backup og meta

Stres! Tiap Kali Haid Mesti Berat Badan Naik, Ini Faktor Wanita Gemuk Ketika Period

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 18/10/2022

    Stres! Tiap Kali Haid Mesti Berat Badan Naik, Ini Faktor Wanita Gemuk Ketika Period

    Apabila menimbang berat badan hari-hari biasa, hasilnya normal sahaja, tetapi ketika ‘datang bulan’, angka terus naik! Pernahkah anda mengalami situasi ini? Jika pernah, pasti ia membuatkan anda tertanya-tanya bukan? Mengapa berat badan naik ketika haid.

    Usah risau, artikel ini akan menjawab segala persoalan yang terlintas di fikiran anda, teruskan membaca ya!

    Adakah berat badan naik saat haid normal?

    Ketika haid berlaku, berat yang bertambah sebanyak 3 sehingga 5 paun adalah cukup normal dan ia seringkali akan kembali seperti sediakala setelah beberapa hari.

    Perkara ini dikenali sebagai antara simptom fizikal sindrom pramenstruasi (PMS).

    PMS merangkumi pelbagai gejala fizikal, emosi, dan tingkah laku yang mempengaruhi wanita beberapa hari hingga 2 minggu sebelum haid.

    Simptom ini turut disebabkan oleh perubahan hormon semasa kitaran haid.

    PMS sangat biasa berlaku dan lebih daripada 90% wanita yang mengalami haid akan turut merasainya.

    Berat badan naik ketika haid? Ini punca-puncanya

    • Perubahan hormon

    Perubahan hormon boleh menyebabkan berat badan naik kerana berlakunya peningkatan water retention.

    Ia adalah pengumpulan cecair dalam ruang di antara tisu lembut dalam badan. Apabila cecair ini disimpan, ia akan menyebabkan pembengkakan berlaku.

    Pada hari-hari sebelum haid bermula, estrogen dan progesteron bakal menurun dengan cepat.

    Estrogen dan progesteron turut mengawal cara badan kita mengatur cecair.

    Apabila hormon-hormon ini turun naik, tisu-tisu di dalam badan akan mengumpul lebih banyak air. Hasilnya, berlakulah water retention, atau edema.

    Water retention boleh menyebabkan pembengkakan pada payudara, perut, atau kaki, lantas menyumbang kepada peningkatan berat badan, tetapi ini bukan bermakna anda gemuk ya!

    Kekembungan

    berat badan naik

    Semasa haid, perubahan hormon dapat meningkatkan gas di saluran gastrointestinal (GI) dan menyebabkan kekembungan lalu menjadi punca berat badan naik.

    Selain itu, water retention di perut anda juga boleh menyebabkan masalah kekembungan.

    Kembung boleh digambarkan sebagai rasa sesak atau bengkak di perut atau bahagian badan yang lain.

    Bukan itu sahaja, kekejangan perut juga boleh mengakibatkan sensasi kenaikan berat badan.

    Ini disebabkan oleh bahan kimia yang disebut prostaglandin yang dilepaskan oleh rahim anda.

    Prostaglandin membuat rahim berkontraksi dan menggugurkan lapisannya lantas mampu menyebabkan rasa sakit perut ketika haid.

    Masalah kekembungan mungkin akan bermula 5 hari sebelum haid dan berterusan hingga beberapa hari pertama menstruasi.

    Kekejangan perut pula, yang bermula 1 atau 2 hari sebelum haid, juga boleh berlangsung selama beberapa hari.

    • Craving makanan atau makan berlebihan

    Perubahan hormon yang berlaku saat menstruasi juga boleh membuatkan anda makan secara berlebihan.

    Sebelum haid bermula, tahap progesteron bakal meningkat. Progesteron juga adalah perangsang selera makan.

    Apabila progesteron meningkat, maka anda mungkin cenderung untuk makan dengan lebih banyak berbanding biasa.

    Estrogen juga mengawal serotonin, neurotransmitter yang mengawal mood dan mengurangkan selera makan.

    Apabila estrogen dan serotonin turun mendadak tepat sebelum haid anda, hasilnya mendorong kepada selera makan yang lebih besar.

    Serotonin yang rendah juga boleh meningkatkan sugar craving kerana makanan berkarbohidrat tinggi membantu tubuh menghasilkan serotonin.

    Sekiranya serotonin berada pada tahap yang rendah, otak bakal memerlukan lebih banyak gula.

    Namun, makan makanan tinggi gula akan meningkatkan pengambilan kalori lantas menyebabkan kenaikan berat badan.

    Kadar metabolisme anda pula bersifat turun naik semasa kitaran haid, maka apabila ia meningkat, anda mungkin mempunyai selera makan yang lebih besar dan menginginkan makanan berkalori tinggi.

    • Penurunan magnesium

    Apabila haid anda bermula, tahap magnesium juga secara beransur-ansur akan menurun.

    Penurunan ini boleh menimbulkan keinginan terhadap gula dan berisiko menyumbang kepada kenaikan berat badan.

    Magnesium adalah mineral yang mengatur status penghidratan badan anda dan tahap magnesium yang rendah boleh menyebabkan dehidrasi.

    Walau bagaimanapun, dehidrasi boleh dikelirukan dengan rasa lapar, yang juga dapat membuatkan anda teringin makanan bergula walhal anda hanya kehausan.

    Seperti yang kita semua tahu, pengambilan makanan tinggi gula menyumbang kepada kenaikan berat badan dan obesiti.

    Gejala-gejala lain

    Selain berat badan naik, anda juga mungkin mengalami gejala fizikal dan emosi yang lain semasa haid.

    Perubahan-perubahan ini boleh muncul dengan atau tanpa kenaikan berat badan.

    Antara simptom yang mungkin akan anda alami termasuk:

    • Sakit pada payudara
    • Sembelit
    • Cirit-birit
    • Kekejangan
    • Sakit kepala atau sakit belakang
    • Keletihan
    • Jerawat
    • Sukar tidur
    • Kegelisahan atau tekanan
    • Perubahan emosi
    • Mudah marah
    • Kurang fokus
    • Dorongan seks rendah

    Langkah-langkah pencegahan

    Usah risau, dengan mengamalkan gaya hidup sihat, anda dapat mencegah kenaikan berat badan atau water retention daripada berlaku.

    Ini antara perkara yang boleh anda lakukan:

    berat badan naik

    • Bersenam dengan kerap: Senaman secara berkala dapat mengurangkan simptom dialami. Cuba lakukan aktiviti senaman selama 30 minit setiap hari
    • Kekal hidrat: Minum air secukupnya. Ini akan mengelakkan badan anda daripada menyimpan cecair
    • Kurangkan pengambilan garam: Makan makanan bergaram dengan terlalu banyak akan menyumbang kepada water retention. Justeru, untuk mengurangkan pengambilan garam, hadkan atau elakkan makanan yang diproses
    • Elakkan kafein dan gula: Makanan dan minuman dengan kandungan kafein dan gula boleh memburukkan lagi masalah kekembungan

    Kesimpulannya, jika anda ada alami masalah berat badan naik semasa haid, cubalah langkah yang kami sarankan di atas. Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 18/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan