Benarkah Alat Kawal Kehamilan IUCD Punca Ketumbuhan Fibroid? Wanita Kena Tahu!
Benarkah tiada risiko mengandung dengan IUCD (intra-uterine contraceptive device)? Bagaimana pula ada yang mengaitkannya dengan masalah fibroid? Dalam artikel ini ada jawapannya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Wujudkah risiko mengandung dengan IUCD?
Anda boleh hamil semasa menggunakan IUCD, tetapi ia sangat jarang untuk terjadi. Dianggarkan kurang daripada 1% wanita dengan alat pencegah kehamilan IUCD hamil setiap tahun.
Umumnya, IUCD harus kekal berada di dalam rahim untuk mengelakkan berlakunya kehamilan. Tetapi adakalanya ia boleh keluar daripada tempatnya dan termasuk ke dalam serviks – yang berada di bawah rahim. Jika ini berlaku, risiko untuk mengandung adalah tinggi.
Risiko mengandung dengan IUCD: Jenis kehamilan yang boleh terjadi
Jika IUCD anda gagal, doktor akan menentukan jenis kehamilan yang berlaku:
- Kehamilan dalam rahim: Ini adalah kehamilan biasa dalam rahim anda di mana bayi akan membesar selama 9 bulan
- Kehamilan ektopik: Embrio membesar di luar rahim. Biasanya berlaku dalam tiub fallopio – laluan yang membawa telur ke ovari dan ke rahim. Kehamilan jenis ini juga boleh berlaku dalam ovari, abdomen atau serviks. Kehamilan yang berlaku pada bahagian-bahagian disebutkan ini tidak boleh berkembang secara normal. Doktor mungkin menggugurkan kandungan ini kerana ia boleh menyebabkan pendarahan sehingga membahayakan nyawa anda
Punca IUCD tidak berkesan mencegah kehamilan
IUCD anda mungkin tidak dapat menghalang kehamilan jika ia:
- Terkeluar. Jika IUCD terkeluar daripada faraj, anda tidak dilindungi daripada kehamilan. Amat penting untuk memastikan sambungan pada IUCD untuk memastikan ia masih berada di tempat sepatutnya
- Bergerak keluar dari tempatnya. IUCD juga boleh berada dalam kedudukan yang salah, sekali gus tidak akan dapat melindungi anda dengan sepenuhnya
- Tamat tempoh. Risiko mengandung dengan IUCD adalah tinggi jika alat ini tamat tempoh. Jika anda memakainya lebih lama daripada masa yang disarankan, peluang untuk hamil semakin tinggi
- Masih belum berfungsi. IUCD yang disaluti tembaga mula berfungsi sejurus selepas doktor memasukkannya. Tetapi IUCD hormon, mengambil masa 7 hari sebelum dapat berfungsi sepenuhnya. Jadi pastikan anda menggunakan alat pencegah kehamilan sokongan lain seperti kondom dalam tempoh masa tersebut untuk mencegah berlakunya kehamilan mengejut
Selain daripada wujud risiko mengandung dengan IUCD, benarkah pemakaian alat pencegahan kehamilan ini menjadi punca pertumbuhan masalah fibroid rahim?
Bolehkah IUCD menjadi punca masalah fibroid rahim?
Fibroid rahim adalah ketumbuhan rahim bukan kanser yang sering muncul semasa tahun melahirkan anak. Fibroid rahim ini tidak mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser rahim dan hampir tidak pernah berkembang menjadi kanser.
Ia boleh wujud dalam pelbagai saiz, daripada sekecil-kecilnya sehingga tidak dapat dikesan oleh mata manusia, hinggalah kepada jisim besar yang boleh membesarkan bentuk rahim. Masalah fibroid ini boleh berkembang sebagai fibroid tunggal atau berbilang.
Dalam kes yang teruk, fibroid berbilang boleh mengembangkan rahim sehingga mencapai rusuk dan menambahkan berat badan.
Dianggarkan 75% wanita mempunyai fibroid dan hanya 20% daripadanya mengalami gejala.
Walau bagaimanapun, jika anda mengalami gejala seperti pendarahan haid banyak, kekejangan teruk, tekanan pelvis, sembelit atau kerap membuang air kecil, pastinya ia menjejaskan perjalanan kehidupan seharian.
Fibroid yang tumbuh mungkin tidak menyebabkan simptom, tetapi ia boleh membesar ke dalam rongga rahim dan berpotensi menyebabkan komplikasi kehamilan dan meningkatkan risiko keguguran.
Alat IUCD hormon yang dimasukkan ke dalam rahim dan boleh kekal sehingga tempoh 5 tahun. Ia mengandungi hormon buatan yang dikenali sebagai progestin – menyerupai hormon seks wanita progesteron.
Progesteron menghalang lapisan rahim daripada terkumpul semasa kitaran haid. IUCD hormon secara berterusan membebaskan progestin – sekali gus menghalang lapisan rahim daripada terbentuk.
Jadi benarkah selain wujud risiko mengandung dengan IUCD, alat pencegah kehamilan ini juga boleh menjadi punca masalah fibroid? Ini jawapannya…

Tiada bukti mengaitkan IUCD & fibroid
Tiada bukti menunjukkan IUCD menyebabkan masalah fibroid. Malah, IUCD hormon kadangkala digunakan dalam merawat fibroid yang tidak terlalu besar.
Umumnya, alat pencegahan kehamilan ini tidak dapat mengurangkan saiz fibroid, jadi ia tidak akan melegakan simptom seperti sakit dan kekejangan.
Tetapi kerana hormon tiruan menghalang lapisan rahim daripada membina, ia boleh membantu mengurangkan jumlah darah yang hilang semasa haid dan membantu mencegah anemia. Individu dengan anemia biasanya mudah berasa letih dan berdebar-debar.
Kajian telah menunjukkan IUCD hormon – melepaskan progestin – boleh mengurangkan simptom fibroid dan memberi mereka sedikit kelegaan, terutamanya apabila ia berkaitan dengan pendarahan haid yang banyak.
Walaupun tidak banyak bukti langsung bahawa IUCD boleh menyebabkan pertumbuhan fibroid, amat difahami sekiranya anda ingin mengelakkan penggunaan alat pencegah kehamilan dengan hormon.
Rundingan doktor
Masih terdapat banyak perkara berkaitan masalah fibroid yang tidak diketahui pakar. Tetapi ia dipercayai dipengaruhi hormon. Disebabkan itu ramai wanita mengalami fibroid semasa fasa tahun melahirkan anak – childbearing years – kerana tahap hormon yang tinggi.
Jika wujud kebimbangan risiko mengandung dengan IUCD atau berkaitan pertumbuhan fibroid, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.
