anda juga boleh cuba menggunakannya sebagai back up pada hari-hari pendarahan yang lebih berat!
Bagaimana seluar dalam haid berfungsi?
Hakikatnya, seluar dalam jenis ini sebenarnya berfungsi sama seperti seluar dalam harian yang biasa, tetapi dengan penyerapan tambahan!
Seluar dalam haid yang direka oleh pakar tidak seharusnya terasa berbeza berbanding panties harian apabila dipakai.
Namun, lapisan kain tambahan ini berfungsi sebagai pengganti tuala wanita, tampon atau memberikan perlindungan tambahan apabila dipakai bersama untuk elak kebocoran.
Sama seperti wanita, produk haid ini bersifat unik dan mempunyai tujuan yang berbeza, menurut Dr. Ruth Arumala, Pakar Sakit Puan dan Penasihat Feminine Health.
Jenama yang berbeza menggunakan pelbagai jenis teknologi yang dipatenkan, bagi memastikan penyerapan yang optimum.
Soalan seterusnya yang mungkin terlintas di fikiran anda.. Bolehkah seluar dalam haid menggantikan pad?
Setiap badan dan aliran pendarahan wanita adalah berbeza, tetapi jawapan pendeknya adalah ya, seluar dalam ini boleh menggantikan tuala wanita!
Oleh sebab teknologi yang digunakan berupaya meresap darah sebanyak penyerapan tampon, pengguna biasanya tidak digalakkan untuk memakainya bersama tuala wanita.
Pakar bersetuju bahawa ia lebih sesuai untuk dipasangkan bersama tampon, cawan haid atau menstrual disc.
Sekarang, ayuh kita lihat pula langkah-langkah penggunaan dan cara pencucian produk ini!
Cara-cara penggunaan & pencucian
Pertama sekali, pakai sahaja seperti seluar dalam harian yang biasa. Kemudian, bernafas dengan tenang dan lupakannya!
Ini kerana, faktor terpenting mengenai seluar dalam ini adalah elemen kemudahan, dan bagaimana cara anda pilih untuk menggunakannya akan bergantung pada keperluan dan pilihan peribadi tersendiri.
Walaupun sesetengah wanita memakainya sebagai perlindungan tambahan pada hari-hari yang sibuk ketika aliran haid mereka terlalu berat, ada juga yang menganggapnya sebagai 1 kelebihan untuk bergerak aktif dan bersenam.
Selain itu, seluar dalam wanita untuk haid ini dapat bantu memberi ‘ketenangan jiwa’, yang dicari-cari semasa datang bulan.
Bagaimana pula cara untuk mencucinya?
Langkah 1: Rendam
Selepas anda menanggalkan seluar dalam haid, gunakan air bersuhu sejuk untuk merendam atau membilasnya.
Langkah 2: Basuh
Sekiranya mencuci dengan mesin, masukkan ia ke dalam beg cucian mesh terlebih dahulu dan basuh pada kitaran berstatus ‘delicate’ atau ‘gentle’.
Tambahan itu, jika anda inginkan seluar dalam period untuk tahan lebih lama, pertimbangkan untuk mencucinya guna tangan dengan sabun pencucian yang lembut.
Langkah 3: Keringkan
Ingat! Jangan masukkan ke dalam pengering.
Sebaliknya, jemur seluar dalam dengan diletakkan secara rata atau gantung hingga kering untuk bantu menjaga keutuhan fabrik.
Langkah 4: Rawat
Walaupun seluar dalam ini biasanya direka sebagai stain-resistant dan tidak berbau busuk jika dibersihkan dengan betul, tapi sekiranya anda masih ragu-ragu, cuba rendam dalam campuran cuka dan air sebelum mencuci dalam mesin.
Seluar dalam wanita untuk haid, apa manfaatnya?
Selain memberi jaminan terhadap isu kebocoran darah, ia juga bersifat lebih mesra alam dan semestinya, tidak mengeringkan poket!
Apa yang lebih menarik, seluar dalam ini menghilangkan rasa risau dengan kebarangkalian didatangi haid dan juga membolehkan wanita untuk keluar rumah tanpa keperluan untuk membawa tuala wanita atau tampon bersama.
Bukan itu sahaja, pakar turut menyatakan bahawa ia bagus dalam mencegah risiko kerengsaan vulva/faraj atau sindrom kejutan toksik, berbanding penggunaan tuala wanita mahupun tampon.
[embed-health-tool-ovulation]