backup og meta

Selalu Sangat Cerita Pada Orang Tentang Anak, Salahkah Obses Dengan Anak Sendiri?

Selalu Sangat Cerita Pada Orang Tentang Anak, Salahkah Obses Dengan Anak Sendiri?

Penyanyi nombor satu negara kita, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kini sedang berdepan dengan kecaman netizen yang sedang sibuk menjadi juri dunia dengan mengatakan beliau terlalu obses dengan puteri kesayangannya, Siti Aafiyah Khalid. Ini ekoran beliau sering berkongsi foto dan video tingkah laku anaknya itu menerusi pelbagai platform media sosial. Bagi beliau, ia adalah perkara yang normal untuk dilakukan oleh ibu bapa, namun bagi masyarakat alam maya yang hanya berani di papan kekunci, ia adalah perbuatan yang salah.

Jadi, adakah perbuatan Datuk Seri Siti yang dikatakan obses dengan anaknya sendiri ini adalah satu perbuatan yang salah atau netizen sengaja menambah rencah untuk mencipta resepi gosip terkini? 

Penantian selama 11 tahun

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana ini, penantiannya selama 11 tahun untuk kehadiran seorang cahaya mata adalah sangat berbaloi dan perlu dihargai sepenuhnya. Disebabkan itu, beliau sangat gemar merakam setiap detik telatah dan gelagat Aafiyah dan turut berpesan kepada pengasuh agar menggantikan peranannya ketika beliau tiada di rumah kerana tidak mahu ketinggalan setiap perkembangan puteri comelnya itu.

“Siti tidak obses dengan anak sendiri malahan rasanya Siti juga tidak terlalu kerap memuat naik foto dan video Aafiyah seperti yang dikecam oleh netizen. Sekiranya ada momen yang menarik, baru Siti akan kongsikan. Pun begitu, Siti juga akan memuat naik setiap perkembangan Aafiyah dan aktiviti seni secara selang-seli”, kata beliau lagi. Beliau turut menegaskan bahawa jika beliau obses dengan anaknya itu sekali pun, ia bukan satu kesalahan.

Tanda anda obses dengan anak sendiri

Bukan sahaja Datuk Seri Siti, malahan ramai lagi ibu bapa di luar sana yang turut mempunyai tanggapan yang sama sepertinya. Persoalannya, apakah tanda ibu bapa itu obses dengan anak sendiri? Berikut merupakan jawapannya:

  • Anda beberapa kali dalam sehari mengemas kini media sosial anda dengan menceritakan setiap perkara yang anak anda lakukan.
  • Anda sangat kerap memuat naik foto dan video berkenaan anak anda di media sosial.
  • Setiap perbualan anda adalah berkenaan anak anda.
  • Setiap aktiviti harian anda adalah berkisarkan anak anda sahaja seperti mencuci pakaian, menukar pakaian atau menyuapkan makanan mereka. 
  • Anda sangat gemar mengenakan pakaian yang sama dengan anak anda.
  • Anda mula mengabaikan ahli keluarga dan sahabat handai anda.
  • Anda mula hilang minat dengan kehidupan sosial anda.
  • Anda tidak percaya untuk meninggalkan anak anda dengan orang lain.
  • Anda secara tidak sedar mula putus hubungan anda dengan orang lain yang dahulu pernah rapat dengan anda.
  • Anda sangat mudah teruja dengan setiap perkembangan anak anda walaupun ia adalah sesuatu yang kecil seperti perkataan pertama anak anda.

Adakah tanda-tanda ini terdapat pada anda? Jika ada, cuba muhasabah diri dan berbincang bersama pasangan anda untuk mengelakkan diri anda dari terjerumus menjadi ibu bapa yang sangat obses dengan anak lalu terjerumus ke arah budaya tidak sihat yang dikenali sebagai budaya ‘sharenting’.

Budaya ‘sharenting’

Menurut dua kajian berkaitan yang dijalankan oleh Mariea Grubbs Hoy, profesor dari College of Communication and Information dan Alexa K. Fox, pembantu profesor dari University of Akron, budaya ‘sharenting’ berlaku akibat ibu bapa baru terutamanya yang masih baharu senang terpengaruh dengan ibu bapa lain dan perasaan sendiri lalu dengan mudah berkongsi segala butir peribadi anak seperti nama, tarikh lahir dan paling bahaya, foto dan video mereka.

Menurut mereka, perkongsian informasi seperti ini mungkin sudah dianggap sebagai norma masa kini namun sebenarnya akan menjejaskan privasi dan reputasi anak malahan turut mengundang bahaya kepada keselamatan mereka!

Konklusinya, tidak salah jika anda terlalu obses dengan anak sendiri kerana ia adalah satu perasaan alami yang akan berlaku kepada setiap ibu bapa tetapi jangan terlalu keterlaluan. Ini kerana budaya ‘sharenting’ boleh mengundang bahaya kepada keselamatan anak anda. 

Mungkin Datuk Seri Siti dan anda sendiri tidak perlu terlalu memandang berat setiap komen netizen terhadap perkongsian anda mengenai anak anda di media sosial, namun cuba seimbangkan ia dalam kehidupan anda kerana apa yang paling penting, adalah keselamatan dan kesejahteraan hidup anda dan juga cahaya mata kesayangan anda. 

Sebagai netizen pula, apa kata jika anda hanya menggunakan kata-kata yang sedap untuk dibaca daripada mengecam atau membawang semata-mata kerana anda berasa diri anda betul. Jika tidak suka, tegur dengan elok atau abaikan sahaja daripada membuat keadaan menjadi lebih keruh.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

 

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

New Moms May Be Vulnerable to ‘Sharenting’. https://www.sciencedaily.com/releases/2019/07/190723121900.htm. Accessed on September 17, 2019.

 

10 Signs You Are Obsessed With Your Baby. https://www.youngparents.com.sg/pregnancy-baby/10-signs-you-are-obsessed-your-baby/. Accessed on September 17, 2019.

 

‘Salah Ke Obses Dengan Anak Sendiri?’. https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2019/08/601292/salah-ke-obses-dengan-anak-sendiri. Accessed on September 17, 2019.

Versi Terbaru

17/07/2020

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Selain Curang, Apa Lagi Punca Penceraian Di Malaysia? Kalau Sayang, Berubah!

6 Rahsia Menjadi Isteri Solehah, Bukan Hanya Jaga Makan & Pakai Suami Ya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan