Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Gigi Makin Ngilu? Mungkin Enamel Gigi Anda Dah Mula Terhakis Sebab Makanan Ni!
Enamel gigi ialah lapisan keras yang menutupi bahagian luar gigi, melindungi tisu dalaman seperti dentin dan saraf daripada bakteria serta asid makanan. Apabila enamel semakin haus atau rosak, gigi jadi lebih sensitif, mudah berlubang dan boleh menjejaskan senyuman.
Jadi, penting untuk kita faham apa yang boleh melemahkan enamel, cara menjaganya dan makanan yang diam-diam boleh “menghakis” perlindungan semula jadi ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, anda boleh klikdi sini.
Ketebalan enamel gigi: tak semua orang sama
Ketebalan enamel berbeza bagi setiap individu dan biasanya dipengaruhi oleh faktor genetik, usia dan tabiat harian.
Enamel yang tebal memberikan perlindungan lebih kuat terhadap asid dan bakteria, manakala enamel yang nipis lebih mudah terhakis.
Antara faktor yang boleh menipiskan ketebalan enamel gigi ialah:
Pengambilan makanan atau minuman berasid seperti soda, kopi dan jus sitrus
Memberus gigi terlalu kuat atau menggunakan berus gigi berbulu kasar
Gigi yang digesek (bruxism) ketika tidur
Kekurangan air liur yang membantu meneutralkan asid dalam mulut
Semakin lama, masalah ini boleh meningkatkan risiko kerosakan gigi kekal.
Enamel gigi terhakis: punca dan tanda yang perlu diberi perhatian
Enamel melindungi daripada kerosakan dan rasa ngilu.
Apabila enamel terhakis, gigi kehilangan lapisan pelindung semula jadi dan menjadi sensitif terhadap makanan panas, sejuk, atau manis.
Antara tanda-tanda enamel gigi terhakis termasuk:
Warna gigi menjadi kekuningan kerana lapisan dentin mula kelihatan
Gigi terasa ngilu bila makan makanan tertentu
Permukaan gigi kelihatan tidak sekata atau berkilat berlebihan akibat kehilangan mineral
Punca utama enamel terhakis ialah pengambilan makanan berasid, tabiat menggigit objek keras, dan penjagaan gigi yang tidak konsisten.
Cara menebalkan enamel gigi secara semula jadi
Walaupun enamel ini tidak boleh tumbuh semula, anda masih boleh menguatkan dan “menebalkannya” dengan amalan pemulihan mineral.
Antara cara menebalkan enamel gigi ialah:
Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida untuk membantu proses remineralisasi
Banyakkan minum air kosong bagi mengekalkan kelembapan mulut
Kurangkan pengambilan makanan berasid seperti air berkarbonat, jeruk dan limau
Ambil makanan tinggi kalsium dan fosfat seperti susu, keju, dan yogurt
Elak memberus gigi sejurus selepas makan makanan berasid (tunggu sekurang-kurangnya 30 minit)
Langkah-langkah ini membantu mengekalkan kekuatan dan ketahanan enamel dalam jangka panjang.
Cara memperbaiki enamel gigi dengan rawatan moden
Gigi yang sihat dan kuat.
Selain penjagaan di rumah, cara memperbaiki enamel gigi juga boleh dilakukan di klinik pergigian.
Antara rawatan yang biasa dilakukan termasuk:
Fluoride treatment– lapisan pelindung khas yang membantu mengembalikan mineral enamel
Dental bonding – bahan resin digunakan untuk menampal kawasan enamel yang haus
Veneer – lapisan nipis seramik diletakkan pada permukaan gigi untuk melindungi enamel yang rosak
Berundinglah dengan doktor gigi untuk rawatan terbaik mengikut tahap kerosakan gigi anda.
Makanan harian yang boleh rosakkan enamel
Ramai tidak sedar, beberapa makanan yang kita ambil setiap hari sebenarnya boleh mempercepatkan hakisan enamel.
Antara makanan dan minuman tersebut ialah:
Minuman berkarbonat dan tenaga – tinggi asid dan gula
Buah sitrus seperti limau, lemon dan oren – walaupun berkhasiat, asidnya boleh menghakis enamel
Kopi dan teh – boleh menyebabkan pewarnaan dan melemahkan struktur enamel
Gula-gula keras atau masam – melekat pada gigi dan menghasilkan asid bakteria
Makanan bergoreng dan tinggi karbohidrat – boleh meningkatkan penghasilan plak dan bakteria mulut
5 tabiat buruk yang menyebabkan masalah gigi.
Untuk elakkan kerosakan enamel, cuba bilas mulut selepas makan makanan berasid dan elakkan memberus gigi terus selepas makan.
Kesimpulan
Menjaga enamel ini bukan sekadar untuk senyuman yang cantik, tapi juga untuk kesihatan mulut jangka panjang.
Dengan memahami ketebalan enamel, mengenal pasti tanda-tanda ia terhakis serta amalkan cara menebalkan dan memperbaikinya, anda boleh elakkan kerosakan yang serius.
Ingat, cegah lebih baik daripada merawat!
Kalkulator BMI
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Tooth Enamel. https://my.clevelandclinic.org/health/body/24798-tooth-enamel. Diakses pada Oktober 13, 2025.
Cavities and tooth decay. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cavities/symptoms-causes/syc-20352892. Diakses pada Oktober 13, 2025.
How To Repair Tooth Enamel: Tips and Techniques. https://mypenndentist.org/dental-tips/2023/09/10/tooth-enamel-restoration/. Diakses pada Oktober 13, 2025.
Dental erosion. https://www.dentalhealth.org/dental-erosion. Diakses pada Oktober 13, 2025.
Tooth Enamel Loss: Signs, Causes, and Prevention Tips. https://mypenndentist.org/dental-tips/2023/03/20/tooth-enamel-erosion/. Diakses pada Oktober 13, 2025.
Versi Terbaru
17/10/2025
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor