Biasa kalau ada anak yang bermasalah, mesti akan ada mulut-mulut yang berkata “itu salah mak bapak tak reti ajar”. Jadi, apakah sebenarnya peranan ibu bapa dalam usaha untuk membentuk sahsiah diri anak?
Apakah peranan ibu bapa?
Apakah yang dikatakan peranan ibu bapa dalam membentuk keperibadian dan sahsiah diri anak?
Adakah ini bermakna anda sebagai ibu bapa perlu bersikap garang sepanjang masa?
Atau perlu menjadi ibu bapa yang dominan dalam menjalankan tanggungjawab anda?
Jangan risau, berikut dikongsikan beberapa langkah yang boleh dicuba bagi membantu anda membentuk keperibadian anak-anak, seperti:
Rangsangan awal
Bagaimana peranan ibu bapa penting dalam perkembangan kognitif?
Apabila anda menjadi ibu bapa yang positif, ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kemahiran kognitif, sosial dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah.
Keibubapaan yang positif penting dalam mempengaruhi tanggapan si kecil dan membantu mereka menjadi individu yang lebih baik.
Malahan interaksi dan rangsangan yang positif adalah sangat penting pada tahun-tahun awal tumbesaran si manja.
Menjadi diri sendiri
Setiap individu mempunyai keunikan yang tersendiri, bukan?
Seperti diri anda yang mungkin berbeza berbanding adik-beradik anda, begitu juga dengan si manja anda.
Jangan pernah memaksa si kecil menjadi seperti diri anda.
Anda sebagai ibu bapa memainkan peranan untuk menyokong setiap apa yang ingin anak anda lakukan dan bantu mereka untuk mencapai apa yang mereka ingini selagi ia tidak melampaui batasan.
Sememangnya anak adalah cerminan diri anda, tetapi ia tidak bermaksud, si kecil harus menjadi seperti diri anda, okay?
Belajar berdikari
Sebagai ibu bapa sudah tentu anda tidak dapat lari daripada bersikap melindungi si kecil, bukan?
Malahan tidak salah jika dikatakan, kebanyakan ibu bapa terlalu melindungi si kecil sehingga membataskan proses perkembangan mereka.
Ya, mereka masih kecil tetapi mereka mempunyai keinginan untuk melakukannya sendiri.
Berikan mereka ruang dan peluang untuk melakukan sesuatu secara sendiri.
Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri mereka.
Ini bukan bermakna anda boleh lepas tangan, sebaliknya peranan ibu bapa di sini adalah sebagai pembimbing dan pemantau untuk mengelakkan perkara atau sebarang kemalangan daripada berlaku.
Hormat perasaan
Sering kali apabila anak mempunyai perasaan negatif atau tidak baik berkaitan sesuatu perkara, selalunya sebagai ibu bapa pasti anda akan cuba menyingkirkan perasaan tersebut.
Ini kerana anda berasakan ia adalah satu tindakan yang perlu anda lakukan.
Namun hakikatnya peranan ibu bapa di sini adalah untuk memberikan ruang kepada si kecil belajar memahami apa yang dirasakannya, sama ada baik atau tidak.
Berikan waktu kepadanya untuk meluahkan apa yang dirasakan.
Apa tugas anda? Mendengar dan menasihati si kecil mengikut kesesuaian usianya.
Andai kata si kecil sudah boleh memahami erti baik dan buruk sesuatu perkara, terangkan kepadanya, apa yang dirasanya itu adalah sesuatu yang tidak baik.
Anda juga boleh memberikan idea kepadanya untuk bagaimana menghilangkan emosi negatif itu seperti dengan memberikan kemaafan.
Elakkan hukuman
Adakalanya sebagai ibu bapa, kita cenderung memilih untuk menghukum si kecil jika mereka melakukan kesalahan.
Ini kerana kita berasakan ia adalah satu cara yang baik untuk mengajar si kecil. Bak kata pepatah lama, “sayangkan anak, tangan-tangankan”.
Tetapi cuba anda fikirkan kembali, apabila anda menghukum si kecil selepas mereka melakukan kesilapan, adakah mereka akan mengulanginya kembali?
Peratusan untuk kesilapan itu berulang adalah tinggi, bukan? Ini bermakna mereka tidak belajar daripada kesilapan!
Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?
Pertama cuba untuk fahami mengapa si kecil bertindak sedemikian dan elakkan daripada menjerit atau memarahi mereka.
Sebaliknya fokus untuk mengajar mereka bagaimana untuk mengelakkan mereka daripada mengulangi kesilapan yang sama.
Contoh terbaik
Peranan ibu bapa paling penting dalam membentuk keperibadian dan sahsiah diri anak adalah dengan menjadi contoh yang terbaik.
Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, ibu bapa adalah cerminan diri anak, bukan?
Jadi setiap apa yang anda lakukan dan tunjukkan seperti sikap, tingkah laku atau tutur kata anda pastinya akan dicontohi oleh si kecil.
Sebagai contoh, jika mereka sering melihat anda memaki hamun, menggunakan bahasa kesat, percayalah anak anda juga akan terbiasa dengan penggunaan kata-kata sebegitu.
Jangan terkejut jika anda mungkin akan menjadi mangsa makian mereka apabila meningkat dewasa nanti.
Sebab itu wujud pepatah, ‘menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian, tidak berguna’.
Jadi jika anda mahukan si kecil mempunyai sikap dan tingkah laku yang baik, ia perlu bermula daripada anda.
Sukar untuk melakukan perubahan? Paksa diri anda untuk berubah demi kebaikan si kecil!
Jadilah contoh dan teladan yang terbaik buat anak anda.
[embed-health-tool-ovulation]